Video peluru berpandu Iran mengenai bandar Israel ini dijana AI
- Diterbitkan pada hari 18/03/2026 jam 06:32
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Pierre MOUTOT, Oluseyi AWOJULUGBE, AFP Perancis, AFP Nigeria
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Serangan udara bersama Israel-Amerika ke atas Iran pada akhir Februari mencetuskan perang di Asia Barat. Satu video tular di media sosial mendakwa ia menunjukkan beberapa siri serangan peluru berpandu ke atas bandar Tel Aviv, Israel, yang kononnya dilancarkan oleh Iran sebagai tindak balas. Namun, video itu sebenarnya dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), dan tiada bukti bahawa pengeboman seperti digambarkan dalam klip tersebut berlaku.
"Tel Aviv terbakar!" bunyi kapsyen video Facebook dikongsi pada 4 Mac 2026.
Klip itu menunjukkan rentetan peluru berpandu menyerang sebuah kawasan bandar yang padat sehingga meninggalkan kepulan asap.
Video itu telah dikongsi secara meluas dalam bahasa lain, termasuk Perancis, Arab, Sepanyol dan Jerman.
Iran dan kumpulan militan Lubnan Hizbullah yang disokong Iran telah menyasarkan Tel Aviv dalam beberapa siri serangan balas manakala Israel juga terus mengebom kedua-dua negara itu.
Bagaimanapun, video yang kononnya menunjukkan serangan peluru berpandu ke atas Tel Aviv dijana AI.
Video janaan AI
Carian imej terbalik pada klip itu tidak menemui laporan media yang boleh dipercayai atau visual lain yang sepadan dengan adegan video terbabit. Wartawan AFP di lapangan juga tidak menyaksikan serangan yang seperti didakwa itu.
Tetapi video itu mengandungi visual tidak konsisten, ciri lazim kandungan AI.
Walaupun siaran itu tidak menyertakan butiran tentang bila dan di mana video itu dirakam, satu bendera Israel yang secara aneh diletakkan di atas balkoni dilihat tergantung dengan sendirinya.
Bendera sering muncul dalam kandungan yang dijana AI apabila sesebuah negara disebut dalam prom kerana ia memberikan isyarat visual yang mudah.
Rakaman tersebut memberikan gambaran bahawa ia dirakam menggunakan telefon bimbit dan zum dekat pada permulaan video itu fokus pada kawasan impak peluru berpandu. Namun, apabila zum jauh, kereta-kereta kelihatan mempunyai bentuk yang herot dengan sesetengahnya kelihatan bercantum dan yang lain berbentuk tidak sempurna.
Video itu juga secara anehnya tidak mengandungi bunyi siren serangan udara, yang boleh didengari dalam video serangan lain ke atas Israel.
Bumbung bangunan juga kelihatan mempunyai panel solar yang seragam, diletakkan secara luar biasa tepat pada setiap bangunan, dengan beberapa daripadanya kelihatan herot.
Selain itu, jejak asap dari peluru berpandu juga kelihatan tidak selari di beberapa tempat.
Dua kren pembinaan pula tiba-tiba muncul dalam rakaman apabila video itu zum dekat pada kawasan terkena hentaman.
Analisis video menggunakan alat pengesan Hive Moderation AI menunjukkan 99 peratus kebarangkalian bahawa ia dicipta secara digital.
Semakan Fakta AFP juga menafikan dakwaan itu dalam bahasa Perancis dan mendapati bahawa Grok, chatbox AI di platform X, membantu menambahkan elemen pada video itu. Ia berulang kali mengatakan bahawa "video itu benar" apabila pengguna Perancis bertanya tentang ketulenan klip itu.
AFP telah menafikan maklumat palsu lain yang muncul susulan konflik di Asia Barat.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami