Video ini menunjukkan orang awam India yang marah selepas kematian seorang suspek polis, tak ada hubungan dengan pandemik
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 13/05/2021 pukul 06:05
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video itu disiarkan pada 2 Mei 2021 di Instagram di sini, di mana rakaman itu telah ditonton lebih daripada 44,000 kali.
Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan sekumpulan orang merosakkan van dan memukul pegawai berkuasa dalam pakaian seragam dengan kayu. Keterangannya menyatakan: “Di India orang awam yang kecewa dan marah merusuh melawan polis dan tentera. Mereka membantah penguatkuasaan topeng muka, dan kawalan pergerakan.
“Pertembungan ini telah meletus di seluruh India ketika pemerintah mencuba penutupan kegiatan awam untuk mencegah penularan wabak covid yang sudah kritikal di negara itu.”
Video itu juga telah dikongsi dengan dakwaan serupa di Facebook dan Twitter, di mana rakaman itu telah ditonton lebih daripada 470,000 kali.
Video yang sama juga beredar di Facebook di sini dan sini, dengan versi dakwaan lain, yang mengatakan bahawa orang awam di India kononnya memukul polis kerana “kes Covid 19 yang kian meningkat serta kekurangan bekalan oksigen di hospital” atau “kerajaan menyekat bantuan perubatan di kawasan pembangkang”.
Catatan-catatan ini tersebar secara dalam talian ketika India menyaksikan peningkatan mendadak kes-kes kematian dan Covid-19 di mana hospital-hospital yang dibanjiri pesakit mengalami kekurangan katil, ubat-ubatan dan oksigen.
Semua dakwaan itu tak benar.
Carian kata kunci di Google dan pelbagai media sosial mendapati video itu dikongsikan terlebih dahulu di sini di Twitter oleh Pratinidhi Odia, media berita tempatan di negeri Odisha, di bahagian timur India, pada 13 Januari 2021.
ଭଦ୍ରକରେ ଯୁବକଙ୍କ ମୃତ୍ୟୁକୁ ନେଇ ଉତ୍ତେଜନା। ପୋଲିସ କୁ ଗୋଡେଇ ଗୋଡେଇ ପିଟିଲେ ଲୋକେ। ଜାଳିଦେଲେ ପୋଲିସ ଗାଡି। ପୂର୍ବ ମାମଲାକୁ ନେଇ ଯୁବକଙ୍କୁ ଗିରଫ ପାଇଁ ଆସିଥିଲା ପୋଲିସ । ଖସିଯିବା ବେଳେ ଘର ନିକଟ ଗାଡ଼ିଆରେ ପଡ଼ି ଯୁବକଙ୍କ ମୃତ୍ୟୁ ଅଭିଯୋଗ #Bhadrak #OdishaNews @SpBhadrak pic.twitter.com/axjRTxUFe8
— Pratinidhi Odia (@PratinidhiOdia) January 13, 2021
Ciapan tersebut menjelaskan bahawa orang ramai di Bhadrak, sebuah daerah di Odisha, memukuli polis dan membakar van mereka selepas seorang pemuda yang dituduh melakukan jenayah mati ketika polis cuba menahannya.
Berikut adalah perbandingan video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video dari Pratinidhi Odia (kanan):
Media tempatan Odisha, seperti ini dan ini, melaporkan perselisihan antara penduduk dan polis di Haturai, sebuah kampung di Bhadrak, selepas kematian seorang suspek pada 13 Januari 2021.
Laporan media itu memaparkan gambar sebuah van putih yang padan dengan van yang dilihat dalam catatan yang mengelirukan. Pondok kecil di sepanjang jalan dalam gambar tersebut juga padan dengan lokasi yang dilihat dalam video Instagram itu.
“Marah atas tuduhan bunuh diri seorang pemuda, penduduk kampung di daerah Bhadrak membakar sebuah van polis pada hari Rabu,” lapor Odisha TV.
“Menurut pelbagai sumber, pemuda itu disoal siasat oleh polis berhubungan dengan satu kes baru-baru ini. Keluarga pemuda itu mendakwa dia diserang oleh polis semasa soal siasat tersebut.”
Berikut adalah tangkapan skrin laporan Odisha TV:
Seorang pegawai polis memberitahu The Quint, sebuah laman web berita India, bahawa video tersebut dirakam di daerah Bhadrak di Odisha: “Kejadian itu berlaku di bawah [bidang kuasa] polis Tihididi pada bulan Januari [2021]. Beberapa orang kemudian menyerang polis tempatan.”
BOOM Live, laman web semakan fakta dari India, juga telah membongkar video yang sama, selepas ia tersebar dengan dakwaan tidak sahih yang berbeza mengenai keganasan pasca pengundian di Bengal Barat, negeri di bahagian timur India.
AFP sebelumnya pernah menyemak video yang sama dengan dakwaan tak benar yang berbeza di sini, bahawa penduduk kampung India menyerang pekerja kesihatan yang cuba menguji mereka untuk virus.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami