Pakar kesihatan kata tidak ada bukti bahawa makan makanan beralkali boleh mencegah atau merawat COVID-19

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai posting di Facebook, Twitter dan YouTube mendakwa bahawa memakan makanan dengan tahap pH melebihi tahap pH novel koronavirus boleh merawat atau mencegah jangkitan dari penyakit COVID-19. Dakwaan itu tak benar. Pakar kesihatan berkata bahawa tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan itu. Sehingga April 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tidak ada "penawar" untuk COVID-19 dan “tidak ada data yang mencukupi bahawa diet beralkali boleh melindungi secara khusus daripada COVID-19”.

Posting ini telah diterbitkan di Facebook pada 26 Mac 2020 dan dikongsikan kira-kira 420 kali.

Teksnya, diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia,  berbunyi: “Koronavirus: Semua Harapan belum hilang!

“Pemerhatian telah membolehkan saintis dan pakar kesihatan tampil dengan pengetahuan bahawa pH (tahap asid atau alkali) untuk virus korona untuk terus hidup dalam badan berbeza dari 5.5 hingga 8.5.

“Oleh itu, untuk mengalahkan virus korona, kita perlu mengambil lebih banyak makanan/buah-buahan alkali yang melebihi paras pH virus. 

“Sebahagian daripadanya adalah:
* Lemon - 9.9pH *
* Lime - 8.2pH *
* Alpukat - 15.6 pH *
* Bawang putih - 13.2 pH *
* Mangga - 8.7pH *
* Tangerine - 8.5pH *
* Nanas - 12.7pH *
* Dandelion - 22.7pH *
* Orange - 9.2 pH *

“Bagaimana anda tahu bahawa anda mempunyai koronavirus?
1. * Gatal-gatal di tekak, *
2. * Tekak kering, *
3. * Batuk kering. *
4. Suhu yang tinggi
5. Sesak nafas

“Jadi jika anda perhatikan simptom-simptom ini pada diri anda atau seseorang yang berdekatan dengan anda: * DENGAN CEPAT perah air limau ke dalam air suam dan minumnya.

“*Sentiasa makan makanan/buah-buahan beralkali yang disebut di atas.

“Sebarkan maklumat ini. Beritahu keluarga, rakan-rakan dan orang di sekeliling anda mengenainya.  Kita pasti akan mengatasinya. Sorak!”

Teks tersebut diterbitkan dengan gambar yang tidak berkaitan Presiden Rusia Vladimir Putin yang cuba untuk memakai sarung tangan dengan bantuan seseorang di dalam pakaian hazmat.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan

Dakwaan serupa juga dikongsikan dalam bahasa Malaysia di sini, sinisini dan sini.

Dakwaan itu juga dikongsikan lebih dari 430 kali dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain di Facebook di sini, sini dan sini; di Twitter di sini, sini dan sini; dan di YouTube di sini.

Dakwaan itu tak benar. Pakar kesihatan berkata tidak ada bukti bahawa makan makanan beralkali boleh mencegah atau merawat COVID-19.

Sehingga April 2020, WHO kata tidak ada “penawar” untuk COVID-19. 

“Walaupun sesetengah ubat rumah, tradisional, atau barat boleh memberikan keselesaan dan mengurangkan gejala-gejala COVID-19, tidak ada bukti bahawa ubat terkini boleh mencegah atau merawat penyakit ini,” kata WHO.

Profesor Dr Lee Yeong Yeh, ahli gastroenterologi di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, memberitahu AFP melalui emel pada 10 April 2020 bahawa dakwaan di dalam posting yang mengelirukan itu adalah “tidak benar sama sekali”.

“Makan makanan beralkali tidak mengubah pH di dalam sel manusia ataupun virus,” beliau berkata. “Diet beralkali, biasanya sayur-sayuran dan buah-buahan, memberi kalium dan magnesium sebagai tambahan kepada gentian dan sifat prebiotik. Walau bagaimanapun, diet itu tidak akan memberi kesan kepada pH selular kerana pH sangat terkawal oleh sistem selular. Virus seperti SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19, bergantung kepada pH selular untuk membiak. Sesetengah ubat-ubatan boleh mempengaruhi pH selular dan oleh itu membantu dalam membunuh virus tetapi diet tidak. Tambahan lagi, makanan yang dihuraikan di dalam khabar angin itu tidak betul-betul bersifat alkali. Ia adalah lebih penting untuk makan makanan yang sihat dan seimbang, dan dengan berbuat demikian, ia akan membantu imuniti badan.”

Profesor Madya Dr Chan Yoke Fun, ahli virologi dan pensyarah kanan di Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, memberitahu AFP melalui emel pada 10 April 2020 bahawa memakan makanan beralkali tidak akan mempunyai impak kepada virus jika seseorang dijangkiti dengannya. “SARS-CoV-2 adalah sangat stabil pada pH3 hingga 10 dan tidak akan dimusnahkan dengan senang pada tahap pH itu,” katanya. “Oleh itu, jika kita dijangkitinya, virus itu akan tetap berlipat ganda walau apa pun pH makanan atau minuman kamu makan/minum.” 

Dr Cory Couillard, perunding komunikasi risiko dari WHO, memberitahu AFP melalui emel pada 17 April 2020 bahawa tidak ada “data yang mencukupi” untuk membuktikan “diet beralkali dapat melindungi secara khusus daripada COVID-19 atau tidak.”

“Walau bagaimanapun, dengan mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat membantu sistem imunasi anda untuk berfungsi dengan baik,” katanya. “Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah bahagian penting dalam pemakanan sihat. WHO mengesyorkan untuk makan minimum 400g (iaitu lima bahagian) buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.”

WHO telah mengeluarkan petua pemakanan dan nutrisi untuk sesiapa yang menjalani kuarantin diri dan pengasingan, termasuklah cadangan mengenai jenis makanan untuk dimakan untuk diet yang sihat. 

– Gejala-gejala koronavirus –

Walaupun kebanyakan gejala-gejala COVID-19 yang tersenarai di dalam posting yang mengelirukan adalah tulen, di sini adalah gejala-gejala yang paling biasa, menurut WHO. 

– Pengukuran tahap pH –

Posting yang mengelirukan itu juga memberi julat pH barangkali untuk sesetengah makanan, tetapi tahap pH yang dipetiknya adalah salah. Contohnya, posting itu menyatakan lemon mempunyai tahap pH 9.9, tetapi menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), ia mempunyai tahap pH 2, iaitu bersifat asid.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, menurut laman sesawang USGS: “pH adalah ukuran bagaimana air berasid / beralkali ... Julat pH dari 0-14, dengan 7 sebagai neutral. pH kurang daripada 7 adalah bersifat asid sementara pH lebih daripada 7 adalah bersifat alkali (bes).” 

Di bawah adalah tangkapan skrin skala pH di laman sesawang USGS:

Tangkapan skrin skala pH di laman sesawang USGS
KORONAVIRUS