Poster filem telah diubah untuk menukar tajuk kepada 'The Omicron Variant'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai hantaran media sosial berkongsi poster untuk filem fiksyen sains yang kononnya dari tahun 1963 dan dipanggil "The Omicron Variant" untuk mencadangkan bahawa pandemik dan kemunculan varian koronavirus yang membimbangkan terbaru telah dirancang lebih awal. Dakwaan itu salah. Salah satu gambar itu adalah rekaan digital berdasarkan poster filem "Phase IV" dari tahun 1974, manakala satu imej lagi ialah hasil suntingan poster filem "Cyborg 2087" dari tahun 1966.

Tangkapan skrin satu gambar poster itu muncul di Facebook pada 2 Disember 2021 di sini.

Kapsyennya menyatakan: "KITA DAH LAMA RANCANG
Mereka je yang lalai

"Filem Italy tahun 1963
Tajuk 'Omicron'..."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 13 Disember 2021

Gambar itu telah dikongsikan lebih daripada 300 kali setelah beredar dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Imej yang sama turut tersebar dalam catatan media sosial dalam bahasa Inggeris, bahasa Sepanyol, bahasa Portugis, bahasa Perancis dan bahasa Jerman.

Selain itu, dakwaan serupa juga disebar dengan poster filem yang lain seperti yang dikongsikan dalam catatan Facebook bertarikh 2 Disember 2021 ini, yang diiringi keterangan berbunyi: "Movie tahun 1963 Hollywood dah rancang lama..Kita yaa lalai."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan kedua, diambil pada 13 Disember 2021



Imej itu juga muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini.

Kedua gambar tersebut muncul di Twitter, di TikTok dan di YouTube.

Kedua-dua poster mula beredar selepas pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penemuan "varian membimbangkan" (variant of concern) baharu pada 26 November 2021.

Omicron, dinamakan sempena huruf dalam abjad Yunani, dengan cepatnya merebak ke seluruh dunia, mengganggu perjalanan dan pasaran kewangan.

Malaysia melaporkan kes pertama varian Omicron pada 3 Disember 2021 yang melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun dari Afrika Selatan yang tiba pada 19 November 2021.

Varian membimbangkan dikaitkan dengan satu atau lebih perubahan dalam virus yang mungkin mempunyai kesan kesihatan awam yang ketara. Mulai awal Disember 2021, kebolehjangkitan dan keterukan varian Omicron masih dinilai.

Tetapi tiada filem yang dipanggil "The Omicron Variant" dikeluarkan pada tahun 1963.

Poster pertama

Carian imej terbalik membawa kepada poster untuk filem tahun 1974 yang dipanggil "Phase IV".

Imej yang dikongsi dalam hantaran itu boleh ditemui dengan tajuk berbahasa Sepanyol, "Sucesos en la IV Fase", di beberapa laman web yang menjual poster filem, seperti ini dan ini. Ia juga boleh didapati di laman web khusus dalam filem fiksyen sains dan seram.

Tangkapan skrin yang diambil pada 2 Disember 2021 daripada abandomoviez.net

Saul Bass, yang dikreditkan sebagai pengarah filem, mencipta poster dan jujuk kredit untuk filem-filem seperti "Vertigo" dan "Psycho" dari Alfred Hitchcock, "West Side Story" karya Robert Wise dan Jerome Robbins, dan "Cape Fear'' dan "Casino" arahan Martin Scorsese.

"Phase IV", satu-satu filem cereka Bass sebagai pengarah, memenangi hadiah utama di festival filem di Trieste, Itali, pada tahun 1975.

Sinopsis filem itu menyatakan: "Semut-semut gurun tiba-tiba membentuk kecerdasan kolektif dan mula melancarkan perang terhadap penduduk padang pasir. Ia terpulang kepada dua saintis dan seorang gadis sesat yang mereka selamat dari semut-semut itu untuk memusnahkan mereka. Tetapi semut-semut tersebut mempunyai idea lain."

Seorang wartawan AFP telah membaca skrip filem itu, yang ditulis oleh Mayo Simon. Tiada sebutan tentang virus atau varian dibuat.

Siasatan lanjut menemui poster yang disunting itu di akaun Twitter penulis dan pengarah dari Ireland, Becky Cheatle.

Dalam satu ciapan pada 28 November 2021, Cheatle mengongsikan imej itu bersama-sama dengan mesej: "Saya telah Photoshop frasa 'The Omicron Variant' ke atas sekumpulan poster filem cereka sains dari tahun 70-an #Omicron."

Beliau juga membuat suntingan digital kepada poster untuk filem-filem "The Andromeda Strain" dan "Colossus: The Forbin Project."

Tangkapan skrin ciapan tersebut, diambil pada 1 Disember 2021

Cheatle mengesahkan kepada AFP dalam mesej langsung di Twitter bahawa beliau ialah pencipta poster yang diubah.

"Ia hanya gurauan berdasarkan fakta bahawa varian Omicron berbunyi seperti filem cereka sains 70-an. Saya tidak menyangka sesiapa pun akan mengambil serius, dan saya bukan seorang anti-vaxxer," katanya.

Beliau juga memuat naikkan penjelasan itu di akaun Twitternya pada 1 Disember 2021.

Poster kedua

Melalui carian imej terbalik, AFP menemui gambar kedua sepadan dengan poster filem "Cyborg 2087" di laman pangkalan data IMDb di sini.

Berikut tangkapan skrin poster "Cyborg 2087" di laman web IMDb:

Tangkapan skrin poster "Cyborg 2087" di laman web IMDb

Poster yang asalnya untuk filem tahun 1966 arahan Franklin Adreon itu telah disunting di catatan mengelirukan.

Sinopsis untuk filem "Cyborg 2087" menerangkan bahawa ia mengisahkan tamadun bumi masa depan menghantar satu cyborg kembali ke tahun 1960-an untuk mengubah masa depan.

Berikut perbandingan tangkapan skrin poster yang mengelirukan (kiri) dan poster asal (kanan), dengan perbezaan antara kedua-duanya diserlahkan oleh AFP:

Perbandingan tangkapan skrin poster yang mengelirukan (kiri) dan poster asal (kanan)

Walaupun tiada jejak filem berjudul "The Omicron Variant" dapat ditemui oleh AFP, sebuah komedi fiksyen sains bertajuk "Omicron", karya pengarah Itali Ugo Gregoretti, dikeluarkan pada tahun 1963.

Satu lagi filem dalam kategori yang sama berjudul "The Visitor from Planet Omicron", arahan Mike Donahue, diterbitkan pada tahun 2013.

Kedua-dua filem tersebut mempunyai plot yang melibatkan makhluk asing.

AFP Semakan Fakta pernah membongkar dakwaan bahawa tarikh keluaran varian telah dirancang terlebih dahulu.

COVID-19