Syarikat pengeluar biskut Hup Seng pegang sijil halal JAKIM sah
- Diterbitkan pada hari 13/04/2026 jam 09:25
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menarik balik pensijilan halal sebuah kilang memproses biskut pada awal April 2026, tetapi ia bukan syarikat jenama popular tempatan, Hup Seng, seperti didakwa beberapa siaran media sosial. Sebaliknya, syarikat yang ditarik balik status halal itu mempunyai nama sama -- Tian Hup Seng Biscuit Factory -- yang terkenal dengan pengeluaran pastri tradisional. Menurut pangkalan data Halal Malaysia, Hup Seng masih memegang sijil halal yang sah dan syarikat itu berkata dakwaan itu "tidak tepat dan mengelirukan".
"Kilang ni disahkan JAKIM telah melanggar status HALAL yang menggunakan berus yang diperbuat dengan bulu BABI," bunyi teks pada satu imej yang menunjukkan bungkusan biskut Hup Seng dikongsi di Facebook pada 5 April.
"Kalau ada terbeli atau tersimpan kat rumah, Tolong buang atau bagi kepada bukan Islam."
JAKIM mengeluarkan kenyataan pada 4 April bahawa sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan (pautan arkib).
Dakwaan palsu tentang jenama Hup Seng itu juga muncul di Facebook dan Instagram, tetapi itu bukan kilang biskut yang pensijilannya ditarik balik, dengan siaran-siaran terbabit dilihat terkeliru dengan syarikat lain.
Walaupun JAKIM tidak menyebut nama kilang biskut itu, carian pada pangkalan data Halal Malaysia menunjukkan satu-satunya jenama bernama "Hup Seng" -- yang berpangkalan di Melaka -- ialah pengeluar dikenali sebagai Tian Hup Seng Biscuit Factory Sdn Bhd (pautan arkib).
Ia juga merupakan satu-satunya syarikat-- dengan nama serupa -- yang sijil halal telah ditarik balik (pautan arkib).
Manakala, syarikat di sebalik jenama biskut popular, Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn Bhd (HSPM) yang berpangkalan di Johor itu adalah entiti yang berbeza dan ia masih memegang sijil halal yang sah (pautan arkib di sini dan di sini).
Pada bahagian belakang bungkusan biskut itu juga menyatakan nama penuh syarikat sebagai "Hup Seng Perusahaan Makanan" (HSPM) (pautan arkib).
Syarikat itu juga mengeluarkan kenyataan bertarikh 7 April menjelaskan bahawa pensijilan halal syarikat "kekal sah" (pautan arkib).
"HSPM mengambil perhatian terhadap beberapa siaran media sosial dan penerbitan dalam talian yang telah menyalahgunakan imej produk HSPM berhubung laporan mengenai perkara ini. Ia telah menyebabkan kekeliruan orang ramai dan kami ingin menegaskan bahawa penerbitan sedemikian adalah tidak tepat dan mengelirukan," katanya.
AFP telah menafikan dakwaan serupa yang menyasarkan produk lain seperti kiub pati, minyak masak, sosej serta rangkaian kopi antarabangsa Starbucks.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami