Gambar yang diambil pada September 2005 menunjukkan Pulau Ular di Laut Hitam, kawasan Ukraine. ( AFP / Genya Savilov)

Pembela pulau Ukraine ditangkap oleh Rusia, bukan semuanya dibunuh

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan media sosial, laporan dalam talian dan presiden Ukraine memuji 13 pengawal sempadan negara itu sebagai wira, sambil menambah bahawa mereka semua terbunuh di sebuah pulau kecil di Laut Hitam selepas menolak untuk menyerah pada Rusia. Tetapi, Tentera Laut Ukraine kemudiannya mengakui pengawal sempadan itu telah ditawan dan bukan sudah mati, manakala Moscow berkata puluhan telah menyerah diri. Pada akhir Mac 2022, Parlimen Ukraine berkata sejumlah pengawal itu telah dilepaskan oleh Rusia sebagai sebahagian pertukaran tawanan perang.

Satu pautan ke artikel laman sesawang popular Malaysia, Siakapkeli dimuat naikkan di sini di Facebook pada 25 Februari 2022, di mana ia dikongsikan melebihi 200 kali.

Kapsyennya menyatakan: “Kesemua anggota tentera tersebut bertugas mempertahankan Pulau Zmiiyni yang terletak di Laut Hitam."

Tangkapan skrin hantaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 31 Mac 2022

Dakwaan yang sama telah dikongsi di Twitter di sini, serta di Facebook di sini, sini dan sini.

Ia juga disebarkan oleh organisasi berita Kanada dan Amerika Syarikat (AS) — sebahagian daripada penyebaran maklumat tidak sahih tentang perang yang dicetuskan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pengawal Sempadan Ukraine mengumumkan pada 24 Februari 2022 bahawa Pulau Zmiinyi, atau Pulau Ular, pulau kecil tetapi strategik di Laut Hitam, menjadi sasaran "ancaman" daripada kapal perang Rusia.

Ini diikuti satu kenyataan yang mengatakan pulau itu telah "ditawan" dan hubungan dengan anggota kumpulan di situ telah terputus.

Anton Gerashchenko, penasihat kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine, berkata dalam catatan Facebook ini bahawa 13 pengawal sempadan itu telah "dibunuh" dan mengaitkannya dengan rakaman audio perbualan di Telegram. Rakaman itu telah tersebar secara meluas dalam talian.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memuji pengawal sempadan tersebut dalam satu ucapannya, dengan mengatakan bahawa mereka mati dengan berani.

Tetapi agensi akhbar kerajaan Rusia Tass melaporkan pada 25 Februari 2022 bahawa Igor Konashenkov, jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, berkata sebaliknya 82 warga Ukraine itu telah menyerah diri.

Tentera Laut Ukraine mengeluarkan kenyataan ini di Facebook pada 28 Februari 2022 yang mengatakan bahawa anggota kumpulan di Pulau Ular sebenarnya tidak mati tetapi telah ditahan. "Kami gembira mengetahui bahawa saudara-saudara kami masih hidup dan sihat," kata mereka.

Walaupun begitu, tidak banyak catatan media sosial yang mendakwa mereka telah mati dikemas kini, dan orang ramai terus berkongsi dan berinteraksi dengan kandungan yang tidak tepat tentang kejadian itu.

Situasi seperti ini menggambarkan "kabus perang" dan "keinginan untuk propaganda" dari kedua-dua pihak, menurut Arnaud Mercier, profesor komunikasi di Université Paris-II Panthéon-Assas, yang menulis sebuah buku tentang komunikasi politik semasa perang di Iraq .

"Pihak berkuasa Ukraine lebih suka terlebih tafsir daripada menunggu untuk pengesahan, demi membuat detik pertama kewiraan untuk perang ini," kata Mercier.

Ini mendorong tentera Rusia untuk mendakwa bahawa warga Ukraine sedang mereka cerita tentang konflik untuk propaganda. "Mereka cuba menjadikan cerita ini sebagai satu simbol yang akan menunjukkan bahawa semua bentuk kewiraan Ukraine yang lain adalah pembohongan," katanya.

Dalam ciapan bertarikh 25 Mac 2022, Parlimen Ukraine berkata Rusia membebaskan sejumlah tahanan perang Ukraine, termasuk anggota yang melafazkan ungkapan ikonik menentang tentera Rusia, sebagai sebahagian daripada pertukaran tawanan perang.

Pada 29 Mac 2022, Kementerian Pertahanan Ukraine mengumumkan bahawa anggota yang menuturkan ayat tular itu menerima pingat penghargaan daripada kerajaan.

Konflik Ukraine