Ini video lampu isyarat cair akibat kebakaran, bukan gelombang haba Eropah

Video lampu isyarat yang berubah bentuk tersebar di media sosial menerusi hantaran yang mendakwa ia cair akibat cuaca panas melampau yang melanda Eropah pada bulan Jun. Namun, dakwaan tersebut tidak benar. Lampu isyarat dalam rakaman itu sebenarnya rosak akibat kebakaran dan tidak mempunyai kaitan dengan fenomena gelombang haba pada 2026.

"Eropah benar-benar cair!", bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 29 Jun 2026. 

"Dengan gelombang haba yang sudah menghampiri 40 dan 45°C, lampu isyarat di Itali dan Jerman tidak dapat menahan tekanan dan telah mula cair."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 9 Julai 2026 dengan X merah ditambah AFP
Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 9 Julai 2026 dengan X merah ditambah AFP

Dakwaan serupa yang menyiarkan video itu dikongsi dalam pelbagai platform termasuk TikTok serta bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab ketika beberapa negara Eropah mencatatkan rekod suhu baharu pada hujung Jun lalu. 

Gelombang haba itu memerangkap udara panas dari Afrika Utara di atas Semenanjung Iberia sebelum merebak ke United Kingdom, dan akhirnya melemah di bahagian tengah serta timur Eropah pada awal Julai.

Walaupun siaran-siaran itu mengesahkan lokasi ia dirakam di Eropah, ia tidak menggambarkan kesan haba melampau di Jerman atau Itali. 

Klip dari Itali

Hasil carian imej terbalik mendapati klip dari Itali itu pertama kali dimuat naik pada 24 Jun di Facebook dan Instagram oleh akaun yang menunjukkan ia milik seorang penduduk Verona.

Teks pada video itu menyatakan dalam bahasa Itali bahawa cuaca terlampau panas itu menyebabkan "lampu isyarat mencair", namun ramai pengguna yang memberi komen dilihat menganggap siaran itu sebagai satu gurauan.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook diambil pada 8 Julai 2026

AFP menghubungi pengguna itu untuk mendapatkan komen, namun tiada maklum balas diterima. Sehari kemudian, dia memberikan komen pada siaran video miliknya dengan menyertakan satu pautan ke sebuah artikel berbahasa Itali yang menyatakan bahawa lampu isyarat tersebut cair akibat kebakaran di kawasan berkenaan (pautan arkib). 

Sebuah syarikat berita tempatan menyiarkan rakaman yang sepadan dengan lokasi klip yang menunjukkan kejadian kereta terbakar pada 23 Jun di Lugagnano, Verona (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Menerusi carian di Google Maps, AFP mengesahkan lokasi video yang mengelirukan itu sepadan dengan lokasi kebakaran tersebut (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin sudut jalan di Verona yang diambil daripada Google Maps (kiri) dan siaran Facebook dengan elemen serupa ditanda AFP

Video dari Jerman

Begitu juga dengan klip yang dikaitkan dengan Jerman itu turut diambil di luar konteks.

Image
Screenshot of an Instagram reel taken on July 8, 2026

Agensi berita Jerman, Deutsche Presse-Agentur (DPA), menyangkal dakwaan palsu tersebut pada 29 Jun (pautan arkib).

Lampu isyarat yang rosak itu terletak di satu persimpangan di daerah Friedrichshain-Kreuzberg, Berlin, berhampiran Sungai Spree, lapor DPA -- perkara yang disahkan oleh AFP melalui carian di Google Maps (pautan arkib).

Image
Tangkap skrin sudut jalan di Berlin yang diambil daripada Google Maps (kiri) dan siaran Instagram dengan elemen serupa ditanda AFP

InfraSignal, sebuah syarikat berpangkalan di Berlin yang bertanggungjawab menguruskan rangkaian lampu isyarat bandaraya itu, memberitahu DPA bahawa satu kebakaran telah menyebabkan kerosakan tersebut (pautan arkib).

InfraSignal turut mengesahkan kepada AFP bahawa kerosakan pada lampu isyarat itu berpunca daripada kebakaran yang memusnahkan sebuah kelab malam setahun sebelumnya.

"Kami tidak mengetahui sebarang kes di mana lampu isyarat mengalami kerosakan sedemikian pada suhu 40°C," kata jurucakap InfraSignal dalam e-mel kepada AFP bertarikh 29 Jun 2026.

Beberapa bahan yang lazim digunakan untuk infrastruktur bandar mempunyai takat lebur yang jauh lebih tinggi berbanding suhu yang dicatatkan di seluruh Eropah (pautan arkib).

"Logam mempunyai ambang suhu yang sangat tinggi sebelum ia boleh melengkung seperti yang dilihat dalam video itu," Ronita Bardhan, profesor bidang persekitaran binaan mampan dan kesihatan di Universiti Cambridge beritahu AFP pada 2 Julai (pautan arkib).

Satu analisis terkini oleh konsortium saintifik World Weather Attribution menyimpulkan bahawa kejadian haba melampau semakin meningkat dengan kejadian seumpama itu "berkemungkinan berlaku berpuluh-puluh hingga beratus-ratus kali ganda lebih kerap sejak tahun 2003 sahaja, sedangkan ia hampir mustahil berlaku pada 50 tahun yang lalu" (pautan arkib di sini dan di sini). 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami