Orang ramai menunggu untuk mengisi petrol kenderaan mereka di stesen minyak Petronas di Ampang pada 28 November 2014. (AFP / Mohd RASFAN)

Budi95 jadi sasaran dakwaan palsu, keliru ketika krisis tenaga global

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara susulan konflik Asia Barat mencetuskan krisis tenaga global, tetapi siaran media sosial terus menyebarkan dakwaan salah mengenai Program Budi Madani (Budi95). Kementerian Kewangan menolak dakwaan bahawa rakyat boleh memohon menambah kuota Budi95, manakala Kementerian Pengangkutan tidak mengumumkan rakyat Singapura layak memohon mendapatkan subsidi petrol Malaysia.

"[RAMAI RUPANYA TAK TAHU MACAM MANA NAK MOHON 300L BUDI95]..... Caranya pergi ke website Budi95 dan mohon la ke 300L," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebok dikongsi pada 7 April 2026. 

Siaran itu memaparkan tangkapan skrin hasil carian Google untuk laman sesawang rasmi Budi95 (pautan arkib).

Setakat ini, harga petrol RON95 bersubsidi di bawah Program Budi Madani (Budi95) kekal pada RM1.99 seliter (pautan arkib di sini dan di sini). 

Bagaimanapun, susulan harga minyak mentah global melonjak naik dan penutupan Selat Hormuz berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang tercetus oleh serangan bersama AS-Israel ke atas Iran pada Februari, kuota bulanan telah dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter (pautan arkib di sini dan di sini). 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 17 April dengan tanda X merah ditambah AFP

Dakwaan serupa tentang permohonan umum bagi tambahan had subsidi itu turut muncul di tempat lain di Facebook, Instagram dan Threads.

Sementara itu, siaran lain turut mendakwa kuota minyak subsidi telah dikurangkan bagi membolehkan warga Singapura membeli petrol yang lebih murah dari Malaysia. Siaran itu, yang dikongsi di Facebook pada 5 April, memaparkan satu grafik berita dengan imej Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan teks berbunyi: "Pemegang lesen memandu Singapura layak mohon subsidi BUDI95 mulai esok - Loke."

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan diambil pada 15 April dengan tanda X merah ditambah AFP

Grafik berita yang sama telah dikongsi bersama-sama dakwaan serupa di tempat lain di Facebook.

Penutupan Selat Hormuz, laluan perkapalan utama untuk minyak dan baja, telah menyebabkan harga tenaga melonjak naik selain turut menggugat rantaian bekalan tenaga global dan mencetuskan ketidaktentuan ekonomi dunia. 

Selain mengurangkan kuota minyak bersubsidi, kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah untuk penjawat awam bagi menjimatkan tenaga ketika konflik Asia Barat ini -- tetapi krisis yang berterusan itu juga telah mencetuskan gelombang maklumat salah mengenai program Budi95 (pautan arkib).

Siaran terbaharu yang beredar dalam talian itu juga mengelirukan.

Tiada permohonan tambahan

Carian kata kunci Google mendapati Kementerian Kewangan berkata dakwaan mengenai permohonan untuk menaikkan kuota subsidi petrol itu adalah "sama sekali tidak benar dan tidak berasas" dalam siaran Facebook pada 7 April (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook Kementerian Kewangan yang menyangkal dakwaan palsu, diambil pada 16 April 2026

Menurut kenyataan itu, butang permohonan tambahan yang sebelum ini diwujudkan pada awal pelaksanaan Budi95 telah dinyahfungsikan. Katanya, permohonan itu hanya untuk "kes tertentu dengan keperluan operasi yang jelas dan disahkan", termasuk pemandu e-hailing dan pemilik bot.

Semakan AFP pada laman sesawang subsidi itu mendapati pilihan untuk permohonan itu tidak lagi tersedia secara langsung kepada pengguna selepas log masuk ke sistem itu.

Tiada permohonan buat warga Singapura

Carian kata kunci selanjutnya mendapati pengumuman menteri pengangkutan telah disalah tafsir dalam siaran-siaran yang beredar itu.

Laporan oleh saluran berita tempatan dan Singapura pada 15 Oktober 2025 sebenarnya menyatakan Loke telah mengumumkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura (LMS) boleh memohon subsidi Budi95 (pautan arkib di sini dan di sini).

Tiada pengumuman rasmi mengenai kebenaran diberi kepada rakyat Singapura untuk memohon petrol bersubsidi Malaysia. 

Seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan memberitahu AFP pada 16 April bahawa grafik yang beredar itu mengelirukan dan pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

Sejak 2010, Malaysia melarang penjualan petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berdaftar di luar negara serta pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing, satu langkah yang dilaksanakan untuk memastikan subsidi kerajaan memberi manfaat kepada rakyat (pautan arkib).

AFP menafikan dakwaan salah lain yang dikaitkan dengan krisis tenaga di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami