Video ‘deepfake’ jeneral India disalah kait dengan kapal Iran ditenggelamkan AS
- Diterbitkan pada hari 25/03/2026 jam 09:23
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Devesh MISHRA, AFP India
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Sebuah kapal perang Iran ditenggelamkan oleh kapal selam Amerika Syarikat berhampiran perairan Sri Lanka pada 4 Mac 2026, mengorbankan sekurang-kurangnya 84 anggota. Namun, satu video yang kononnya menunjukkan ketua angkatan tentera India mengaku bahawa negara itu berkongsi lokasi kapal tersebut dengan Israel sebenarnya telah diubah suai secara digital. Rakaman asal menunjukkan jeneral berkenaan bercakap mengenai operasi ketenteraan India terhadap Pakistan pada 2025, manakala analisis audio mengesahkan suara dalam video itu dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"JAHAT INDIA NI. PENGKHIANAT. INDIA YG BAGI LOCATION KAT ISRAHELL, IRAN PATUT BALAS BALIK SEBAB KEMATIAN BEGITU RAMAI," bunyi siaran Facebook pada 10 Mac 2026 yang berkongsi klip ketua tentera India, Upendra Dwivedi, bercakap.
Video berlogo Firstpost itu turut mendakwa jeneral tersebut mengatakan bahawa walaupun insiden kapal Iran tenggelam adalah "malang", ia berlaku di perairan antarabangsa dan bukannya dalam wilayah India.
"Selagi kapal Iran berada dalam perairan India, mereka dilindungi. Tetapi apabila mereka memasuki perairan antarabangsa sebagai sekutu strategik Israel, menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada Israel tentang lokasi tepat mereka sebagai sebahagian daripada perjanjian strategik baharu kami,” kata Dwivedi.
“Kami boleh memberikan lokasi atau maklumat risikan kepada Israel, tetapi kami tidak terlibat dalam serangan torpedo bersama Israel dan Amerika Syarikat,” tambahnya, sambil menegaskan bahawa India tidak mempunyai sebarang peranan dalam "perang Iran".
Siaran serupa turut tersebar di Facebook, Instagram dan Threads selepas kapal frigat Iran, IRIS Dena, ditenggelamkan oleh torpedo kapal selam AS di selatan Sri Lanka pada 4 Mac, memperluaskan konflik AS–Israel dengan Iran ke Lautan Hindi (pautan arkib).
Sri Lanka telah memulangkan mayat 84 anggota yang terkorban, manakala 64 lagi masih hilang. Seramai 32 kru yang terselamat masih berada di negara itu buat sementara waktu (pautan arkib).
Sehari selepas insiden tersebut, sebuah lagi kapal Iran, IRIS Bushehr, dibenarkan berlabuh di perairan Sri Lanka, manakala India pula menerima kapal ketiga, IRIS Lavan, atas alasan kemanusiaan selepas ia mengalami kerosakan enjin.
Sri Lanka dan India menjelaskan bahawa mereka memberi perlindungan kepada anggota tentera Iran atas pertimbangan kemanusiaan susulan kebimbangan bahawa kapal-kapal itu mungkin turut menjadi sasaran serangan AS.
Ketiga-tiga kapal tersebut sebenarnya mengambil bahagian dalam latihan maritim pelbagai negara yang dianjurkan India sebelum tercetusnya perang di Asia Barat.
Namun, video tular melibatkan ketua tentera India itu telah dimanipulasi.
Carian imej terbalik dan carian kata kunci membawa kepada rakaman lebih panjang yang dimuat naik oleh saluran YouTube rasmi Firstpost pada 7 Mac (pautan arkib).
Video tersebut bertajuk: "India's Army Chief Speaks on Op Sindoor, Pakistan and Future of Warfare | Raisina Dialogue 2026".
Dalam wawancara itu, Dwivedi menjelaskan mengenai "Operasi Sindoor" -- konflik selama empat hari antara India dan Pakistan pada Mei 2025 -- dengan penganalisis Harsh V. Pant (pautan arkib).
Bahagian yang disalah guna dalam video tular itu bermula sekitar minit 1:18.
Dalam rakaman sebenar, beliau tidak menyentuh isu Iran, Israel atau Amerika Syarikat, apatah lagi insiden kapal perang Iran di Lautan Hindi.
Suara Dwivedi dalam video tular itu juga kedengaran tidak semula jadi dan tidak sepadan dengan pergerakan bibirnya.
Analisis menggunakan alat Hiya dalam plugin pengesahan InVID‑WeVerify menunjukkan terdapat 99 peratus kebarangkalian audio tersebut dijana oleh AI.
AFP sebelum ini turut menafikan beberapa dakwaan palsu berkaitan konflik di Iran.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami