Jet British Airways dilihat di Lapangan Terbang Heathrow, di barat London, pada 13 Jun 2021. ( AFP / Brendan Smialowski)

Tidak ada ‘perbincangan krisis’ antara British Airways dan kerajaan UK mengenai penugasan juruterbang setelah divaksin

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Para pengguna media sosial mendakwa bahawa juruterbang British Airways meninggal dunia akibat vaksin Covid-19, yang menurut beberapa pihak yang membuat tuduhan diwajibkan oleh syarikat penerbangan tersebut dan menyebabkan perbincangan dengan kerajaan UK mengenai kebolehan juruterbang untuk bertugas setelah divaksin. Walaupun British Airways kehilangan beberapa juruterbang, syarikat itu menafikan sebarang kaitan antara kematian itu dan mengatakan bahawa ia tidak memaksa vaksinasi bagi mereka yang menerbangkan pesawatnya. British Airways dan agensi pengawalseliaan juga menafi berada dalam “perbincangan krisis”.

Dakwaan itu dikongsikan di Facebook di sini pada 19 Jun 2021.

Catatan itu berbunyi: “3 Pilot British Airways telah meninggal setelah mengambil Dos ke2 Vaccine dalam masa 7 hari dan BA sedang berunding dengan Kerajaan sama ada untuk membenarkan Pilot yang telah di Vaccine untuk meneruskan penerbangan.

“Isu ini menjadi sangat rumit kepada BA dan Kerajaan Britain kerana hampur 85% Pilot mereka telah Di Vaksinasi.

“Dare to fly gais?Its effect your brain and blood clots.”

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 27 Jun 2021

Dakwaan serupa juga muncul di Facebook di sini.

Dakwaan-dakwaan ini mula-mula muncul dalam bentuk rakaman audio dalam bahasa Inggeris yang dikongsi dalam catatan Gab seawal 17 Jun 2021, menurut carian menggunakan alat analisis media sosial CrowdTangle.

Dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris itu telah beredar di Instagram di sini dan di Twitter di sini — semuanya menyalahkan vaksin Covid-19 atas kematian anggota kakitangan BA.

Catatan ini mengongsikan variasi dakwaan yang menyatakan British Airways bertanggungjawab atas kematian tersebut kerana mereka mewajibkan vaksin bagi juruterbang mereka.

Dakwaan-dakwaan tersebut merupakan antara tuntutan dari seluruh dunia yang mencadangkan secara keliru pertalian bersebab (causal relationship) antara suntikan vaksin dan pelbagai kejadian buruk, termasuk kematian.

British Airways mengesahkan dalam satu ciapan pada 17 Jun 2021 bahawa “empat anggota komuniti juruterbang kami meninggal dunia baru-baru ini”, tetapi ia menambah lagi: “Tidak ada kebenaran dalam dakwaan-dakwaan di media sosial yang membuat spekulasi bahawa keempat-empat kematian itu berkaitan.”

Tangkapan skrin ciapan, diambil pada 29 Jun 2021

Apabila dihubungi oleh AFP untuk komen lebih lanjut, British Airways berkata ia bukan dalam “perbincangan krisis” dengan kerajaan dan juga tidak “mewajibkan vaksin untuk para juruterbang”.

Sarah Branch, dari Agensi Pengawalseliaan produk Ubat-ubatan dan Kesihatan (MHRA), berkata pada 23 Jun 2021: “Kami belum diberitahu tentang kematian juruterbang BA setelah menerima vaksin Covid-19 dan tidak mengadakan perbincangan dengan BA atau syarikat penerbangan yang lain mengenai mencegah juruterbang daripada terbang selepas menerima vaksin Covid-19.”

Branch, pengarah kewaspadaan dan pengurusan risiko ubat-ubatan untuk agensi itu, menambah lagi bahawa “pada masa ini tidak ada sekatan” atas apa yang boleh dilakukan oleh penerbangan atau sektor lain pasca vaksinasi.

British Airways tidak mendedahkan nama-nama si mati kepada AFP.

Namun begitu, melalui carian berita dalam talian, AFP menemui laporan mengenai kematian seorang juruterbang BA, Nicholas Synnott. Menurut surat akhbar The Independent pada 10 Jun 2021, Synnott “menghabiskan rekod selama 243 hari di sebuah hospital di Texas ketika menderita akibat Covid-19” sebelum pulang ke rumah dan mati di sebuah hospital di UK.

Sehingga 30 Jun 2021, lebih daripada 128,000 orang di UK telah mati akibat Covid-19, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

COVID-19 VAKSIN