Ini klip latihan ketenteraan pada 2016, bukan serangan Iran ke atas kapal AS

Sebuah video tersebar dalam talian dengan dakwaan ia menunjukkan peluru berpandu menghentam kapal perang Amerika Syarikat berhampiran Pulau Jask, susulan laporan media kerajaan Iran pada 4 Mei 2026 mengenai tembakan amaran oleh tentera laut Tehran ke arah kapal pemusnah AS. Namun, klip tersebut disalah tafsir dan sebenarnya rakaman latihan ketenteraan pada 2016, di mana AS serta negara lain menenggelamkan USS Thach di Lautan Pasifik berhampiran Hawaii.

"Rakaman Iran Serang Kapal Perang AS," bunyi sebahagian siaran Facebook pada 5 May 2026. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 6 May 2026

Hantaran serupa tular di Facebook, TikTok dan pelbagai bahasa lain

Siaran itu tular selepas agensi berita Fars milik Iran melaporkan bahawa tentera Iran telah menyerang sebuah kapal perang Tentera Laut AS di Selat Hormuz -- dakwaan yang segera dinafikan oleh tentera AS -- selepas Presiden Donald Trump berkata tentera AS akan mula mengiringi kapal melalui laluan perairan strategik itu (pautan arkib).

Laksamana Brad Cooper, komander Pemerintah Tengah Amerika Syarikat (CENTCOM), berkata kepada wartawan bahawa tentera AS telah memusnahkan enam bot Iran serta menembak jatuh peluru berpandu dan dron yang dilepaskan oleh tentera Tehran ke arah kapal Tentera Laut AS dan kapal komersial (pautan arkib di sini dan di sini). 

Rundingan antara Washington dan Tehran masih buntu sejak gencatan senjata dalam perang AS‑Israel terhadap Iran berkuat kuasa pada 8 April, dengan penguasaan Iran ke atas selat tersebut menjadi antara isu utama pertikaian (pautan arkib).

Namun, video yang beredar di media sosial itu tidak berkaitan dengan konflik di Timur Tengah.

Carian imej terbalik menemui rakaman sama dalam laporan oleh CNN, Popular Mechanics dan sumber lain, yang mendokumentasikan latihan ketenteraan pada 2016 di mana AS dan sekutunya menenggelamkan sebuah frigat yang telah bersara di Lautan Pasifik (pautan arkib di sini dan di sini).

Rakaman itu berasal daripada laman web Defense Visual Information Distribution Service (DVIDS) milik Pentagon, yang bertarikh 14 Julai 2016 dan menunjukkan latihan maritim antarabangsa yang dikenali sebagai Rim of the Pacific, atau RIMPAC (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin laman web Defense Visual Information Distribution Service diambil pada 4 May 2026

"Video udara latihan penenggelaman (SINKEX) ke atas USS Thach (FFG 43) yang telah ditamatkan perkhidmatannya semasa Rim of the Pacific 2016," menurut penerangan di laman tersebut. "Peserta latihan termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Republik Korea."

Kapal tersebut telah ditamatkan perkhidmatannya pada 2013, menurut Tentera Laut AS (pautan arkib).

Satu artikel berasingan oleh DVIDS menyatakan USS Thach ditenggelamkan di perairan dalam di utara Kauai, Hawaii melalui tembakan daripada kapal dan pesawat (pautan arkib). Tentera Laut memaklumkan bahawa kapal itu dibersihkan terlebih dahulu bagi membuang bahan berbahaya kepada alam sekitar, manakala kawasan tersebut diperiksa bagi memastikan tiada kemudaratan kepada manusia serta mamalia laut.

AFP sebelum ini telah menangkis maklumat palsu lain berkaitan konflik di Asia Barat, termasuk dakwaan yang menyalah tafsir rakaman serupa daripada latihan penenggelaman pada 2022.

7 Mei 2026 Dikemas kini dengan lokasi yang betul, laporan terdahulu tersilap mengenal pasti Pulau Jask sebagai Selat Hormuz
7 Mei 2026 7 Mei 2026 Dikemas kini dengan lokasi yang betul, laporan terdahulu tersilap mengenal pasti Pulau Jask sebagai Selat Hormuz

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami