Pembuatan ubat kumur Eludril di Gien, Perancis, pada 21 Mac 2018 ( AFP / Gerard Julien)

Dakwaan tak sahih bahawa ubat kumur 'boleh ubati Covid-19' beredar di media sosial

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Dakwaan bahawa ubat kumur seperti Betadine dan Listerine boleh digunakan sebagai "ubat Covid-19" tersebar secara meluas di Facebook. Dakwaan ini tidak benar. Pihak berkuasa kesihatan menyangkal dakwaan itu. Kedua-dua jenama ubat kumur itu menyatakan bahawa produk mereka tidak boleh dan tidak diluluskan untuk digunakan terhadap Covid-19.

Sebuah gambar produk ubat kumur dikongsikan pada 22 Mei 2021 di Facebook di sini.

Kapsennya menyatakan: "Kkm tiada respond."

Imej itu menampilkan dua produk ubat kumur, Betadine Gargle & Mouthwash dan Original Listerine Antiseptic Mouthwash.

Ayat yang ditindihkan pada gambar itu berbunyi: "PAKAR M'SIA TEMUI 'UBAT COVID-19'

"Pakar M'sia mendapati berkumur dengan BETADINE atau LISTERINE, 3 kali sehari selama 4 hari berturut-turut boleh membunuh virus COVID-19. Hasil penemuan telah diserah kepada KKM."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 22 September 2021

Gambar itu juga muncul dengan dakwaan yang serupa di sini, sini, sini dan sini.

Namun begitu, dakwaan itu tak benar.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membantah dakwaan tersebut melalui catatan Facebook bertarikh 13 Januari ini, yang menggunakan penjelasan dari seorang doktor gigi, Dr Iqbal Rosali.

Keterangan panjang itu antara lain menyatakan: "Benda ini ada dalam garis panduan yang dikeluarkan bahagian pergigian KKM. Benda ini adalah sebagai langkah untuk mencegah penyebaran virus COVID-19 bila buat rawatan yang menghasilkan aerosol ...

"Persoalannya sekarang, virus COVID-19 ada dalam tubuh badan orang yang dijangkiti. Macam mana dengan berkumur sahaja boleh hapuskan virus ni. Berapa kali kena berkumur baru boleh bebas dari virus ni.

“Memang ada kajian berkaitan penggunaan bahan ini dan kaitannya dengan virus COVID-19, tapi hingga hari ini masih belum ada apa-apa bukti penggunaan ubat kumur merawat sepenuhnya virus ini."

Syarikat-syarikat yang membuat ubat kumur tersebut juga membantah penggunaan produk mereka boleh menyembuhkan Covid-19.

Seperti Betadine Gargle & Mouthwash, Betadine Antiseptic Sore Throat Gargle adalah produk untuk sakit tekak yang mengandung povidone-iodin.

Betadine mengatakan di laman web mereka di sini dan sini: "Betadine® Antiseptic Sore Throat Gargle hanya untuk kelegaan sementara bagi sakit tekak sekali sekala. Produk Antiseptik Betadine belum terbukti berkesan untuk rawatan atau pencegahan COVID-19 atau virus lain."

Berikut adalah tangkapan skrin dari laman web Betadine:

Tangkapan skrin dari laman web Betadine
Tangkapan skrin dari laman web Betadine

 

 

Dalam laman web mereka di sini dan sini, Listerine menyatakan: "Antiseptik LISTERINE® tidak bertujuan untuk mencegah atau mengubati COVID-19 dan hanya boleh digunakan seperti yang tertera pada label produk.

"Walaupun terdapat laporan berdasarkan makmal (kajian in vitro) baru-baru ini mengenai beberapa ubat kumur LISTERINE® yang mempunyai aktiviti terhadap virus sampul, termasuk koronavirus, data yang tersedia tidak mencukupi, dan tidak ada kesimpulan klinikal berdasarkan bukti yang dapat diambil berkaitan dengan keberkesanan anti-virus ubat kumur Antiseptik LISTERINE® pada masa ini."

Berikut adalah tangkapan skrin dari laman web Listerine:

Tangkapan skrin dari laman web Listerine
Tangkapan skrin dari laman web Listerine

 

 

AFP sebelum ini pernah membongkar dakwaan tidak sahih yang berbeza, bahawa berkumur dengan antiseptik boleh mencegah jangkitan Covid-19.

COVID-19