Video lama Perang Teluk disalah siar sebagai klip juruterbang AS ditangkap di Iran

Tentera Amerika Syarikat melaksanakan satu misi berisiko tinggi untuk menyelamatkan dua anggota tentera udara yang ditembak jatuh di Iran, namun rakaman lama yang beredar dalam talian tidak menunjukkan salah seorang kru itu ditemu bual oleh media Iran selepas tangkapan. Individu dalam klip itu sebenarnya ialah seorang juruterbang AS yang ditahan oleh Iraq pada 1991. Walaupun Iran mendakwa operasi AS itu "digagalkan sepenuhnya", Presiden Donald Trump mengesahkan kedua-dua anggota kru terbabit berjaya diselamatkan.

"IRAN MENANGKAP KREW jet pejuang F-15 AMERIKA SYARIKAT DAN TUNJUK DI MEDIA..," bunyi siaran Facebook disiarkan pada 5 April 2026. 

Hantaran itu mengandungi rakaman hitam putih seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Kolonel David William Eberly ketika menjawab soalan daripada seorang penemubual. Teks yang ditindih pada video tersebut mengulangi dakwaan berkenaan.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 7 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Tentera Iran menembak jatuh sebuah pesawat pejuang F‑15 AS pada 3 April, dengan kru pesawat tersebut -- seorang juruterbang dan seorang pengendali sistem senjata -- melenting keluar dan mendarat di lokasi berbeza dalam wilayah Iran, sekali gus mencetuskan satu misi penyelamatan berisiko tinggi (pautan arkib).

Sementara itu, Iran mendakwa operasi AS itu "digagalkan sepenuhnya", apabila Pengawal Revolusinya memuat naik sekeping gambar yang didakwa menunjukkan "tengkorak seorang askar Amerika di tengah-tengah serpihan pesawat yang musnah" (pautan arkib di sini dan di sini).

Pengawal Revolusi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut selain menambah bahawa ia merupakan "lebih banyak bukti kekalahan memalukan si pembohong Trump".

Klip juruterbang yang ditemu bual itu turut dikongsi dengan dakwaan serupa di TikTok serta oleh pengguna di India, Indonesia, Perancis dan Pakistan.

Namun, video tersebut tidak berkaitan dengan perang di Iran. Juruterbang itu telah diselamatkan manakala pengendali sistem senjata pula cedera tetapi berjaya mengelakkan diri daripada pasukan Iran, merentasi kawasan berbukit, merawat cedera sendiri dan menghubungi tentera AS dengan memberikan lokasinya, menurut Trump.

Identiti juruterbang dan pengendali sistem senjata itu tidak didedahkan kepada umum.

Carian imej terbalik menemui satu siaran Instagram bertarikh 5 April yang memaparkan rakaman berwarna yang sama dengan siaran palsu. Klip yang dikongsi dalam hantaran palsu itu sebenarnya telah diterbalikkan (pautan arkib).

Kapsyen video itu berbunyi: "Imbas kembali Perang Teluk 1991 apabila Kolonel Tentera Udara AS David William Eberly ditembak jatuh di Iraq semasa Operasi Desert Storm. Selepas mengelakkan penangkapan selama beberapa hari, beliau telah ditawan oleh tentera Iraq dan kemudiannya dilihat muncul dalam rakaman soal siasat.

"Eberly kekal sebagai tahanan perang sehingga dibebaskan pada Mac 1991, sekali gus menonjolkan risiko yang dihadapi oleh para juruterbang sepanjang konflik tersebut."

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan siaran Instagram

Carian kata kunci Google menemui maklumat mengenai Eberly di sebuah laman sesawang bekas tahanan perang Amerika (pautan arkib).

Menurut laman sesawang itu, Eberly ditahan di Baghdad semasa Perang Teluk 1991, di mana AS mengetuai pakatan 35 negara sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan pengilhakan Kuwait oleh Iraq (pautan arkib).

Laman sesawang tersebut turut menyenaraikan sebuah buku tulisan Eberly bertajuk "Faith Beyond Belief", di mana beliau menceritakan pengalaman ditembak jatuh dan ditawan di Iraq pada 1991 (pautan arkib).

Carian lanjut turut menemui satu klip temu bual bersama Eberly dan isterinya yang berkongsi kisah penahanannya, dimuat naik ke YouTube pada 15 Julai 2010 (pautan arkib).

AFP telah menafikan gelombang maklumat palsu yang tercetus akibat ketegangan konflik di Asia Barat.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami