Menyamar sebagai firma guaman, 'scammer' dalam talian sasar mangsa penipuan dengan tawaran pemulihan wang
- Diterbitkan pada hari 25/02/2026 jam 03:14
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Badan Peguam Malaysia menafikan beberapa iklan dalam talian yang menyamar sebagai firma guaman dan mendakwa mereka boleh mendapatkan semula wang yang hilang. Tegasnya, firma guaman tidak bertindak sebagai "ejen pemulihan". Badan peguam dan firma terjejas memberitahu AFP penipuan seperti itu menyebabkan orang ramai menjadi "penganiayaan lapisan kedua" dan menggesa pengguna media sosial untuk mengesahkan identiti peguam cara melalui saluran rasmi.
"Adakah anda kehilangan wang akibat penipuan dalam talian? Kami menyediakan perundingan sokongan pemulihan dana profesional dan tiada bayaran pendahuluan," bunyi kapsyen berbahasa Inggeris dari siaran Facebook dikongsi pada 16 Januari oleh satu akaun bernama "Albert Ding, Lee & Partners", sebuah firma guaman yang berpangkalan di Johor.
Video Facebook itu memaparkan seorang lelaki sedang menawarkan perkhidmatan perundingan undang-undang untuk mangsa penipuan yang telah mengalami kerugian lebih RM1,500.
Menurut laman Meta Ad Library, video itu disiarkan sebagai iklan bermula pada 16 Februari di platform seperti Facebook Messenger dan Instagram.
Siaran lain di Facebook yang dikongsi sejak Januari 2026 dilihat menyamar sebagai iklan-iklan yang menawarkan bantuan kepada mangsa penipuan daripada firma guaman lain, NSI Advocates & Solicitors.
Halaman Facebook lain yang menawarkan perkhidmatan serupa memberitahu AFP bahawa mereka mewakili firma guaman cawangan Kuala Lumpur yang berpangkalan di Hong Kong, Zain&Co. Menerusi sembang melalui aplikasi Telegram, individu yang kononnya seorang peguam itu menawarkan untuk mengaturkan rundingan secara peribadi dengan bayaran RM800.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata negara merekodkan kerugian penipuan kewangan terbesar dalam tempoh tiga tahun, dengan RM2.77 bilion kerugian dicatatkan pada 2025 sahaja, lapor Malay Mail (pautan arkib).
Pihak berkuasa menyifatkan ancaman daripada penipu itu sebagai "berkembang pesat dan semakin canggih", dengan kes-kes utama membabitkan penipuan cinta, penipuan e-dagang dan skim pelaburan palsu.
Penipuan yang menyamar sebagai firma guaman sah yang menawarkan perkhidmatan pemulihan wang juga dilihat semakin meningkat di negara ini. Sementara itu, polis menerima banyak laporan daripada mangsa yang terperdaya dengan iklan media sosial yang mendakwa mereka pakar dalam bidang digital untuk mendapatkan semula wang yang hilang (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengendalikan kes penipuan, berkata tiada jaminan wang yang hilang akibat penipuan boleh dipulihkan dan menggesa mangsa untuk mengesahkan kesahihan peguam melalui Badan Peguam Malaysia (pautan arkib di sini dan di sini).
Presiden Badan Peguam Malaysia, Ezri Abdul Wahab memberitahu AFP pada 20 Februari, pengamal undang-undang tidak beroperasi sebagai "ejen pemulihan" dan mereka juga tidak menjaminkan hasil.
Katanya, peguam di negara ini boleh membantu klien dalam mendapatkan semula dana yang hilang dalam beberapa keadaan yang sesuai, seperti dengan memulakan prosiding sivil, memberi nasihat mengenai remedi undang-undang atau berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
"Badan Peguam Malaysia melihat penyamaran peguam dan peningkatan skim pemulihan penipuan ini sebagai satu ancaman serius bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kepada integriti profesion undang-undang dan pentadbiran keadilan.
"Mangsa penipuan selalunya tertakluk kepada eksploitasi lapisan kedua oleh mereka yang mendakwa mempunyai kepakaran undang-undang secara palsu," tambahnya.
'Perwakilan tidak sah, penyamaran'
Semakan ke atas akaun-akaun Facebook penipu itu mendapati ia semua dibuat antara Disember 2025 dan Januari 2026.
Halaman yang menyamar sebagai Albert Ding, Lee & Partners menggunakan logo sebenar syarikat sebagai gambar profilnya, tetapi hanya didaftar pada 28 Disember 2025. Halaman Facebook sebenar untuk firma guaman itu telah dicipta pada 28 Mac 2020 (pautan arkib).
Semakan seterusnya pada halaman "Tentang Kami" Albert Ding, Lee & Partners mendapati tiada sesiapa yang sepadan dengan rupa lelaki seperti yang dilihat dalam video Facebook terbabit.
Seorang jurucakap Albert Ding, Lee & Partners merujuk AFP kepada kenyataan rasmi bertarikh 15 Januari 2026, yang menyatakan bahawa ia "menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti terhadap komunikasi, transaksi, atau apa-apa akibat yang timbul daripada penyamaran atau perwakilan tanpa kebenaran" (pautan arkib).
Sementara itu, Nik Saghir & Ismail Advocates & Solicitors, yang logonya memaparkan singkatan NSI, memberi respon kepada siaran-siaran palsu itu dalam satu kenyataan di akaun rasmi Instagram pada 29 Disember 2025 (pautan arkib).
Akaun-akaun yang dinyatakan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan firma NSI, katanya, sambil menambah syarikat guaman itu "tidak pernah melantik, memberi kuasa atau membenarkan mana-mana pihak ketiga, ejen atau perunding bagi urusan berkaitan penipuan dalam talian atau sebarang urusan lain."
Seorang wakil dari Zain & Co pula memberitahu AFP pada 16 Februari bahawa perkhidmatannya hanya tersedia melalui laman sesawang rasmi, sambil memberi amaran bahawa klien tidak sepatutnya berurusan dengan pihak ketiga yang mempromosikan firma itu melalui iklan-iklan Facebook (pautan arkib).
AFP sebelum ini menafikan siaran penipuan yang menyamar sebagai pihak JSJK, serta akaun penipu lain yang kononnya menyediakan perkhidmatan permohonan pasport dan visa serta "lesen memandu tanpa ujian".
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami