
Bill Gates tidak beli aplikasi pesanan Telegram
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 27/04/2021 jam 07:30
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: AFP Australia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Tangkapan skrin itu dikongsikan oleh laman Facebook berbahasa Malaysia di sini pada 5 April 2021.
Ia kononnya menunjukkan sebuah laporan Fox News, dengan petikan berita dalam bahasa Inggeris yang berbunyi: “TAWARAN 600 JUTA DOLAR BILL GATES BELI TELEGRAM.”
Tulisan bahasa Inggeris pada gambar menyatakan: “Bill Gates baru sahaja beli aplikasi Telegram untuk mengekalkan kawalan ke atas maklumat yang dapat dikongsikan, difikirkan dan diselidik oleh orang ramai. Beliau juga memiliki lebih banyak tanah perladangan di Amerika Syarikat (AS) daripada orang lain.
“Inilah lelaki yang didapati bersalah kerana cuba untuk memonopoli pasaran pelayar internet pada tahun 1998.”
Tangkapan skrin tersebut juga mengandungi pautan ke video YouTube yang menunjukkan deposisi Gates semasa kes antimonopoli tahun 1998 terhadap Microsoft, syarikat teknologi yang diasaskannya bersama.
Diterjemahkan ke bahasa Malaysia, kapsyen catatan Facebook itu berbunyi: “TELE DIMILIKI OLEH BILL G.”

Telegram ialah aplikasi pesanan tersulit yang dilancarkan pada bulan Ogos 2013.
Ia telah meraih populariti di seluruh dunia tetapi dilarang di beberapa negara kerana enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyerahkan kunci penyulitan, lapor AFP di sini.
Catatan-catatan tersebut muncul dalam talian berikutan pelbagai desas-desus mengenai Bill Gates, yang telah menyumbang ratusan juta dolar dalam usaha global untuk membendung pandemik Covid-19.
Catatan Facebook yang serupa yang mendakwa Gates telah membeli Telegram juga telah diterbitkan dalam bahasa Inggeris di sini; dan dalam bahasa Malaysia di sini dan sini.
Namun, dakwaan itu tak benar.
Tiada jualan
Dalam responsnya kepada dakwaan tersebut, Telegram memberitahu AFP pada 9 April 2021 bahawa “Telegram tetap dimiliki sepenuhnya oleh Pavel Durov.”
Durov, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, telah menulis di saluran Telegramnya tentang bagaimana dia tidak akan menjual aplikasi tersebut, dan mengumpulkan $1 bilion untuk memastikan kebebasan syarikatnya.
“Kami tidak akan menjual syarikat ini seperti pengasas WhatsApp. Dunia ini memerlukan Telegram untuk kekal bebas sebagai tempat di mana pengguna dihormati dan perkhidmatan berkualiti tinggi terjamin,” tulisnya dalam catatan yang diterbitkan pada 23 Disember 2020.
Pada 24 Mac 2021, Durov mengumumkan bahawa Telegram telah mengumpul lebih daripada $1 bilion dengan menjual bon.
“Ini akan membolehkan Telegram terus berkembang secara global sambil berpegang pada nilainya dan kekal bebas,” tulisnya.
Dalam e-mel kepada AFP pada 9 April 2021, Yayasan Bill & Melinda Gates mengatakan bahawa dakwaan itu tak benar.
Laporan berita dipalsukan
Tangkapan skrin yang kononnya menunjukkan laporan saluran TV Amerika Syarikat (AS) Fox News telah dipalsukan daripada laporan lain yang tidak menyebut tentang Gates membeli Telegram.
Carian imej terbalik di Yandex menemui rakaman Internet Archive ini tentang sebuah rancangan Fox News berjudul America’s Newsroom, yang disiarkan pada 16 November 2020.
Pembaca berita terkini Fox News Trace Gallagher ialah pengacara bersama rancangan tersebut pada hari itu dan kelihatan memakai tali leher yang sama seperti yang dilihat dalam gambar di catatan yang mengelirukan.
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, tajuk asal petikan berita tersebut menyatakan: “PARA SELEBRITI MENOLAK ‘BUDAYA BATAL’.”
Berikut adalah perbandingan antara gambar yang dipinda dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin rancangan Fox News (kanan):

Dakwaan lain
Dakwaan tambahan dalam catatan yang mengelirukan itu mengatakan bahawa Gates “memiliki lebih banyak tanah perladangan di AS daripada orang lain” dan bahawa dia berusaha untuk “memonopoli pasaran pelayar internet pada tahun 1998” adalah benar.
Gates dan isterinya Melinda menjadi pemilik ladang swasta terbesar di AS, menurut laporan 11 Januari 2021 oleh majalah The Land Report, dengan pemilikan sebanyak 242,000 ekar.
Namun, pemilik tanah terbesar di AS ialah jutawan John Malone, yang memiliki 2,200,000 ekar, menurut edisi 2020 Land Report 100.
Sementara itu, dakwaan bahawa Gates berusaha untuk memonopoli pasaran pelayar internet nampaknya merujuk kepada tuntutan mahkamah yang dihadapinya pada tahun 1998.
Kerajaan AS memfailkan tuntutan antimonopoli terhadap Microsoft pada Mei 1998, yang menuduh syarikat tersebut melindungi monopolinya secara haram di pasaran komputer peribadi dengan menjadikannya lebih sukar untuk menyahpasang Internet Explorer dan menggunakan pelayar web lain yang bersaing, antara sekatan lain.
Pada bulan April 2000, Mahkamah Daerah AS memutuskan bahawa Microsoft “mengekalkan kuasa monopolinya dengan kaedah antisaing dan cuba memonopoli pasaran pelayar Web,” sesuatu yang melanggar undang-undang antimonopoli AS.
Jabatan Kehakiman AS dan Microsoft mencapai penyelesaian pada November 2001, dengan menyetujui atas satu set sekatan untuk syarikat itu.
AFP Fact Check sebelum ini pernah membongkar dakwaan tidak sahih bahawa Gates merancang untuk mengawal dunia melalui vaksinasi secara besar-besaran atau menanam mikrocip di dalam orang ramai untuk mengesan pergerakan mereka.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami