Ini video letupan di Ukraine pada 2017, bukan fasiliti nuklear di Israel

Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke seluruh Timur Tengah sebagai tindak balas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel yang membunuh pemimpin tertinggi republik Islam itu, Ayatollah Ali Khamenei. Namun, video yang tular dalam talian dengan dakwaan ia menunjukkan serangan ke atas sebuah fasiliti nuklear Israel adalah tidak berkaitan; ia sebenarnya menunjukkan letupan di sebuah depoh peluru Ukraine pada 2017.

"Ketegangan semakin meningkat. Dilaporkan reaktor nuklear Dimona di selatan Israel berjaya dibedil oleh Iran," bunyi teks pelekat siaran TikTok pada 2 Mac 2016. 

Rakaman itu menunjukkan kepulan asap besar keluar dari sebuah bangunan sebelum ia meletup.

Iran melancarkan serangan balas ke seluruh Timur Tengah selepas Amerika Syarikat dan Israel mula mengebom sasaran di seluruh negara itu pada 28 Februari dan mengumumkan kematian Khamenei pada hari berikutnya (pautan arkib).

Di Israel, serangan peluru berpandu Iran meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, manakala Iran berkata serangannya mengenai sebuah sekolah dan membunuh lebih 100 orang. Sekurang-kurangnya enam askar Amerika turut terbunuh, dan serangan Iran ke atas negara jirannya di juga menyebabkan beberapa orang terkorban (pautan arkib).

Presiden Donald Trump berikrar untuk membalas kematian pertama rakyat AS dalam perang yang beliau lancarkan untuk menggulingkan pemerintah ulama Tehran, dan berkata pertempuran boleh berlarutan selama beberapa minggu.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 2 Mac 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Dakwaan serupa mengenai serangan Iran ke atas instalasi nuklear Israel turut tersebar di media sosial di Filipina, Australia, Pakistan, Bangladesh, Afrika Selatan and Nigeria.

Namun, tiada laporan rasmi bahawa pusat penyelidikan nuklear Dimona telah disasarkan.

Video yang tular itu sebenarnya dirakam di Ukraine pada 2017, sebelum tercetusnya pertempuran terbaru.

Carian imej terbalik Google membawa kepada sebuah video yang dimuat naik ke YouTube pada 24 Mac 2017 (pautan arkib). Huraian video itu menyatakan ia menunjukkan depoh peluru Balakliya di Ukraine yang terbakar.

AFP melaporkan ketika itu pihak berkuasa Ukraine berkata seorang terbunuh selepas kebakaran di depoh senjata di bandar Balakliya mencetuskan letupan dan memaksa pemindahan besar-besaran (pautan arkib).

Rakaman serupa diterbitkan oleh penyiar berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, dan penyiar British BBC dalam laporan mereka mengenai letupan depoh tersebut (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP juga mengedarkan video dan imej yang dikeluarkan oleh Pejabat Akhbar Presiden Ukraine menunjukkan asap tebal selepas letupan di depoh itu:

Image
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh pejabat media Perdana Menteri Ukraine pada 23 Mac 2017 ini menunjukkan asap tebal selepas satu siri letupan melanda sebuah depoh peluru tentera berhampiran bandar Balakliya, di wilayah Kharkiv di timur Ukraine. (Foto oleh HO / PERKHIDMATAN AKHBAR PRESIDEN UKRAINE / AFP) (UKRAINIAN PRESIDENTIAL PRESS SERVICE / HO)

Saluran televisyen Ukraine, One Plus One TV, melaporkan ketika itu bahawa senjata yang disimpan di gudang tersebut kebanyakannya untuk kegunaan pasukan Ukraine yang memerangi pemisah pro-Rusia di kawasan bersempadan dengan Rusia di timur (pautan arkib).

AFP turut menafikan siaran palsu lain berkaitan konflik di Timur Tengah di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami