Bendera kebangsaan AS dikibarkan di Capitol AS di Washington, DC, pada 8 Ogos 2021 ( AFP / Mandel Ngan)

Senat Amerika Syarikat tidak kata novel koronavirus adalah 'penipuan'

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video sidang media yang diadakan oleh sekumpulan senator Amerika Syarikat (AS) telah disebarkan secara meluas di media sosial bersama dengan dakwaan bahawa Senat AS telah mengumumkan bahawa novel koronavirus adalah "penipuan". Dakwaan ini mengelirukan. Senat AS tidak pernah membuat pengumuman seperti itu, kata jurucakap pemimpin majoriti Senat kepada AFP. Walaupun para senator Parti Republik dalam video tersebut menimbulkan persoalan tentang asal usul novel koronavirus, mereka tidak meragui kewujudannya.

Video berdurasi lima minit dan 32 saat itu disiarkan di Facebook di sini pada 19 Jun 2021 dan telah ditonton lebih daripada 570 kali.

Kapsyen berbahasa Malaysia itu berbunyi: "USA mengumumkan Corona adalah penipuan."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 15 September 2021

Video tersebut telah ditonton lebih daripada 18.800 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini dan sini, di Instagram di sini, dan di Telegram di sini.

Video yang sama juga telah dikongsi dengan dakwaan yang sama dalam bahasa Indonesia, bahasa Jerman, bahasa Perancis,bahasa Serbia, bahasa Hungary dan bahasa Poland.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.

Apa yang sebenarnya dikatakan oleh para senator

Video itu menunjukkan satu sidang media pada 10 Jun 2021, yang diadakan oleh lima senator Parti Republik: Marsha Blackburn dari Tennessee, Roger Marshall dari Kansas, Mike Braun dari Indiana, Ron Johnson dari Wisconsin dan Roger Wicker dari Mississippi.

Hanya tiga senator — Blackburn, Braun dan Marshall — kelihatan dalam suntingan video yang dikongsikan dalam catatan yang mengelirukan.

Blackburn memuat naikkan video yang menunjukkan sidang media penuh itu ke saluran YouTubenya di sini pada 10 Jun 2021.

Video yang berdurasi lebih daripada 15 minit itu bertajuk: "Blackburn Memimpin Rakan-rakan Sekerjanya dalam Sidang Akhbar mengenai Penapisan Teknologi Besar ke atas Asal Usul COVID-19 PENUH. "

Dalam sidang media itu, lima senator itu mengkritik sekatan yang dikenakan oleh platform media sosial besar, seperti Facebook, YouTube dan Twitter, terhadap kandungan yang mereka anggap melanggar peraturan mereka.

Marshall meminta "mereka yang terlibat dalam penyembunyian kebocoran makmal Wuhan dipertanggungjawabkan" dan Wicker mengkritik kuasa platform-platform besar, dengan mengatakan mereka dapat "memutuskan apa yang kita akan dengar dan apa yang kita tidak dapat dengar".

Dalam kenyataan media yang diterbitkan di laman sesawangnya pada 10 Jun 2021, Blackburn memberikan ringkasan topik-topik yang dibincangkannya dalam sidang media tersebut - dengan mengatakan: "Teknologi besar telah benar-benar melampaui batas dalam hal ini", dan mencadangkan bahawa Dr Anthony Fauci, ketua penasihat perubatan Rumah Putih (White House), telah "bersekongkol dengan ... teknologi besar".

Seperti yang dilaporkan oleh AFP pada bulan Mei 2021, Facebook telah mengubah dasarnya, di mana ia tidak lagi melarang catatan-catatan yang mencadangkan Covid-19 muncul dari makmal.

Beberapa saluran media AS seperti Forbes dan Fox News juga melapor mengenai sidang media tersebut.

Komen pemimpin majoriti Senat

Jurucakap pemimpin majoriti Senat dan Senator Demokrat Chuck Schumer memberitahu AFP dalam e-mel pada 14 Jun 2021: "Para senator Demokrat tidak percaya bahawa COVID-19, yang telah meragut nyawa hampir 600,000 rakyat Amerika, adalah satu pembohongan. Dan adalah salah untuk mencadangkan bahawa Senat mengumumkan hal ini."

Pejabat pemimpin minoriti Senat, Senator Republik Mitch McConnell, belum menjawab pertanyaan AFP pada masa penerbitan.

Mengakui kewujudan Covid-19

Walaupun para senator menuduh platform media sosial yang kononnya "menyembunyikan" asal usul virus itu, tiada seorang pun yang mempersoalkan kewujudan Covid-19 dalam video tersebut, dan kenyataan-kenyataan yang mereka buat sebelum itu menunjukkan mereka percaya bahawa virus itu sebenar.

Dalam video YouTube yang dimuat naikkan pada bulan Mac 2021, Blackburn berkata: "Pastikan anda mencuci tangan, menggunakan pensanitasi, memakai topeng, dan luangkan masa untuk melakukan apa yang saya telah buat: buat temujanji itu dan dapatkan vaksinasi itu."

Wicker menulis di laman webnya pada bulan Mac 2021 bahawa "vaksin kami terbukti kejayaan yang luar biasa," dan pada bulan April 2021, Marshall dan Braun meminta orang ramai untuk mendapatkan vaksinasi.

Sebaliknya, Johnson telah dikritik kerana menyebarkan maklumat tidak sahih yang anti-vaksin. Walau bagaimanapun, pejabatnya mengesahkan pada Oktober 2020 bahawa senator itu sendiri telah jatuh sakit dengan Covid-19.

Sejak permulaan pandemik ini, telah muncul perdebatan mengenai asal usul Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, termasuk satu teori bahawa ia mungkin terlepas dari sebuah makmal di bandar Wuhan di China.

AFP telah menerbitkan mengenai apa yang diketahui dan tidak diketahui tentang virus itu dan asal usulnya di sini dalam bahasa Perancis.

COVID-19