Video lama latihan askar payung terjun Rusia dikongsi dengan dakwaan tak sahih tentang 'pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Jumaat 25/03/2022 pukul 07:57
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Bulgaria, AFP Jerman, AFP Singapura, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video berdurasi 45 saat itu telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 24 Februari 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 4,500 kali.
Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Tentera Russia Turun ke atas kota Kharkiv di Ukraine melalui Ruang Udara”.
Video itu telah ditonton lebih daripada 8,200 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.
Video itu juga telah beredar dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Bulgaria, bahasa Jerman, bahasa Cina, bahasa Burma, bahasa Hindi dan bahasa Arab.
Bandar Kharkiv, juga disebut Kharkov, telah diserang secara bertubi-tubi tanpa henti sejak 24 Februari 2022, dengan bunyi tembakan dan letupan kedengaran di bandar itu, sejurus selepas Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan pencerobohan ke atas negara itu.
Terdapat juga laporan mengenai anggota tentera payung terjun Rusia yang dikerahkan untuk mengambil alih kuasa di beberapa lokasi strategik.
Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.
Carian imej terbalik mendapati video yang lebih panjang ini dimuat naikkan oleh seorang pengguna rangkaian sosial Rusia VKontakte pada 14 Mac 2014.
Keterangan video berdurasi 49 saat itu adalah: "Pendaratan kami dekat Rostov."
Berikut tangkapan skrin video asli di catatan VKontakte:
Dua gambar lain yang juga dimuat naik oleh pengguna tersebut pada 13 Mac 2014 menunjukkan lelaki muda dalam kelengkapan tentera dengan kapsyen: "Mendarat berhampiran Rostov di bandar Taganrog ... dua lompatan setiap hari".
Taganrog ialah sebuah bandar di wilayah Rostov, di barat daya Rusia, yang terletak kira-kira 50 kilometer timur dari sempadan dengan Ukraine.
Gambar seorang askar berdiri di hadapan sebuah pesawat pengangkutan tentera Rusia Ilyushin Il-76 dengan pendaftaran RA-76669 dimuat naikkan sebagai foto profil akaun itu pada 13 Mac 2014.
Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asal di VKontakte (kanan):
Menurut pengumuman Kementerian Pertahanan Rusia bertarikh 13 Mac 2014, satu latihan ketenteraan yang melibatkan pesawat Il-76 dijalankan di kawasan latihan Kuzminka sampai hari berikutnya.
Kuzminka terletak kira-kira 36 km timur laut Taganrog.
Zvezda TV, saluran media milik kerajaan yang dikendalikan oleh angkatan tentera Rusia, juga menerbitkan artikel dan video latihan ketenteraan itu pada 13 Mac 2014.
Video yang mengiringi artikel itu, yang kemudiannya dikongsikan pula di sini di YouTube, menunjukkan adegan-adegan serupa di mana askar payung terjun gugur dari pesawat pengangkutan tentera model yang sama seperti yang dilihat dalam foto profil VKontakte.
Di bawah ialah tangkapan skrin laporan Zvezda TV:
TASS, agensi berita negara Rusia, melaporkan pada 11 Mac 2014, bahawa latihan ketenteraan, yang juga termasuk membuat lompatan payung terjun, akan berlangsung sehingga 14 Mac 2014.
AFP telah membongkar pelbagai maklumat tidak sahih dalam talian tentang pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022 di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami