Ini imej kapal diletupkan ketika latihan ketenteraan Iran, bukan 'kapal Greek diserang Yaman'

Foto yang diterbitkan dalam laporan tahun 2015 mengenai latihan ketenteraan Iran telah dikongsi dalam siaran media sosial pada 2024 bahawa ia menunjukkan sebuah kapal Greek yang "diserang Yaman". Dakwaan palsu ini adalah salah satu contoh gelombang maklumat salah yang tercetus susulan serangan pemberontak Houthi ke atas kapal di Laut Merah sejak November 2023.

"Kapal dari Greek diserang Yaman," tulis sebahagian teks pelekat pada video TikTok ini, yang dikongsi pada 17 Januari 2024. "Alhamdulillah tambah lgi, Yaman bukan penakut..."

Siaran yang telah ditonton lebih 7,300 kali itu menunjukkan imej sebuah kapal yang meletup  berserta kepulan asap dengan api yang marak. 

Menurut kapsyen siaran terbabit, serangan peluru berpandu itu menyasarkan kapal "Zogravia Greek". 

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 21 Februari 2024

Siaran itu muncul sehari selepas pemberontak Houthi yang disokong Iran mengaku bahawa mereka  bertanggungjawab atas serangan peluru berpandu ke atas sebuah kapal kargo milik Greek di Laut Merah.

Sumber dalam kementerian hal ehwal maritim Greek memberitahu AFP bahawa kapal itu adalah kapal bernama Zografia itu membawa 24 anak kapal dan tengah belayar dari Vietnam ke Israel.

Sejak November 2023, Houthi -- yang telah menguasai sebahagian besar Yaman sejak perang saudara meletus pada 2014 -- telah menyasarkan apa yang mereka anggap sebagai kapal yang berkaitan Israel sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin di Gaza.

Serangan Houthi dan serangan balas Amerika Syarikat dan British telah meningkatkan kebimbangan perang Israel-Hamas yang meletus di seluruh wilayah dan mengganggu perdagangan di salah satu laluan komersial maritim utama dunia itu. 

Imej itu turut muncul bersama dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini serta di Telegram di sini, yang telah meraih sebanyak 2,200 tontonan. 

Ia juga beredar dalam siaran-siaran bahasa Arab di Facebook dan X yang mendakwa ia menunjukkan "serangan Yaman ke atas sebuah kapal kargo Amerika di Teluk Aden". 

Namun, imej itu telah diedarkan dalam laporan-laporan sejak 2015 mengenai latihan ketenteraan Iran. 

Latihan ketentaraan Iran

Carian imej terbalik di Google, diikuti carian kata kunci, menemui gambar yang sama diterbitkan AFP pada 2015.

Gambar itu dikreditkan kepada agensi berita Fars dari Iran yang berhubungkait dengan Pengawal Revolusi negara itu (pautan arkib).  

Menurut sebahagian kapsyen gambar itu: "Tentera elit Pengawal Revolusi Iran menyerang sebuah kapal tentera laut semasa latihan tentera di Selat Hormuz di selatan Iran pada 25 Februari 2015."

Dibawah ialah tangkapan skrin gambar tulen:

Image
Tangkapan skrin gambar tulen dalam arkib AFP

Gambar AFP itu juga diterbitkan pada 2015 oleh CNN dengan keterangan: "Pasukan elit Pengawal Revolusi Iran menyerang replika kapal pengangkut pesawat USS Nimitz semasa latihan ketenteraan di Selat Hormuz di Iran pada Rabu, 25 Februari" (pautan arkib). 

AFP melaporkan Pengawal Revolusi Iran memulakan latihan tentera laut pada 25 Februari 2015 di Selat Hormuz, hanya beberapa ratus kilometer dari kapal Barat yang terlibat dalam memerangi kumpulan Negara Islam itu.

Semasa latihan, televisyen negara Iran menunjukkan serangan oleh "peluru berpandu berketepatan tinggi" yang dilepaskan dari pantai, dan serangan helikopter atas replika kapal pengangkut pesawat "Amerika", tulis laporan AFP.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan foto asal dalam arkib AFP (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan foto asal dalam arkib AFP (kanan)

Pada hari yang sama, AFP menerbitkan gambar-gambar lain daripada latihan ketenteraan itu di sini, di sini dan di sini. Ketiga-tiga imej juga dikreditkan kepada Fars. 

Foto berbeza dari latihan ketenteraan Iran di tahun 2015 juga dikongsikan dengan dakwaan palsu tentang "kapal perang Amerika Syarikat yang diletupkan Yaman".

AFP Semakan Fakta telah menafikan dakwaan serupa mengenai serangan ke atas kapal di Laut Merah dan sekitarnya, seperti iniini dan ini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami