Catatan media sosial kongsi dakwaan mengelirukan bahawa awalan kod bar dapat menunjukkan produk yang dibuat di Israel
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Rabu 02/06/2021 pukul 11:15
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Dakwaan itu diterbitkan pada 17 Mei 2021 di Facebook di sini dan telah dikongsi melebihi 34,000 kali.
Dakwaan itu disertai dengan gambar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang dimanipulasikan dengan teks warna merah yang ditindih menyatakan “produk BOIKOT wajib” dan dua kod bar yang berasingan dengan tiga nomor pertama dilbulatkan, iaitu 729 dan 871.
Kapsyennya menyatakan: “BOIKOT JANGAN BERMUSIM !!! #IsraelKoyak”.
Dakwaan itu juga telah dikongsi 5,500 kali setelah muncul di Facebook di sini, sini dan di sini; Instagram di sini; Twitter di sini; dan TikTok di sini.
Dakwaan itu juga telah beredar dalam bahasa lain, seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sweden, bahasa Turki dan bahasa Arab.
Dakwaan dan seruan untuk memboikot Israel disebarkan ketika konflik Israel-Hamas bertambah buruk pada Mei 2021, di mana lebih daripada 200 orang menjadi korban, kebanyakannya adalah rakyat Palestin, lapor AFP di sini.
Dakwaan itu mengelirukan.
Carian kata kunci di Google menemui pautan ini dari GS1, sebuah organisasi bukan untung yang mengeluarkan awalan kod bar kepada syarikat.
Menurut halaman itu, nombor awalan GS1 untuk syarikat-syarikat Israel adalah 729.
Walau bagaimanapun, halaman yang sama juga menyatakan bahawa “awalan syarikat berdasarkan awalan GS1 di bawah. Perhatikan bahawa kerana syarikat anggota GS1 dapat mengeluarkan produk di mana sahaja di seluruh dunia, awalan GS1 tidak mengenal pasti negara asal untuk produk tertentu.”
Pertanyaan tersebut juga ditangani di bahagian FAQ laman web tersebut: “Awalan GS1 tidak menunjukkan bahawa produk tersebut dihasilkan di negara tertentu atau oleh pengeluar tertentu; ia mungkin dihasilkan di mana sahaja di dunia.”
Berikut adalah tangkapan skrin laman web GS1:
AFP menerima pengesahan melalui e-mel pada 20 Mei 2021 dari jabatan perkhidmatan pelanggan GS1 bahawa “ia disahkan semua kod bar GS1 dengan 729 sebagai awalan syarikat dikeluarkan oleh GS1 Israel.”
Menurut senarai GS1, 871 adalah salah satu awalan yang dikeluarkan oleh GS1 Belanda.
Asal usul produk — dari syarikat yang merupakan anggota GS1 — dapat diperiksa melalui pangkalan data yang dipanggil Global Electronic Party Information Registry (GEPIR).
AFP pernah menerbitkan laporan ini yang membongkar dakwaan mengelirukan yang serupa bahawa awalan kod bar tertentu dapat memberitahu pelanggan bahawa produk itu dibuat di China.
Gambar Netanyahu
Foto Netanyahu yang digunakan dalam catatan yang mengelirukan telah diubah suai dari gambar Netanyahu ini, di mana beliau bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo di Tel Aviv pada tahun 2018, dan diterbitkan dalam akaun Flickr dari Jabatan Negara AS.
Berikut adalah tangkapan skrin foto asli dari akaun Flickr Jabatan Negara AS:
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami