Tabung Haji tolak dakwaan siaran palsu tawar haji percuma
- Diterbitkan pada hari 27/02/2026 jam 04:55
- Durasi bacaan 1 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Ketika umat Islam di Malaysia mula menyambut bulan suci Ramadan, tular siaran dalam talian yang mendakwa Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang menunaikan ibadat haji secara percuma. Walaupun TH memberi subsidi kepada mereka yang layak, ia tidak merangkumi semua perbelanjaan. TH turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terperdaya dengan akaun palsu yang menyamar sebagai institusi itu untuk mendapatkan data peribadi melalui laman sesawang palsu.
"NAK HAJI PERCUMA DAFTAR SEKARANG," tulis teks pelekat pada video TikTok dikongsi pada 18 Februari 2026 yang memaparkan beberapa buah bas berkonvoi dan diiringi kenderaan polis.
Tambah siaran itu: "Kerajaan Malaysia sediakan peluang haji percuma untuk rakyat yang layak. Tak perlu fikir kos tinggi, boleh fokus sepenuhnya pada ibadah," bunyi teks itu lagi.
Setiap tahun, kerajaan Arab Saudi memperuntukkan permit mengikut kuota untuk jemaah haji dari setiap negara termasuk Malaysia yang diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Operasi haji bagi musim 1447H dijangka bermula pada akhir Mei 2026 dan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada April ini.
Dakwaan sama yang disunting pada video-video bas dan jemaah haji yang menaiki kenderaan bas TH telah dikongsi di platform TikTok.
Siaran tersebut menggesa pengguna untuk "daftar sekarang" melalui pautan diletakkan pada bio akaun yang membawa pengguna ke laman sesawang yang meminta mereka memasukkan nama penuh dan nombor telefon.
Bagaimanapun, TH tidak menawarkan pakej percuma kepada jemaah haji, hanya subsidi diberikan kepada golongan tertentu seperti golongan berpendapatan rendah (pautan arkib).
Kadar bayaran haji adalah antara RM15,000 hingga RM33,000 mengikut kumpulan pendapatan.
Carian kata kunci di Google membawa kepada siaran Facebook rasmi TH pada 17 Februari yang memberi amaran bahawa tawaran itu adalah palsu (pautan arkib).
"Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengesan kewujudan akaun-akaun media sosial yang membuat tawaran haji percuma," tulis kenyataan itu.
Tegas TH, institusi itu tidak pernah menawarkan sebarang pakej haji percuma, sama ada secara langsung mahupun melalui anak syarikat di mana-mana platform media sosial.
Tambahnya, sebarang tawaran sedemikian adalah palsu dan bertujuan mengelirukan orang ramai.
AFP sebelum ini menafikan siaran palsu yang mendakwa kerajaan menghulurkan bantuan atau skim percuma.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami