Ratu Elizabeth berjumpa tetamu di sebuah parti taman di Istana Buckingham pada Mei 2019. (AFP / Yui Mok)

Istana Buckingham tidak berkata bahawa Ratu Elizabeth disahkan positif koronavirus

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 14/04/2020 pukul 07:15
  • Dikemas kini pada hari Rabu 02/09/2020 pukul 17:23
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Charlotte MASON, AFP Malaysia
Beberapa posting Facebook, Twitter dan Instagram serta laman sesawang mendakwa bahawa Ratu Elizabeth II dari Britain telah disahkan positif COVID-19. Walaupun anak sulung Ratu Elizabeth dijangkiti penyakit itu, istananya berkata baginda masih “dalam kesihatan yang baik”.

Sebuah posting yang mengelirukan berjudul “COVID-19 Serang Tak Kira Darjat, Ratu Elizabeth II Disahkan Positif” dikongsikan di Instagram pada 28 Mac 2020 sebelum akhirnya dipadamkan.

Posting tersebut mengandungi dua gambar di mana satu menunjukkan gambar potret Ratu Elizabeth manakala satu lagi menunjukkannya berjabat tangan dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson. Kapsyen posting tersebut menyatakan: “Lepas PM Britain kena, sekarang Queen pulak jadi mangsa Covid-19. Ingatlah semua besar mana pun darjat kita, klu nak kena tu kena juga ? Baca artikel penuh di IG story.”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Instagram yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin posting Instagram yang mengelirukan

Tangkapan skrin berasal dari artikel ini yang telah diterbitkan pada 28 Mac 2020. 

Dakwaan itu diulangi di Facebook dalam bahasa Malaysia di sini dan sini, dan di Twitter dalam bahasa Inggeris di sini dan sini.

Selain itu, AFP menjumpai pelbagai lagi laporan dari laman berita, kebanyakannya berpusat di Nigeria, yang menerbitkan dakwaan ini. Sesetengahnya telah diarkibkan di sini, sini dan sini

Image
Tangkapan skrin dakwaan tak benar yang dikongsikan di Facebook, diambil pada 30 Mac 2020

“Istana Diraja sahkan Ratu Elizabeth positif untuk koronavirus,” kata tajuk sebuah artikel yang dikongsi melebihi 1,500 kali di Facebook sejak ia dimuat naikkan pada 28 Mac 2020.

Sebuah repot dari laman berpusat di Nigeria, Bluenews menerbitkan dakwaan tersebut bersama-sama gambar Ratu Elizabeth yang telah dimanipulasikan menunjukkan baginda memakai topeng muka.

"Yang Mulia Ratu England telah disahkan positif Koronavirus, walaupun baginda tidak menunjukkan simptom kelemahan pada waktu ini sebab kami dengar baginda dalam Keadaan yang baik!" baca artikel itu. 

AFP menjalankan carian imej terbalik dan menjejak versi asal foto tersebut kepada sebuah artikel oleh surat khabar The Daily Mail mengenai Ratu Elizabeth menghadiri gereja pada Hari Krismas pada 2017.

Image
Tangkapan skrin imej Ratu Elizabeth yang dimanipulasikan (kiri) dan foto asal (kanan)

Pihak istana mengumumkan pada 30 Mac 2020 bahawa anak sulung dan waris Ratu Elizabeth, Putera Charles, tidak lagi berada dalam pengasingan selepas disahkan positif untuk COVID-19.

Kebimbangan juga dibangkitkan untuk kesihatan Ratu Elizabeth yang berusia 93 tahun itu selepas Perdana Menteri Britain Boris Johnson juga disahkan positif untuk penyakit itu pada 27 Mac 2020. Johnson kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dari 6 April sampai 9 April 2020.

Tetapi Istana Buckingham tidak membuat sebarang pengumuman bahawa Ratu Elizabeth telah dijangkiti penyakit itu.

Pada 27 Mac 2020, jurucakap Istana berkata Ratu Elizabeth “kekal berada dalam kesihatan yang baik” dan telah “mengikuti semua nasihat yang sesuai dengan kebajikan baginda”.

Ratu Elizabeth tinggal bersama suaminya Putera Philip yang berusia 98 tahun di Istana Windsor, di tenggara England, sejak 19 Mac 2020.

Pada 5 April 2020, Ratu Elizabeth telah menyiarkan ucapannya dari Istana Windsor dan berkata bahawa UK “akan berjaya” dalam perjuangannya memerangi pandemik koronavirus. 

Dalam ucapan Easternya pada 11 April 2020, dipercayai yang pertama untuk Ratu Elizabeth dan dirakam semasa pengasingan, baginda berkata: “Kita tahu bahawa Koronavirus tidak akan mengatasi kami.”

Sebelum ini, AFP pernah membongkar laporan tidak benar bahawa Paus Francis disahkan positif untuk COVID-19. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami