Kisah ini pada asalnya diterbitkan di laman web satira

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 28/04/2020 pukul 11:00
  • Dikemas kini pada hari Rabu 02/09/2020 pukul 18:39
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Dakwaan bahawa seorang pekerja yang terlalu banyak bekerja di rumah pengebumian di Bandar New York telah dikremasi secara tidak sengaja apabila dia tidur siang semasa krisis COVID-19 telah dikongsikan di pelbagai pos blog, Facebook dan Twitter. Dakwaan itu tidak benar: dakwaan itu berasal dari laman web satira; sehingga 28 April 2020, tidak ada laporan yang boleh dipercayai mengenai sebarang kejadian seperti yang dilaporkannya itu. Gambar yang digunakan di beberapa pos blog dan media sosial telah diambil dari laporan media yang tidak berkaitan. 

Dakwaan itu diterbitkan di pos blog ini pada 14 April 2020 dengan tajuk: “Covid-19: Petugas rumah mayat tidak sengaja dibakar rakan sekerja.” 

 Di bawah adalah tangkapan skrin pos blog yang mengelirukan itu: 

Image
Tangkapan skrin pos blog yang mengelirukan

Tiga perenggan yang pertama berbunyi: “Seorang pekerja perkhidmatan New York, Funeral & Cremation meninggal dunia semalam, secara tidak sengaja dibakar oleh salah seorang rakan sekerjanya.

“Menurut pihak polis, Michael Jones, 48 ​​tahun, memutuskan untuk tidur selepas kepenatan bekerja selama enam belas jam tanpa henti kerana terlampau banyak mayat yang perlu diuruskan.

“Semasa dia sedang tidur, seorang pekerja lain menyangka sebagai mayat orang berusia 52 tahun yang meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan memindahkannya ke pembakaran mayat.” 

Dakwaan itu juga dimuat naikkan di Facebook dalam bahasa Malaysia di sini dan di Twitter di sini. Dakwaan serupa juga dikongsikan dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris di sini

Kisah itu adalah penterjemahan cerita ini yang diterbitkan pada 11 April 2020 oleh laman sesawang bernama Weekly Inquirer. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, laporan itu bertajuk: “NEW YORK, NY: PEKERJA RUMAH PENGEBUMIAN YANG LETIH DIKREMASI SECARA TIDAK SENGAJA APABILA DIA TIDUR SIANG.” 

Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar.

Laporan Weekly Inquirer itu adalah artikel satira. Di bahagian bawah laman web, sebuah notis menyatakan: “Penafian: Ini adalah satira.”

Sehingga 28 April 2020, tidak ada laporan media yang boleh dipercayai atau repot polis yang memperincikan sebarang kremasi yang tidak sengaja di Bandar New York semasa krisis COVID-19. 

Gambar di atas laporan satira itu, yang menunjukkan orang di dalam pakaian hazmat memunggah mayat, telah diambil dari artikel Bloomberg ini yang diterbitkan pada 10 April 2020. Imej itu telah dikreditkan kepada Bloomberg dan Angus Mordant, seorang jurugambar berpusat di New York. 

Kapsyen gambar itu dalam laporan Bloomberg menyatakan: “Para pekerja perubatan memunggah mayat seorang pesakit yang telah meninggal dunia ke bilik mayat limpahan yang sejuk di luar sebuah pusat perubatan di Brooklyn, New York, pada 3 April.”

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin artikel Weekly Inquirer (kiri) dan artikel Bloomberg (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin artikel Weekly Inquirer (kiri) dan artikel Bloomberg (kanan)

Carian kata kunci juga tidak menemui repot media yang boleh dipercayai atau repot polis yang memperincikan sebarang kremasi secara tidak sengaja di Bandar New York semasa krisis pandemik COVID-19, yang telah membunuh sekurang-kurangnya 11,460 orang di bandar itu, menurut angka kerajaan bandar.  

Lebih-lebih lagi, penipuan itu telah diterbitkan di tempat lain di mana artikel tersebut mendakwa kejadian yang sama telah berlaku di negeri-negeri lain di Amerika Syarikat (AS).

Weekly Inquirer telah menerbitkan artikel satira yang sama dengan mendakwa bahawa kremasi secara tidak sengaja berlaku di Louisiana pada 12 April 2020. Pada Februari 2020, dakwaan itu telah diterbitkan dengan format yang sama di URL yang berlainan di mana artikel-artikel itu kononnya melaporkan kejadian yang sama di Texas dan Missouri. Cerita itu juga telah diterbitkan pada Mac 2017 di sini di sebuah laman satira yang lain. 

Snopes, sebuah organisasi semakan fakta berpusat di AS, telah membongkar dakwaan tersebut pada 2017 di sini dan pada 2020 di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami