Video pertunjukan dron hargai Cristiano Ronaldo selepas penyingkiran Piala Dunia hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 23/07/2026 jam 08:51
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Brazil
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Susulan penyingkiran Portugal daripada Piala Dunia 2026, satu video yang kononnya memaparkan pertunjukan drone sebagai penghormatan buat bintang bola sepak Cristiano Ronaldo di kampung halamannya, Madeira, tersebar di media sosial. Namun, analisis pada rakaman itu mendapati ia dijana kecerdasan buatan (AI).
"Langit di Madeira, Portugal, dihiasi dengan persembahan cahaya yang cukup menakjubkan apabila ribuan dron beraksi membentuk pelbagai imej ikonik sebagai penghormatan kepada legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo (CR7)," bunyi kapsyen video di Facebook dikongsi pada 8 Julai 2026.
"Persembahan istimewa itu diadakan di kampung halaman Ronaldo selepas beliau dikatakan menamatkan penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan Portugal dalam kempen Piala Dunia 2026."
Klip terbabit memaparkan dron yang membentuk bendera Portugal, perkataan "Obrigado, 7" (yang bermaksud "Terima kasih, 7") serta susuk tubuh bergaya yang melakukan aksi keraian ikonik Ronaldo -- melompat dan berpusing -- di ruang udara sebuah teluk.
Siaran itu turut mendakwa pertunjukan itu diadakan di Pulau Madeira yang merupakan tempat kelahiran bintang bola sepak itu sebagai penghormatan kepada kerjayanya bersama pasukan kebangsaan Portugal, walaupun pasukan itu tersingkir daripada kempen Piala Dunia pada 6 Julai lalu.
Keputusan itu menamatkan kempen pasukan tersebut dan mungkin menandakan penampilan terakhir Ronaldo beraksi di Piala Dunia.
Siaran serupa berkongsi video yang sama beredar di tempat lain di Facebook dan TikTok serta dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Perancis.
Namun, video yang kononnya menunjukkan Ronaldo diraikan dengan pertunjukan dron itu dijana AI.
Bukan acara sebenar
Carian imej berbalik pada tangkapan skrin klip itu menemui siaran asal yang berkongsi rakaman sama di Instagram oleh CazéTV, salah satu syarikat penyiaran Brazil yang membuat liputan Piala Dunia di Amerika Syarikat (pautan arkib).
Kapsyen saluran tersebut menyatakan dengan jelas asal-usulnya yang dijana oleh AI; terjemahan daripada bahasa Portugis berbunyi: "Satu video janaan AI memaparkan gambaran majlis perpisahan Cristiano Ronaldo yang menampilkan pertunjukan dron di Pulau Madeira, Portugal!"
CazéTV memberi kredit kepada akaun "@seihanaifilms" atas penghasilan rakaman itu (pautan arkib).
Hasil pencarian nama pengguna TikTok itu menemui siaran asal, dimana penciptanya sendiri menyatakan video itu dihasilkan menggunakan AI (pautan arkib).
Analisis video tersebut menggunakan Hive Moderation, iaitu alat pengesanan AI, mendapati kebarangkalian sebanyak 99.9 peratus ia dijana AI.
Carian kata kunci Google menggunakan istilah "Pulau Madeira Island", "dron" dan "Cristiano Ronaldo" tidak menemui sebarang rekod mengenai acara pertunjukan dron serupa yang diadakan untuk bintang bola sepak Portugal itu di kampung halamannya susulan kekalahan pasukan itu.
Laporan semakan fakta AFP mengenai maklumat salah tentang Cristiano Ronaldo boleh didapati di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami