Pemenang hadiah Nobel Tasuku Honjo menyangkal petikan ‘tak benar’ yang dikaitkan kepadanya mengenai novel koronavirus
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Isnin 04/05/2020 pukul 12:20
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Australia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Sebuah posting dengan komen yang dikatakan telah dikongsi di Facebook di sini pada 29 April 2020.
Sebuah tangkapan skrin Dr. Honjo dari laman Wikipedia disertakan di dalam posting Facebook tersebut.
Sebahagian kapsyen yang panjang itu menyatakan: “VIRUS CORONA (COVID-19) BUKAN TERBENTUK SECARA SEMULA JADI.. IANYA DICIPTA OLEH MANUSIA.
“Seorang Professor Perubatan Jepun (Professor Physician-Sceintist and Immunologist), Professor Dr. Tasuku Honjo telah mengejutkan media hari ini dengan pendapatnya tentang Covid-19.
“Beliau mengatakan bahawa Corona virus ini bukan terbentuk secara semulajadi. Jika ia semulajadi, ia tak akan menyerang seluruh dunia seperti hari ini.
“Secara semulajadi, suhu tempat virus itu muncul merupakan satu faktor utama dan faktor cepatnya ia merebak. Jika ia muncul di China, sepatutnya ia hanya merebak dan menyerang negara yang suhunya hampir sama dengan China.
“Ini tidak, ia telah menyerang seluruh dunia termasuk tempat sejuk seperti Switzerland dan tempat yang sangat panas seperti di gurun.
“Jika ia semulajadi dan muncul di tempat sejuk, ia akan mati bila terdedah di tempat yang panas.
“Saya telah berkecimpung dalam kajian tentang haiwan dan Virus selama lebih 40 tahun. Corona Virus ini bukan semulajadi. Ia telah dicipta dan dengan bahasa mudahnya adalah buatan manusia.
“Saya sendiri juga pernah bekerja di Makmal Wuhan di China.”
Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:
Dakwaan yang sama telah dikongsikan melebihi 10,000 kali di Facebook di sini, sini, sini dan sini; di Twitter di sini, sini dan sini; dan di laman sesawang lain di sini, sini dan sini.
Dakwaan yang serupa juga disebarkan di sosial media dalam beberapa bahasa yang lain; termasuklah bahasa Croatia di sini; bahasa Perancis di sini; bahasa Bosnia di sini; bahasa Somali di sini; bahasa Turki di sini; dan bahasa Indonesia di sini.
Terdapat versi dakwaan dwibahasa dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris, di sini dan sini, di mana ia memetik Dr. Honjo sebagai mengatakan, setelah diterjemahkan ke bahasa Malaysia, bahawa, “Sekarang, saya boleh berkata dengan yakin bahawa Amerika Syarikat adalah punca wabak asal.”
Dakwaan itu mengelirukan.
Menyangkal dakwaan di dalam posting yang mengelirukan, Honjo berkata beliau telah dikenakan “tuduhan yang tidak benar dan misinformasi” di dalam sebuah kenyataan pada 27 April 2020. Kenyataan itu telah diterbitkan di laman sesawang Universiti Kyoto, di mana beliau memegang jawatan timbalan ketua pengarah di Institut Kajian Lanjutan.
Sebahagian kenyataan media itu menyatakan: “Berikutan kesakitan, kerugian ekonomi, dan penderitaan global yang tidak pernah berlaku sebelumnya yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, saya teramatlah sedih bahawa nama saya dan Universiti Kyoto telah digunakan untuk menyebarkan tuduhan tidak benar dan misinformasi.
“Pada ketika ini, semasa semua tenaga kami diperlukan untuk merawat yang sakit, mencegah penyebaran kesedihan seterusnya, dan merancang untuk permulaan yang baru, penyiaran dakwaan yang tidak berasas mengenai asal-usul penyakit ini adalah gangguan yang berbahaya.”
Biografi Dr. Honjo di laman sesawang Universiti Kyoto menunjukkan bahawa beliau hanya pernah bekerja di Jepun dan Amerika Syarikat.
David Hajime Kornhauser, direktor pasukan komunikasi global Universiti Kyoto, memberitahu AFP melalui emel pada 28 April 2020: “Kerjaya profesional Dr. Honjo boleh dilihat dalam penuh dan tanpa peninggalan di laman sesawang makmalnya. Kamu akan jumpa bahawa beliau tidak pernah bekerja di China.”
Kornhauser turut memberitahu AFP bahawa universitinya telah memaklumkan kepada Twitter berikutan itu mengenai satu akaun penyamar. “Sebuah akaun Twitter yang mendakwa untuk mewakili pandangan Dr. Honjo – yang merupakan sumber kebanyakan maklumat tidak benar – adalah palsu dan fitnah,” katanya. Dia berkata Dr. Honjo tidak mempunyai akaun Twitter.
AFP menjalankan beberapa carian kata kunci di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun untuk temu bual media dengan Dr. Honjo mengenai pandemik novel koronavirus.
Sementara Dr. Honjo telah dilaporkan memberitahu surat khabar Jepun Nikkei Asian Review bahawa beliau percaya novel koronavirus “berasal” di China, tidak ada bukti beliau telah memberitahu sebuah organisasi media bahawa virus itu telah “dibuat di China”.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami