Seorang kakitangan perubatan memberikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech kepada pegawai kesihatan di Pusat Perubatan Sunway di Subang Jaya, di Kuala Lumpur, pada 11 Mac 2021. (AFP / Mohd Rasfan)

Vaksin Covid-19 tidak mengandungi mikrocip magnetik

Pelbagai catatan media sosial mendakwa pemvaksinan Covid-19 adalah alasan terperinci untuk penanaman mikrocip, dengan berbagai-bagai video yang memaparkan bahawa lengan orang ramai menunjukkan sifat magnet selepas itu. Tetapi ini tidak benar. Catatan-catatan tersebut adalah penjelmaan terbaru dari teori konspirasi mikrocip yang disokong oleh individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang memperkuatkan kepalsuan dan pembohongan demi menambah keraguan terhadap vaksin.

Salah satu rakaman itu dimuat naikkan pada 16 Mei 2021 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 4,600 kali. 

Kapsennya berbunyi: “MAGNET MELEKAT LAGI SELEPAS VAK$INN..

“Ini Kejadian petang tadi ya 19hb Mei 2021. Kawan Saya baru lepas pigsin terus kami buat uji kaji.. memang betul la ada besi dalam pigsin ni.. sebab melekat woooo magnet di tempat cucuk pigsin..

“Korang yang dah pigsin atau ada kawan yg di pigsin tolong buat mcm ni Dan hantar video dekat aku.. Dia random, ada orang yg dapat jenis pigsin yg kandungannya ada bahan2 besi, ada kandungannya yang ada carbon, ada kandungannya yg kesannya makan Masa 2 tahun nanti & juga ada yang kesannya di bawah 14 hari selepas dicucuk pigsin. Apa saja tujuannya sama untuk mengurangkan populasi manusia & kontrol manusia melalui 5G.”

Image
Tangkapan skrin video yang mengelirukan, diambil 17 Jun 2021

Video itu telah dikongsikan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, dan di Twitter di sini

Dakwaan serupa beredar dengan video berbeza di Facebook di sini dan sini, dan di YouTube di sini.

Sehingga 21 Jun 2021, Malaysia merekodkan lebih daripada 4.2 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, manakala lebih daripada 1.6 juta orang telah melengkapkan dua dos, menurut data ini dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dakwaan tersebut juga muncul dalam bahasa Indonesiabahasa Inggeris dan bahasa Serbia

Dakwaan itu tak benar. 

Pakar perubatan berkata bahawa video-video ini tidak lebih sekadar teori konspirasi yang tipikal mengenai maklumat tidak sahih tentang novel koronavirus.

“Tidak. Penerimaan vaksin Covid-19 tidak boleh menyebabkan lengan anda menjadi magnetik. Secara ringkas, ini adalah penipuan,” kata Dr Stephen Schrantz, pakar penyakit berjangkit di University of Chicago Medicine.

“Tidak ada cara sama sekali bahawa vaksin dapat menyebabkan reaksi yang ditunjukkan dalam video-video yang dimuat naik ke Instagram dan/atau YouTube. Ia lebih baik dijelaskan dengan pita dua muka pada cakera logam yang dilekatkan pada kulit daripada reaksi magnetik,” tambahnya lagi

Mick West, seorang penulis sains Inggeris-Amerika menyiarkan sebuah video di Metabunk.org, sebuah laman web yang didedikasikan untuk membongkar ilmu pseudosains, memanggil dakwaan-dakwaan tersebut sebagai “satu putarbelitan baru kepada satu helah karnival lama.” 

Dia membuktikan bahawa magnet, duit syiling, atau benda licin lain akan melekat pada pelbagai bahagian badan, termasuk hidung, jika kulit seseorang sedikit berminyak. “Keluarkan minyak dan objek tersebut tidak akan melekat,” jelasnya.

Penjelasan yang sama juga boleh didapati di laman sesawang berita sain, Live Science di sini dengan laporannya pada 2011 mengenai fenomena di sebalik kebolehan seorang budak lelaki yang dapat melekat pelbagai objek kepada dirinya.  

Apabila disoal tentang dakwaan tersebut, Dr Thomas Hope, penyelidik vaksin dan profesor sel dan perkembangan biologi di Northwestern University Feinberg School of Medicine di Chicago, berkata: “Ini mustahil. Tidak ada apa di situ yang dapat berinteraksi dengan magnet, ia hanyalah protein dan lipid, garam, air dan bahan kimia yang mengekalkan paras pH. Itulah pada dasarnya, jadi ini tidak mungkin.”

Jika ia mengandungi sejumlah kecil bahan logam, “anda perlu meletakkan sekeping logam yang cukup besar di bawah kulit anda agar magnet peti sejuk melekat,” kata Hope. “Anda tidak akan dapat memasukkan cukup logam atau besi, yang akan bertindak balas dengannya, di dalam jarum dan menyuntikkannya ke dalam kulit.”

Menurut helaian fakta yang disediakan oleh pihak berkuasa kesihatan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Hong Kong, tidak ada sebarang vaksinasi Covid-19 yang tersedia, seperti Pfizer, Moderna, Johnson & Johnson, AstraZeneca atau Sinovac, yang menyenaraikan sebarang bahan berasaskan logam.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, atau CDC, mengesahkan di laman webnya bahawa “tidak ada penjejak” dalam vaksin itu sendiri.

Sebelum ini, AFP pernah membongkar dakwaan tidak benar di sini dan sini mengenai implan mikrocip yang diberikan melalui vaksin Covid-19.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami