Ini video lama gempa di Filipina, bukan 'gegaran di Indonesia' pada April 2026

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda pantai Indonesia pada 2 April 2026, menyebabkan seorang maut, merosakkan harta benda dan mencetuskan amaran tsunami. Namun, satu klip yang kononnya menunjukkan gegaran itu sebenarnya dirakam di Filipina pada Oktober 2025.

"Seorang maut, seorang cedera gempa 7.4 magnitud landa Indonesia," tulis teks pada video Facebook dikongsi pada 2 April. 

"Gegaran berlaku di Laut Maluku pada kedalaman kira-kira 35 kilometer, dengan pusat gempa terletak sekitar 120 kilometer dari bandar Ternate, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS)," bunyi sebahagian kapsyen siaran itu. 

Siaran itu berkongsi satu klip yang menunjukkan beberapa orang sedang berlindung apabila sebuah ruang bilik dilihat bergegar dan siling mula runtuh sebelum lampu terpadam. Ia turut memuat naik satu tangkapan skrin siaran amaran diterbitkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia). 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 10 April 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Seorang individu boleh didengari berkata "sembunyi, sembunyi!" dan "cukup sudah, tuhan" dalam bahasa tempatan Visayan -- bahasa utama di Filipina.

Video itu turut beredar di Instagram dan bahasa lain termasuk bahasa Indonesia dan Inggeris

Siaran itu muncul selepas gempa bermagnitud 7.4 melanda timur Indonesia pada 2 April, mengakibatkan kerosakan bangunan,  sekurang-kurangnya seorang maut dan menyebabkan orang ramai berlari ke jalan dalam keadaan panik (pautan arkib).

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) yang berpangkalan di Hawaii pada mulanya berkata gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam jarak 1,000 kilometer (620 batu) dari pusat gempa di sepanjang pantai Indonesia, Filipina dan Malaysia, tetapi amaran itu kemudiannya ditarik balik.

Bagaimanapun, rakaman yang beredar dalam talian itu tidak ada kaitan dengan gempa bumi Indonesia.

Carian imej terbalik menemui beberapa klip yang sepadan dengan yang pernah diterbitkan dalam laporan media tempatan, termasuk satu video disiarkan oleh syarikat televisyen Filipina DZRH News Television pada 10 Oktober 2025 (pautan arkib di sini dan di sini).

"Gempa di Davao Oriental. Gempa bumi berukuran 7.5–7.6 magnitud menggegarkan bahagian Davao Oriental pada pagi Jumaat ini, 10 Oktober," bunyi kapsyen siaran terbabit. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan video yang disiarkan oleh media tempatan DZRH News Television

Gempa bumi pada 10 Oktober mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang di selatan Filipina dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal. Saksi dan pihak berkuasa berkata gempa itu hanya menyebabkan kerosakan kecil, manakala pejabat seismologi Filipina melaporkan lebih 300 gegaran susulan (pautan arkib).

Wartawan AFP mengesahkan audio yang didengari dalam video itu adalah bahasa Visayan, bahasa yang digunakan secara meluas di tengah dan selatan Filipina.

DZRH memberi kredit video itu pada akaun Facebook milik seorang pengguna bernama "Resty Polinio" yang telah menukar nama akaun itu kepada "Rhouien Polinio".

Carian pada akaun pengguna itu mendapati video sama yang dikongsi pada 11 Oktober, sehari selepas gempa bumi. Menerusi ruangan komen, pengguna itu berkata dia telah memadam video terdahulu atas permintaan majikannya (pautan arkib).

AFP telah menghubungi pengguna itu tetapi tiada respon ketika artikel ini diterbitkan.

AFP telah menafikan maklumat salah berkaitan bencana alam di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami