Video lelaki dalam beg mayat merokok dari set pembuatan video muzik, bukan 'kematian yang dipentaskan di Ukraine'

Sebuah video menunjukkan seorang lelaki menghisap rokok dalam sebuah trak yang kelihatan penuh dengan beg mayat telah ditonton ribuan kali dalam catatan Facebook yang menunjukkan bahawa kematian sedang dipentaskan dalam perang di Ukraine. Tuntutan itu palsu. Klip itu menunjukkan belakang tabir pembikinan video muzik lagu penyanyi rap Rusia Husky, yang dikeluarkan pada September 2020.

Video itu dikongsi di Facebook di sini pada 24 Mac 2022.

Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan menghisap rokok sambil berbaring di dalam beg mayat.

Kapsyen catatan berkenaan adalah seperti berikut: "KANTOI MEDIA BARAT BUAT SHOOTING KONON NYA RAKYAT UKRAINE RAMAI MATI TERBUNOH OLE TENTERA RUSSIA. MAYAT BOLE HISAP ROKOK TERAKHIR."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 7 April 2022

Video itu telah ditonton lebih daripada 1,100 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan serupa di sini, di sini dan di sini.

Ia juga muncul dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol dan bahasa Cina.

Siaran itu mencadangkan bahawa klip itu adalah daripada perang antara Rusia dan Ukraine yang mulai setelah Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan serangan ke atas negara tetangganya pada 24 Februari 2022.

Menurut data terkini dari PBB, pencerobohan itu telah membunuh lebih daripada 1,700 orang dan menyebabkan lebih daripada 4.5 juta orang meninggalkan Ukraine.

Tetapi video itu tiada kaitan berkaitan dengan konflik di Ukraine.

Video lama

Menggunakan alat dalam talian InVID-WeVerify, AFP menjalankan carian imej terbalik pada bingkai utama daripada klip itu dan menemui video itu sebelumnya diterbitkan di TikTok di sini pada 28 Mac 2021 oleh Vasya Ivanov, pengarah seni yang berpangkalan di Moscow.

Diterjemahkan dari bahasa Rusia, klip Tiktok mempunyai kapsyen berikut: "Merakam video Husky - 'Never Ever'."

Profil Ivanov dipautkan ke akaun Vimeo beliau, yang memuat naikkan video muzik "Never Ever", lagu penyanyi rap Rusia Husky, alias Dmitry Nikolayevich Kuznetsov, yang dikeluarkan pada 26 September 2020.

Selain itu, di akaun Instagram Ivanov, sejumlah klip di sebalik tabir dikongsi sebagai Instagram Story dan disimpan di bahagian Highlights di bawah nama "Husky Never Ever". Ia juga termasuk klip yang dikongsi di media sosial.

Berikut adalah tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan klip asli di akaun TikTok Ivanov (kanan):

Image
Tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan klip asli di akaun TikTok Ivanov (kanan)

Di senarai kredit pada penghujung video muzik rasmi untuk lagu itu, nama Ivanov muncul sebagai pereka produksi.

Evgenii Bakirov, pengarah video musik "Never Ever", turut memuat naikkan video muzik itu di akaun Vimeonya dan menyatakan bahawa video itu menunjukkan seorang lelaki yang bekerja sebagai janitor yang membersihkan peristiwa-peristiwa pergaduhan geng dan "adalah watak untuk perjuangan dalaman seorang artis yang sedang membersihkan dunia mentalnya".

Adegan terakhir video muzik itu menunjukkan trak berwarna oren penuh dengan beg mayat hitam, sepadan dengan yang terlihat dalam video di sebalik tabir.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin klip TikTok Ivanov (kiri) dan video muzik rasmi (kanan), dengan elemen yang sepadan dilingkari oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip TikTok Ivanov (kiri) dan video muzik rasmi (kanan)

Ini bukan kali pertama video itu digunakan untuk menyebarkan maklumat yang salah.

Pada tahun 2021, ketika teori konspirasi mengenai pandemik kerap dikongsi, pelbagai catatan mendakwa bahawa rakaman itu menunjukkan pementasan pesakit Covid-19 yang mati. AFP menafikan dakwaan itu di sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami