
Ciapan mengenai Hari Raya Aidiladha ditular kembali sebagai petikan palsu dari Bill Gates
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 17/08/2020 jam 10:40
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Kanada, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Dakwaan tersebut diterbitkan di sini di Facebook pada 31 Julai 2020 dan telah dikongsikan lebih daripada 1,100 kali.
Berikut catatan Facebook yang mengelirukan itu:

Kapsyennya menyatakan: “Setelah kecoh akhbar2 antarabangsa mengecam serta cuba menyemarakkan kebencian terhadap umat Islam kerana menyembelih binatang korban;
Bill Gates, manusia terkaya di dunia, menulis di laman tweeternya hingga meredakan kekecohan tersebut dan menutup mulut para pengkritik dengan kenyataan berikut:-
“‘Saya tidak ingin melihat rasa kebencian dilemparkan kepada umat Islam kerana 'korban' mereka. Terdapat berjuta binatang disembelih setiap hari di restoren KFC, McDonald's dan Burger King, yang semua itu untuk menyediakan makanan kepada orang2 kaya dan memberi peluang mereka membuat banyak wang! Walhal, umat Islam menyembelih binatang korban untuk memberi makan orang2 miskin secara percuma. Adakah kita telah kehilangan akal?’
“(Terjemahan daripada bahasa Inggeris)”.
Umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha pada 31 Julai 2020.
Kebimbangan terhadap kekejaman haiwan dalam hal pengorbanan ritual sering muncul dalam talian pada waktu perayaan itu, terutamanya di Barat, dan kadang-kadang membawa kepada petisyen terhadap praktik tersebut. Dakwaan tersebut menunjukkan ketidakkonsistenan logik bagi mereka yang mencela tindakan terhadap haiwan dalam konteks Hari Raya namun kekal diam mengenai pembunuhan haiwan berskala industri untuk syarikat makanan segera antarabangsa seperti McDonalds atau KFC.
Dakwaan serupa dikongsikan lebih daripada 1,400 kali setelah muncul di sini, sini dan sini di Facebook. Ia juga dikongsikan di sini dan sini di Twitter, di sini di YouTube, dan di sini di Instagram.
Dakwaan itu sebelumnya muncul dalam tangkapan skrin yang dikatakan menunjukkan ciapan Bill Gates dalam bahasa Inggeris dan telah dikongsikan di Facebook di sini dan di Twitter di sini pada Ogos 2019.
Berikut tangkapan skrin catatan mengelirukan dalam bahasa Inggeris:

Walaupun nama pengguna Twitter dan foto yang termasuk di dalam ciapan padan dengan profil Twitter rasmi Gates, carian untuk beberapa perkataan pertama di dalam tangkapan skrin itu menunjukkan tiada bukti ciapan berkenaan pernah dibuat.

Carian untuk perkataan yang sama di Twitter menunjukkan bahawa pengguna Twitter @WolfieBabiee telah membuat ciapan yang sama, termasuklah tanda baca, singkatan, dan kesalahan ejaan yang sama, pada 11 Ogos 2019. Teks tersebut mendapat hampir 46,000 ulang ciapan dan komen, dan lebih daripada 88,600 tanda suka.

AFP Fact Check telah menghubungi @WolfieBabiee melalui telefon pada tahun 2019. Dia berkata bahawa dialah pengarang asal ciapan tersebut. Dia berkata lagi bahawa dia ialah seorang pelajar pengajian perniagaan berumur 20 tahun dari wilayah Kurdistan di Iraq, tetapi enggan memberi namanya untuk penerbitan atas alasan privasi.
Dia berkata dia tidak perasan bahawa kandungannya telah dikongsikan sebagai petikan Bill Gates, ataupun tahu siapa yang mungkin melakukannya.
Katanya: “Saya tidak pasti apa sebabnya untuk mengongsi ciapan palsu Bill Gates.”
Dia menjelaskan bahawa dia ingin mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai kekejaman binatang dalam konteks Hari Raya Aidiladha setelah melihat banyak kritikan mengenai ritual Islam secara dalam talian.
Gates tidak membalas e-mel AFP Fact Check untuk mendapatkan komen pada tarikh penerbitan asal artikel dalam bahasa Inggeris ini pada 16 Ogos 2019.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami