Rakaman ini diambil dari ritual Hindu berbeza sebelum kemunculan Covid-19 di India pada bulan Januari 2020

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 15/06/2021 pukul 13:20
  • Durasi bacaan 4 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Dua video telah ditonton puluhan ribu kali di Facebook dan Instagram dengan dakwaan bahawa mereka menunjukkan rakyat India “membuang berhala dalam sungai kerana tidak dapat melindungi mereka daripada penyakit Covid-19” . Dakwaan itu tak benar: kedua-dua video itu dirakam semasa festival tahunan Hindu berbeza sebelum kemunculan wabak Covid-19 di India pada bulan Januari 2020. 

Satu rakaman telah dimuat naikkan pada 11 April 2020 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 37,000 kali. 

Video berdurasi lima minit dan 30 saat itu memaparkan para lelaki berpakaian jaket keselamatan reflektif naik ke trak yang mengandungi patung besar. Mereka kemudiannya melemparkan patung tersebut satu persatu dari atas jambatan ke sungai di bawahnya. 

Image
Tangkapan skrin video Facebook yang mengelirukan, diambil pada 14 Jun 2021

Kapsyennya berbunyi: “Antara sedar x sedar... penyakit covid yg Allah bg nie menyebabkan di India mereka dah buang berhala dlm sungai .... Depa tengok penyakit punya teruk tokong xblh buat apa pun, baik buang saja dlm sungai tengok dia blh berenang tk, pun xblh berenang, karut ja ni depa kata.”

Rakaman itu telah ditonton lebih daripada 16,000 kali setelah juga beredar dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini

Video itu juga muncul dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris seperti di sini.

Terdapat satu lagi catatan Facebook bertarikh 9 Mei 2021 ini yang mengongsikan rakaman dalam gaya laporan berita dari stesen TV Syiah, Shia Waves, yang mengatakan rakyat India membuang berhala “kerana mereka marah bahawa berhala tidak melindungi mereka daripada koronavirus”. 

Image
Tangkapan skrin video Instagram yang mengelirukan, diambil pada 15 Jun 2021

Video itu juga tersebar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris di Instagram di sini dan sini.

India mencatatkan rekod global lebih daripada 6,000 kematian akibat Covid-19 dalam 24 jam pada 10 Jun 2021 dan membawa kepada jumlah kematian hampir 360,000, iaitu ketiga tertinggi di dunia, lapor AFP di sini

India mengesahkan pesakit Covid-19 pertamanya pada 30 Januari 2020, seperti yang dilaporkan di sini dan sini.

Namun bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Video pertama

Pencarian imej terbalik dengan alat Invid-WeVerify mendapati rakaman tersebut telah dimuat naikkan dalam catatan media sosial dari tahun 2015.

Klip tersebut boleh didapati di catatan Facebook ini yang dikongsikan pada 29 September 2015. Kapsyen catatan itu menyebut “Ganesha” dan “perendaman”.

Ganesha, juga dikenali sebagai Ganesh atau Ganapati, adalah dewa Hindu berbadan manusia dan berkepala gajah.  

Video tersebut juga dikongsikan di Facebook di sini pada 24 September 2015 dengan kapsyen dalam bahasa Telugu: “Ini adalah cara polis Telangana membuang Ganapati di Jambatan Sungai Krishna di sepanjang Lebuhraya Nasional 44, Daerah Mahbubnagar di negeri Telangana.”

Lokasi itu boleh dilihat di Google Maps di sini.  

Setiap tahun, pada bulan Ogos atau September, penganut agama Hindu di India meraikan festival Ganesh Chaturthi selama 10 hari untuk menandakan kelahiran Ganesh. Salah satu ritualnya termasuklah merendamkan berhala Ganesh di dalam sungai.

Pada tahun 2015, festival itu berlangsung dari 17 sehingga 27 September. 

Pada bulan September 2020, AFP menyiarkan video ini yang menunjukkan perayaan festival Ganesh Chaturthi ketika waktu pandemik.

Hasil carian di Google Maps membolehkan AFP mencari jambatan yang melintasi sungai Krishna di bandar Beechupally. Apabila dihubungi oleh AFP, ketua polis negeri Telangana, Rema Rajeshwari mengesahkan video itu diambil di Beechupally.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Google Maps (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan gambar dari Google Maps (kanan)

Video kedua

Rakaman video kedua menunjukkan klip pembersihan berhala di jalan raya oleh mesin pengorek yang digabungkan dengan sebahagian video mengelirukan yang pertama.

Hasil carian imej terbalik menggunakan tangkapan skrin dari video kedua menjumpai rakaman ini dari ciapan seorang ketua editor di Gujarat bertarikh 12 Ogos 2019.

Catatan itu membalas ciapan ini dari Vijay Nehra, pejabat Pesuruhjaya Perbandaran Ahmedabad ketika itu, mengenai berhala dewi Hindu Dashama yang tidak direndam tetapi ditinggalkan di tebing Sungai Sabarmati di bandar Ahmedabad, negeri Gujarat, barat India.

 

Festival Dashama yang didedikasikan kepada dewi Hindu Dashama berlangsung selama 10 hari setiap tahun. Pada tahun 2019, festival itu bermula pada 1 Ogos. 

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video mengelirukan pertama (kiri atas), video mengelirukan kedua (kiri bawah) dan video asli di Facebook (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video mengelirukan pertama (kiri atas), video mengelirukan kedua (kiri bawah) dan video asli di Facebook (kanan)

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video mengelirukan kedua (kiri) dan video Twitter (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video mengelirukan kedua (kiri) dan video Twitter (kanan)

Kedua-dua video yang beredar dalam talian pernah dibongkar AFP Fact Check di sini pada tahun 2020 dan sini pada tahun 2021, dan Snopes di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami