Ini video yang dirakam di Mexico, Romania dan Itali, bukan 'cuaca ekstrem di Israel pada Oktober 2023'

Perang Israel-Hamas telah mencetuskan gelombang catatan palsu dalam talian. Misalnya, video yang menampilkan orang berlari dan cuaca ekstrem dikongsikan dengan dakwaan palsu bahwa ia dirakam di Israel pada Oktober 2023, selepas perang meletus. Sebenarnya, itu adalah kompilasi video penonton perarakan tentera di Mexico, ribut kuat di Romania dan puting beliung di Itali.

Sebuah video -- yang sepertinya menunjukkan orang berpusu-pusu berlari diikuti dengan tampilan angin kencang yang merosakkan bangunan -- dikongsikan di TikTok pada 23 Oktober 2023.

Pada video berdurasi satu minit itu terlihat tulisan yang mengatakan rakaman itu diambil pada hari itu: "Today Israel Ya Allah," "Israel terkini Alhamdulilah" dan "Octobre 2023". 

Keterangan siaran itu berbunyi: "syukur alhamdulillah.. pergi mati dgn korang israel".

Rakaman itu telah ditonton lebih 6,100 kali dan disukai lebih 100 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 1 Mac 2024

Catatan itu muncul dua minggu lebih selepas Israel menyatakan perang setelah Hamas melancarkan serangan kejutan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Serangan Hamas menewaskan hampir 1,200 orang Israel, kebanyakannya orang awam, menurut angka rasmi terakhir kerajaan Israel. Hamas merampas kira-kira 250 tebusan, sekitar 130 daripadanya masih kekal di Gaza, termasuk 31 yang diperkirakan telah meninggal. 

Kempen udara dan darat Israel ke atas Gaza selama berbulan-bulan telah menewaskan lebih daripada 30,000 orang, kebanyakan wanita dan anak-anak, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas itu.

Video itu telah ditonton lebih 28,400 kali dan disukai 1,400 kali selepas beredar dengan dakwaan serupa pada akhir Oktober 2023 di TikTok di sini dan di sini serta di Instagram

Klip itu juga muncul di X, sebelumnya bernama Twitter, di mana ia dikongsi ulang lebih daripada 270 kali dan disukai lebih 550 kali. 

Siaran serupa juga dikongsikan dalam bahasa Inggeris

Namun dakwaan itu tak benar. Klip itu berisi pelbagai video berlaku sebelum perang Israel-Hamas dan sebenarnya difilemkan di Mexico, Romania dan Itali.

Klip pertama

Carian kata kunci di YouTube mendapati klip pertama -- menunjukkan orang berlari dari arah berbeza ke arah ruang terbuka -- sepadan dengan rakaman strim langsung yang dimuat naik di akaun YouTube bernama Webcams de Mexico pada 16 September 2022 (pautan arkib).

Menurut Webcams de Mexico, video itu menunjukkan penonton untuk perarakan tentera di Zocalo Plaza, di ibu negara Mexico City.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu pertama (kiri) dan video tulen di YouTube (kanan), dengan elemen sepadan diserlahkan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu pertama (kiri) dan video tulen di YouTube (kanan)

Media tempatan Mexico Daily dan Excelsior TV melaporkan perarakan pada hari yang sama untuk meraikan Hari Kemerdekaan Mexico (pautan arkib ini dan ini). 

Lokasi klip sepadan dengan imej Google Street View Zocalo Plaza di Mexico City (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu pertama (kiri) dan imej Google Street View Zocala Plaza (kanan), dengan elemen sepadan diserlahkan AFP: 

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu pertama (kiri) dan imej Google Street View Zocala Plaza (kanan)

Klip kedua

Klip kedua menunjukkan angin kencang melanda bangunan kediaman. Carian imej terbalik di Google mendapati video itu sebelumnya telah dikongsi di TikTok pada 4 Julai 2022 (pautan arkib).

Kapsyen siaran TikTok mengatakan video itu dirakam di Valcea, di bahagian tengah Romania.

Seorang wartawan AFP yang bercakap bahasa Romania mengesahkan bahasa yang dituturkan dalam video itu.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu kedua (kiri) dan video tulen dari TikTok (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu kedua (kiri) dan video tulen dari TikTok (kanan)

Beberapa saluran berita Romania melaporkan di sini, di sini dan di sini bahawa ribut kuat melanda bandar Ramnicu Valcea pada 4 Julai 2022 (pautan arkib iniini dan ini).

Geolokasi dengan Google Maps, AFP berhasil menemukan lokasi bangunan dalam klip, iaitu di Boulevard Tineretului 3, di Ramnicu Valcea (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu kedua (kiri) dan imej bangunan Romania pada Google Street View (kiri), dengan elemen sepadan diserlahkan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu kedua (kiri) dan imej bangunan Romania pada Google Street View (kiri)

Klip ketiga

Carian imej terbalik dan kata kunci selanjutnya mendapati klip ketiga dan keempat menunjukkan puting beliung di Itali lebih dari dua pekan sebelum meletusnya perang Israel-Hamas.

Klip ketiga telah muncul dalam laporan dari MeteoWeb, laman web sains Itali, pada 22 September 2023 (pautan arkib).

Menurut laporan itu, puting beliung melanda bandar Rho dan Pregnana Milanese, di utara Itali, pada hari yang sama (pautan arkib ini dan ini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu ketiga (kiri) dan video tulen dari MeteoWeb (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu ketiga (kiri) dan video tulen dari MeteoWeb (kanan)

European Severe Storms Laboratory (ESSL) merekodkan puting beliung melanda utara Itali pada 22 September 2023 (pautan arkib).

Peta yang dipautkan dalam pangkalan data ESSL mengesan arah puting beliung melintasi Rho dan Pregnana Milanese (pautan arkib).

Bangunan dan beberapa struktur dalam klip sepadan dengan imej pada Google Maps yang menunjukkan syarikat pembungkusan Sacchital di Pregnana Milanese (pautan arkib ini, ini dan ini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu ketiga (kiri) dan imej pada Google Maps (kanan), dengan elemen serupa diserlahkan oleh AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu ketiga (kiri) dan imej pada Google Maps (kanan)

Klip keempat

Klip keempat muncul dalam laporan saluran berita Itali Corriere di Bologna TV tentang kerosakan serius di lapangan terbang Carpi, di wilayah Modena, pada 20 September 2021 (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu keempat (kiri) dan video tulen dari Corriere di Bologna TV (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu keempat (kiri) dan video tulen dari Corriere di Bologna TV (kanan)

Menggunakan petunjuk daripada kapsyen video itu, AFP mengesahan video itu diambil di lapangan terbang Carpi, di utara Itali.

Imej Google Maps yang diambil pada Februari 2021 menunjukkan pendakap silang keluli dan bangunan hangar seperti yang terlihat dalam video (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin klip palsu keempat (kiri) dan imej Google Maps lapangan terbang Carpi (kanan), dengan elemen serupa diserlahkan AFP: 

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu keempat (kiri) dan imej Google Maps lapangan terbang Carpi (kanan)

Menurut laman web Israel Meteorological Service, tiada laporan ribut teruk ataupun cuaca ekstrem antara 20 dan 27 Oktober 2023, saat siaran-siaran mengelirukan itu dikongsikan (pautan arkib).

AFP Semakan Fakta telah berulang kali menafikan maklumat salah berkaitan perang Israel-Hamas.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami