Catatan sosial media mengelirukan dakwa antibodi Covid-19 sebabkan susu ibu berubah warna

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Hantaran media sosial yang memaparkan imej dua beg susu ibu bersama dengan dakwaan satu daripadanya kehijauan kerana ibu tersebut menghasilkan antibodi sebagai tindak balas kepada jangkitan Covid-19. Namun, para pakar berkata warna susu ibu boleh berubah kerana banyak sebab dan seri warna hijau tidak semestinya bermakna sama ada ibu atau anak menghidapi penyakit itu.

Foto yang menunjukkan dua beg mengandungi cecair dengan label bahasa Inggeris "Susu Ibu Biasa" dan "Susu Ibu Positif Covid-19" dimuat naikkan di Facebook di sini pada 12 Januari 2022, di mana ia telah dikongsikan melebihi 40 kali.

Dalam foto itu, beg yang berlabel "susu ibu biasa" berwarna keputihan manakala beg yang berlabel "susu ibu yang positif Covid-19" berwarna kehijauan.

Sebahagian kapsyennya berbunyi:"MasyaAllah.. Selalu tengok susu ibu berubah bila baby demam... Hari ni lalu kat ig, susu ibu positif cövid.. Warna hijau terus.. ."

Tangkapan skrin hantaran Facebook yang mengelirukan, diambil pada 11 April 2022

Dakwaan itu juga muncul di sini, sini dan sini.

Ia juga beredar dalam catatan berbahasa Inggeris, seperti ini dan ini.

Namun, dakwaan itu mengelirukan.

Kathryn Gray, seorang pakar perubatan dalam perubatan janin ibu di Brigham and Women's Hospital di Boston, AS, memberitahu AFP: "Susu ibu boleh menjadi pelbagai warna yang berbeza sepanjang masa, bergantung pada apa yang anda makan, dan bergantung kepada jika anda mengambil sebarang ubat-ubatan. Jadi, antibodi tidak menyebabkan susu ibu atau sebarang cecair lain bertukar warna tertentu."

Diet, ubat-ubatan dan juga masa pada hari tersebut boleh menyebabkan warna yang berbeza, jelas Gray, yang juga seorang profesor di Sekolah Perubatan Harvard.

Mengenai imej yang tersebar dalam media sosial itu, beliau berkata: "Saya akan mengesyaki bahawa perubahan warna itu adalah disebabkan oleh salah satu faktor tersebut," dan bukan kerana Covid-19.

Secara umumnya tiada apa yang perlu dikhuatiri daripada perubahan warna dalam susu ibu, kecuali warna merah atau merah jambu daripada payudara yang merekah atau berdarah, dalam keadaan ini ibu tersebut harus menjaga dirinya sendiri, bukan bimbang tentang susu itu, kata Gray.

Gina Boling, pakar runding laktasi bertauliah lembaga antarabangsa dari The Breastfeeding Center di wilayah Greater Washington, bersetuju bahawa susu bertukar kehijauan tidak secara khusus menandakan antibodi Covid-19.

"Susu boleh menjadi hijau atas beberapa sebab, jadi saya tidak akan menganggap bahawa jika seseorang mempunyai susu hijau bahawa mereka mempunyai Covid," katanya.

Profesor Madya Dr. Ganesh Ramachandran, dari Fakulti Kesihatan dan Sains Perubatan di Taylor's University Malaysia, bersetuju dan memberitahu AFP: "Susu ibu biasanya berwarna keputihan [tetapi] warnanya kadangkala boleh berubah dan ini biasanya berkaitan dengan makanan, herba atau pewarna makanan yang kita makan."

Lori Feldman-Winter, profesor pediatrik Amerika, berkata tiada bukti bahawa jangkitan Covid-19 atau antibodi Covid-19 susulan jangkitan atau vaksinasi akan menjadikan susu ibu hijau.

Para saintis tahu bahawa berikutan "penyakit dengan Covid-19, dan sebaik-baiknya vaksinasi terhadap Covid-19, terdapat antibodi peneutralan dalam susu ibu yang berpotensi melindungi bayi daripada jatuh sakit," katanya.

"Pokoknya, dapatkan vaksin dan susukan bayi," tambah Feldman-Winter.

AFP sebelum ini menafikan dakwaan tak sahih bahawa vaksin Covid-19 Pfizer/BioNTech berbahaya bagi ibu menyusu.

COVID-19