Video ini telah beredar dalam laporan tentang kebocoran gas di kilang pemprosesan ayam pada tahun 2019

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Rakaman pekerja kilang yang panik dan lari bertempiaran telah ditonton ribuan kali di Facebook, Instagram dan YouTube dalam catatan-catatan yang mendakwa ia menunjukkan pekerja Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, melarikan diri daripada serbuan polis selepas dilarang beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Covid-19. Dakwaan tersebut tidak benar. Video itu telah tersebar dalam talian sejak tahun 2019, sebelum Malaysia mengesahkan kes pertama Covid-19. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan para pekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam melarikan diri daripada kebocoran gas ammonia.

Video itu telah ditonton lebih daripada 200 kali setelah dikongsikan pada 8 Julai 2021 di YouTube di sini.

Rakaman tersebut menunjukkan ramai orang dalam pakaian seragam oren dan hijau, dan beberapa orang berpakaian kot makmal putih, berselerak dan lari bertempiaran manakala seseorang di sebalik kamera boleh didengar mendesak mereka untuk lari.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 19 Julai 2021

Catatan itu berjudul: "Kilang Top Glove kene serbu."

Keterangan catatan itu berbunyi: "Kilang top glove kena serbu... depan kilang tutup tapi dlm ada org kerja. Klu mcm ni sampai kiamat covid tak hilang.."

Malaysia kini berada di bawah perintah berkurung untuk menangani penularan kes positif Covid-19 dan kerajaannya hanya membenarkan beberapa industri utama untuk beroperasi, menurut laporan media di sini dan sini.

Pelbagai kilang, termasuk Top Glove, pengeluar sarung tangan terbesar di dunia yang menjadi terkenal semasa pandemik Covid-19 untuk kerjanya dalam menghasilkan sarung tangan getah yang diperlukan oleh profesional perubatan, terpaksa menghentikan operasi di bawah sekatan ini, menurut laporan di sini.

Video itu telah ditonton lebih daripada 19,000 kali setelah muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini; di Instagram di sini; dan di YouTube di sini dan sini.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Video tersebut telah tersebar dalam talian sejak 2019 dan bukan menunjukkan kilang Top Glove.

Carian imej terbalik dengan keyframe yang diekstrak dari video itu menggunakan alat pengesahan digital InVID-WeVerify, diikuti dengan carian kata kunci, membawa kepada video ini dari Buletin TV3.

Video yang dimuat naik pada 3 September 2019 itu memaparkan adegan-adegan yang sama dengan rakaman dalam catatan yang mengelirukan, seperti yang boleh dilihat di saat ke-12.

Kapsyen catatan itu menyatakan: "26 Menerima Rawatan Di Hospital

"Sehingga kini 26 orang termasuk pekerja kilang dimasukkan ke Hospital Jasin dan Hospital Melaka bagi menerima rawatan berikutan kejadian kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam, Jasin, Melaka.

“Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan, kejadian sekitar 11.30 pagi tadi itu berpunca daripada salah satu paip di bahagian bilik sejuk beku, berisi gas berkenaan mengalami kebocoran."

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video laporan berita TV3 (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dari catatan yang mengelirukan (kiri) dan video laporan berita TV3 (kanan)

Kejadian itu juga diliputi oleh Bernama di sini.

Carian kata kunci yang lebih lanjut menemui catatan Facebook ini dari syarikat pemprosesan poltri HLRB Processing, yang menyatakan rakaman itu menunjukkan kebocoran gas ammonia yang berlaku pada 3 September 2019 di sebuah kilang pemprosesan ayam di Merlimau, Jasin, Melaka.

Malaysia mengesahkan kes pertama Covid-19 pada bulan Januari 2020, seperti yang dilaporkan di sini dan sini.

COVID-19