Kerajaan Thailand tolak laporan palsu bahawa mereka 'akan larang vaksin Covid Pfizer’
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 21/02/2023 pukul 05:54
- Dikemas kini pada hari Jumaat 24/02/2023 pukul 04:13
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Thailand, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Thailand menjadi negara pertama di dunia yang mengisytiharkan kontrak Pfizernya terbatal dan tidak sah," kata catatan Facebook yang dikongsi pada 10 Februari 2023.
"Jurucakap kerajaan Thailand memberitahu Profesor Sucharit Bhakdi minggu ini bahawa negaranya tidak lama lagi boleh menjadi negara pertama di dunia yang membatalkan dan membatalkan kontraknya dengan syarikat gergasi farmaseutikal Pfizer.
"Menurut Bhakdi, jurucakap itu berkata, merujuk kepada 'vaksin' covid percubaan syarikat itu bahawa 'kami akan memastikan bahawa Thailand adalah negara pertama di dunia yang mengisytiharkan kontrak ini (dengan Pfizer) batal.'
"Kami diberitahu bahawa Keluarga Diraja di Thailand terjejas secara langsung oleh suntikan covid Pfizer, yang dilaporkan membahayakan anak perempuan raja, Puteri Bajrakitiyabha. Oleh sebab itu, pihak berkuasa Thailand sedang berusaha untuk menamatkan hubungan negara dengan Pfizer."
Catatan itu turut berkongsi pautan ke artikel berbahasa Inggeris yang diterbitkan Health Impact News, yang membuat dakwaan serupa. Health Impact News ialah laman web berita Amerika yang sering menerbitkan laporan anti-vaksin.
Artikel itu memaparkan video ahli mikrobiologi Thai-Jerman Sucharit Bhakdi -- yang sebelum ini pernah dikritik kerana berkongsi dakwaan yang tidak berasas mengenai vaksin Covid-19. Dalam video itu, beliau membuat dakwaan tanpa bukti bahawa Puteri Bajrakitiyabha Mahidol dari Thailand telah mengalami kesan sampingan akibat suntikan Pfizer-BioNTech Covid-19.
Spekulasi itu muncul selepas puteri sulung Raja Maha Vajiralongkorn itu jatuh tidak sedarkan diri semasa sesi latihan anjing tentera pada Disember 2022.
Catatan serupa tentang kontrak Pfizer di Thailand juga dimuat naikkan di sini, sini dan sini.
Dakwaan itu tak hanya tular di antara pengguna media sosial dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, bahasa Thai, bahasa Cina, bahasa Burma dan bahasa Indonesia. Ia juga dikongsikan oleh doktor anti-vaksin Amerika Dr Peter McCullough dan ahli teori konspirasi Inggeris David Icke.
Namun dakwaan itu palsu.
Pihak istana Thailand berkata dalam satu kenyataan pada 7 Januari 2023 bahawa doktor diraja menyimpulkan keadaan puteri berusia 44 tahun itu disebabkan oleh jangkitan mikoplasma.
Pihak istana juga berkata Puteri Bajrakitiyabha masih tidak sedarkan diri. Tiada sebarang maklumat terkini diumumkan mengenai keadaannya setakat 21 Februari 2023.
Thailand melancarkan program vaksin Covid-19 pada Februari 2021. Kerajaan itu kini menawarkan suntikan Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac dan Sinopharm kepada orang ramai -- serta suntikan Moderna di hospital swasta.
Menjawab dakwaan yang ditularkan catatan media sosial, pejabat kesihatan awam Thailand berkata kerajaan itu tidak mengubah dasar vaksin Covid-19.
Kajornsak Kaewcharas, timbalan ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand, berkata pada 9 Februari 2023 bahawa "tiada perubahan pada dasar vaksin Thailand" setakat hari itu.
"Kami akan terus menyediakan vaksin untuk orang ramai dengan matlamat yang sama iaitu termasuk dua dos penggalak," katanya kepada AFP. "Tiada perbincangan mengenai perubahan kepada vaksin yang disediakan untuk orang ramai."
Setakat 21 Februari 2023, tiada maklumat rasmi diumumkan kerajaan Thailand mengenai perubahan kontrak vaksin Pfizer di negara itu.
Pada 3 Februari 2023, Kementerian Kesihatan Awam Thailand berkata dalam satu kenyataan bahawa khabar angin mengenai Thailand melarang vaksin Pfizer-BioNTech Covid adalah "berita palsu".
Pada 8 Februari 2023, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand mengumumkan akan melanjutkan tarikh tamat tempoh beberapa kumpulan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 daripada sembilan bulan kepada 15 bulan dari tarikh pembuatannya.
Menurut pakar kesihatan di Meedan, entiti yang menangani maklumat salah tentang kesihatan, tarikh tamat tempoh vaksin boleh dilanjutkan untuk membantu mengurangkan sisa vaksin dan meningkatkan akses atas vaksin.
Meedan memberitahu AFP pada 14 Februari 2023: "Vaksin Pfizer Covid-19 kekal stabil, selamat dan berkesan sehingga 18 bulan dari tarikh pembuatan."
AFP sebelumnya telah menafikan pelbagai dakwaan palsu dan mengelirukan mengenai vaksin.
24 Februari 2023 Laporan ini telah dikemas kini untuk menambah penjelasan tentang Health Impact News.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami