Imej delegasi AS membuang hadiah dari China sebenarnya dijana AI

Kakitangan Rumah Putih dan wartawan menyerahkan lencana serta pin yang diberikan oleh China sebelum menaiki Air Force One pada akhir sidang kemuncak Presiden AS, Donald Trump, di Beijing. Namun, imej yang dikongsi di media sosial yang menunjukkan sebuah tong sampah sarat dengan hadiah sebenarnya dijana kecerdasan buatan (AI). Imej tersebut mengandungi beberapa ketidakseragaman visual dan telah dikenal pasti oleh alat pengesanan sebagai kandungan sintetik. Seorang jurugambar AFP yang membuat liputan keberangkatan itu turut menyatakan imej tersebut adalah rekaan, manakala Rumah Putih mengesahkan ia dijana AI.

"DELEGASI AMERIKA SYARIKAT MEMBUANG SEMUA CENDERAHATI DARI CHINA SEBELUM MENAIKI AIR FORCE ONE" bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook pada 16 Mei 2026. 

Imej yang disiarkan bersama hantaran itu menunjukkan sebuah tong besar yang melimpah dengan kotak hadiah merah serta cenderamata dari China di hadapan pesawat presiden.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 20 May 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Imej yang sama turut dikongsi dalam beberapa hantaran serupa dalam pelbagai bahasa sejurus selepas berakhirnya sidang kemuncak dua hari antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, di Beijing pada 15 Mei (pautan arkib).

Pertemuan itu bertujuan meredakan ketegangan antara dua kuasa besar tersebut, dengan Trump berkata beliau mencapai "perjanjian perdagangan yang hebat" serta menyelesaikan "banyak masalah berbeza", manakala Xi menyifatkannya sebagai "lawatan bersejarah" (pautan arkib).

Namun, ketegangan berlaku antara kakitangan China dan Amerika berhubung liputan media dan keselamatan.

Pegawai AS mengarahkan kakitangan dan media yang menaiki Air Force One supaya menyerahkan semua lencana serta pin yang diberikan oleh pihak China, selain telefon sementara daripada delegasi AS. Barangan tersebut kemudian dibuang ke dalam tong sampah di bahagian bawah tangga pesawat presiden, menurut laporan AFP (pautan arkib).

Wartawan Rumah Putih New York Post, Emily Goodin, turut menulis di X pada 15 Mei: "Kakitangan AS mengumpulkan semua barangan yang diberikan oleh pihak China -- termasuk pas kelayakan, telefon sementara daripada kakitangan Rumah Putih serta pin untuk delegasi -- sebelum kami menaiki AF1, lalu membuangnya ke dalam tong di bawah tangga. Tiada sebarang barangan dari China dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat" (pautan arkib).

Namun, imej yang tular di media sosial itu sebenarnya dijana oleh AI.

Imej buatan AI

Terdapat beberapa perbezaan visual antara imej yang tular dan foto AFP yang menunjukkan Trump menaiki Air Force One di Beijing, seperti bentuk badan pesawat serta susunan tingkap dan pintu.

Image
Perbezaan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan foto AFP, dengan perbezaannya diserlahkan.

Jurugambar AFP Brendan Smialowski, yang berada di lokasi, menyifatkan foto itu sebagai "rekaan 100 peratus".

Beliau berkata media diminta menyerahkan pas kelayakan, pin dan telefon sementara yang diberikan oleh pihak China.

"Ini bukan perkara luar biasa, terutamanya dengan pin logam. Mungkin ada kebimbangan keselamatan atau pihak pemberi mahu mengambilnya semula. Saya sendiri pernah beberapa kali diminta menyerahkan pas kelayakan atau pin sebelum ini, jadi ia bukan sesuatu yang pelik."

"Saya tidak melihat tong besar yang dipenuhi hadiah," tambah Smialowski.

Ketua editor foto Rumah Putih, Patrick Witty, turut berkongsi imej tersebut di akaun rasmi X miliknya pada 16 Mei dengan kenyataan: "Jelas imej ini dijana oleh AI" (pautan arkib).

Selain itu, seorang pegawai Rumah Putih turut mengesahkan kepada AFP melalui e-mel pada 18 Mei bahawa imej yang tular itu adalah hasil AI.

Alat pengesanan "Synthetic Image" dalam alat pengesan "Verification Plugin" menemui "bukti yang sangat kukuh" bahawa imej tersebut adalah sintetik, manakala alat pengesanan Hive Moderation juga mendapati ia kemungkinan besar dijana AI (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin hasil alat pengesan AI

AFP sebelum ini pernah menangkis maklumat palsu berkaitan lawatan Trump ke China.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami