Video ini telah tersebar sejak Mac 2020 dalam catatan tentang pengebumian palsu ketika perintah berkurung Covid-19 di Jordan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan dalam talian telah menyebarkan satu video yang mendakwa bahawa ia menunjukkan media Israel mengadakan pengebumian palsu korban serangan Hamas. Dakwaan itu tak benar. Video tersebut telah tersebar dalam talian sejak Mac 2020 dalam catatan mengenai lakonan ketika perintah berkurung Covid-19 di Jordan.

Rakaman itu telah ditonton lebih daripada 13,000 kali setelah dimuat naikkan pada 17 Mei 2021 di Facebook di sini

Video berdurasi 27 saat itu memaparkan sekumpulan orang membawa apa yang kelihatan seperti satu badan yang diselimuti kain di atas usung di sepanjang jalan. Kumpulan itu menjatuhkan usung tersebut dan tiba-tiba bersurai apabila mereka terdengar bunyi siren menghampiri. Orang yang sudah terbaring di atas usung itu kemudiannya bangun dan terus berjalan pergi.

Kapsyennya sebahagian besar berbunyi: “Media I5raHell sedang melaporkan *Secara Live* adanya korban meninggal akibat serangan Hamas. Tapi bila dengar Siren peringatan adanya serangan dari Hamas, mayatnya terus hidup balik.” 

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 8 Jun 2021

Catatan yang mengelirukan itu beredar dalam talian ketika keganasan konflik Israel-Palestin meruncing pada Mei 2021. AFP melapor mengenai konflik tersebut di sini.

Video itu muncul dengan dakwaan serupa di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 3,200 kali; serta di sini dan sini.

Rakaman itu juga telah dikongsi dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia.

Catatan dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia and bahasa Inggeris mengatakan bahawa video itu menampilkan media atau rakyat Palestin yang mengadakan pengebumian palsu korban serangan Israel.

Dakwaan-dakwaan ini tak benar.

Carian imej terbalik di Google menjumpai video yang serupa ini dari YouTube yang telah dimuat naik pada 24 Mac 2020. Sebahagian tajuk video berbahasa Arab itu diterjemahkan sebagai: “Pengebumian palsu di Jordan”.

Seorang wartawan AFP yang fasih berbahasa Arab menganalisis video tersebut dan gelak ketawa yang dapat didengar pada klip menandakan bahawa situasi itu tidak serius.

Carian kata kunci selanjutnya berdasarkan salah satu komen di video YouTube tersebut menjumpai laporan ini bertarikh 23 Mac 2020 dari surat khabar Arab Amerika, Watan. Ia mengatakan bahawa sekumpulan lelaki menjalankan pengebumian palsu untuk melanggar perintah berkurung yang ditempatkan di Jordan pada masa itu. 

Perintah berkurung sepanjang hari dilaksanakan dari 21 Mac 2020 di seluruh Jordan, lapor AFP di sini.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video YouTube (kanan)

Kejadian itu juga dilaporkan oleh media dari Emiriah Arab Bersatu, Al Roeya di sini pada 24 Mac 2020. 

Laporan itu menyatakan bahawa video tersebut menunjukkan sekumpulan pemuda di Jordan yang cuba untuk melanggar perintah berkurung yang dikenakan untuk membendung kes Covid-19.

Terjemahan dan adaptasi
KONFLIK ISRAEL-PALESTIN