National Microbiology Laboratory di Winnipeg, Manitoba, Kanada. (AFP / Michel Comte)

‘Pengintip’ China tidak curi koronavirus dari Kanada

Laman sesawang dan pengguna media sosial mendakwa bahawa koronavirus baru yang dijumpai di bandar Wuhan, China, mungkin dicipta di Kanada dan dicuri oleh mata-mata China. Ini adalah tak benar: pihak berkuasa kesihatan dan polis persekutuan Kanada kata ia tidak mempunyai asas faktual, dan pakar kata bukti menunjukkan virus mempunyai asal-usul semula jadi.

Posting di Facebook ini pada 19 Mac 2020 telah mendakwa bahawa “SAINTIS DARI CHINA TELAH MENCURI VIRUS DARI MAKMAL DI NEGARA KANADA.” Posting yang mengelirukan itu disertai dengan tangkapan skrin pelbagai artikel dan gambar-gambar yang memaparkan seorang wanita yang sama dikenali sebagai Dr Xiangguo Qiu.

Posting itu telah menyatakan: “Pada bulan March 2019, 2 orang saintis iaitu Dr. Xiangguo Qiu dan Keding Cheng (suami – isteri) dari negara China telah mencuri virus dari sebuah makmal iaitu Canadian National Microbiology Laboratory (NML) di negara Kanada. Mereka kemudian telah menghantar virus tersebut ke negara China dengan menggunakan khidmat Courier.

“4 bulan berikutnya iaitu pada bulan July 2019, mereka berdua telah dihalau keluar dari Makmal NML dan dipaksa pulang ke negara China.”

Ia juga memberi pautan kepada sebuah blog.

Posting tersebut telah dikongsikan sebanyak 86 kali.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Selain itu, terdapat posting lain di Facebook dengan dakwaan utama yang sama dalam bahasa Malaysia di sini, sini dan sini

Terdapat posting yang mempunyai versi yang berlainan termasuklah satu yang mengatakan bahawa “Bill and Melinda Gates Foundation telah membiayai penciptaan virus tersebut” dan satu lagi yang menyatakan “para saintis dari makmal Wuhan National Biosafety Laboratory telah membawa Coronavirus ke pasar di ‘Huanan Seafood Market’ untuk menyebarkannya dengan sengaja.”

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia sebagai: “Korona virus dibangunkan di Kanada dan dicuri oleh China?” baca tajuk artikel ini dari 22 Januari 2020. Ia nampaknya dakwaan pertama daripada satu siri dakwaan sebegitu mengenai novel koronavirus, yang telah menyebabkan wabak di bandar Wuhan, China, sebelum ia merebak ke seluruh negara itu dan di seluruh dunia.

Image
Tangkapan skrin tajuk sebuah blog yang mengelirukan yang diambil pada 30 Januari 2020

Tidak lama lagi, pengguna media sosial lain berkongsi versi dakwaan yang sama dengan merujuk kepada penyiasatan ke atas dua pakar virologi di Kanada pada 2019. Kyle Bass, seorang pengurus dana lindung nilai (hedge fund) dari Amerika Syarikat yang sedang shorting mata wang Hong Kong, membuat dakwaan tak benar di Twitter bahawa “pasukan pengintip China” hantar patogen “ke kemudahan Wuhan”. Ciapannya telah dikongsi hampir 12,500 kali, dan tangkapan skrin ciapan tersebut telah dikongsi di Facebook.

Image
Tangkapan skrin ciapan yang diambil pada 30 Januari 2020
Image
Tangkapan skrin ciapan yang diambil pada 30 Januari 2020

 

Dakwaan itu nampaknya berdasarkan salah nyataan laporan Ogos 2019 mengenai pemindahan virus Ebola dan Nipah dari sebuah makmal Kanada ke Beijing, dan satu isu berlainan yang berkaitan dengan dua penyelidik China di Makmal Mikrobiologi Kebangsaan (NML) Kanada di Winnipeg, di wilayah Manitoba.

NML merupakan sebahagian Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC), di mana pegawai kanan media Tammy Jarbeau memberitahu AFP melalui emel bahawa “ini adalah disinformasi. Kenyataan (ini) yang dibuat dalam rangkaian sosial tidak mempunyai asas faktual.”

Penyiasatan RCMP

Pada Julai 2019, Perbadanan Penyiaran Kanada (CBC) melaporkan bahawa dua penyelidik dengan hubungan dengan China telah disingkirkan dari NML di Winnipeg oleh Polis Diraja Kanada (RCMP) untuk kemungkinan “pelanggaran polisi”. Artikel tersebut tidak menyebut koronavirus.

Robert Cyrenne, jurucakap RCMP di Manitoba, memberitahu AFP melalui emel bahawa “tiada hubungan antara wabak di China dan sebarang penyiasatan RCMP. Sebarang pelaporan sebegitu adalah misinformasi”. 

Cyrenne mengesahkan kepada AFP bahawa siasatan yang melibatkan penyelidik itu masih dijalankan.

Dr Xiangguo Qiu, yang tolong membangunkan rawatan untuk virus Ebola; suaminya Keding Cheng, seorang pakar biologi yang telah menerbitkan kertas mengenai strain koronavirus seperti SARS-CoV; dan pelajar China yang bekerja dengan mereka mendapati akses keselamatan mereka dibatalkan kepada satu-satunya makmal peringkat 4 di Kanada, iaitu sebuah kemudahan dilengkapi untuk penyelidikan mengenai penyakit yang paling dahsyat.

Pemindahan virus

Dakwaan bahawa novel koronavirus dicipta di Kanada merujuk kepada laporan lain melibatkan NML. Sebulan selepas Qiu, Cheng dan para pelajar diiring keluar dari premis,  CBC melaporkan bahawa virus Ebola dan Nipah yang hidup telah dikirim ke Beijing pada Mac 2019 untuk penyelidikan.

Pegawai PHAC memberitahu CBC bahawa semua prosedur telah diikuti untuk kiriman patogen peringkat 4 itu, yang paling dahsyat. Tetapi jangka pendek antara penerbangan Air Canada yang mengangkutnya dan penyingkiran Qiu dan Cheng membawa kepada kecurigaan bahawa kedua-dua peristiwa tersebut boleh dihubungkaitkan.

RCMP enggan mengulas mengenai sebarang hubungan antara siasatannya dan kiriman virus ke Beijing.  

Ciapan Bass mendakwa bahawa Qiu telah dihentikan dari pekerjaannya kerana menghantar patogen ke Wuhan. Sebenarnya, kedua-dua patogen itu dihantar ke Beijing, dan bukannya koronavirus. 

Universiti Manitoba, di mana kedua-dua Qiu dan Cheng telah berkaitan, telah menamatkan perlantikan mereka yang tidak bergaji dan menugaskan semula para pelajar yang bekerja dengan mereka, seorang jurucakap memberitahu The Canadian Press.

RCMP tidak memberi komen mengenai keberadaan semasa Qiu dan Cheng atas sebab-sebab privasi.

Asal-usul semula jadi virus

Dalam sebuah surat yang diterbitkan pada 19 Februari 2020 di jurnal perubatan The Lancet, sekumpulan saintis kesihatan awam membuat kenyataan mengenai asal-usul novel koronavirus, yang menyebabkan penyakit COVID-19.

“Kami bersama-sama mengutuk setegas-tegasnya teori konspirasi yang mencadangkan bahawa COVID-19 tidak mempunyai asal-usul semula jadi. Saintis dari beberapa negara telah menerbitkan dan menganalisis genom agen penyebabnya, koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2), dan mereka menyimpulkan bahawa koronavirus ini berasal dari hidupan liar, seperti kebanyakan patogen yang muncul,” kata mereka.

Sepasukan saintis diketuai oleh Shan-Lu Liu dari The Ohio State University juga membuat kesimpulan bahawa tiada “bukti yang boleh dipercayai” bahawa virus itu – secara rasmi dikenali sebagai SARS-CoV-2 – telah direkayasa di dalam sebuah makmal, di dalam sebuah penyelidikan yang diterbitkan pada 26 Februari 2020.

Menurut kerajaan Kanada, sehingga 8 April 2020, terdapat lebih daripada 19,000 kes jangkitan novel koronavirus yang disahkan dan 435 kematian di seluruh negara.

Semakan Fakta AFP kian fokus memerangi misinformasi mengenai COVID-19. Koleksi kerja kami dalam topik ini boleh didapati di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami