Foto presiden Ukraine dalam kelengkapan tentera diambil pada tahun 2021, sebelum pencerobohan Rusia bermula

Empat foto Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam kelengkapan tentera telah dikongsikan secara meluas dalam catatan media sosial bersama dengan dakwaan ia menunjukkan beliau di barisan hadapan selepas Rusia menyerang negara jirannya pada Februari 2022. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tidak benar. Keempat-empat gambar itu sebenarnya menunjukkan Zelensky dalam lawatan lapangan ke wilayah timur Ukraine pada April dan Disember 2021, sebelum pencerobohan Rusia bermula.

Sebuah foto Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berpakaian ketenteraan termasuk topi keledar dan jaket kalis peluru telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 25 Februari 2022.

Kapsyen catatan tersebut berbunyi: "Beliau ialah President Ukraine.

"President turun ke medan perang bersama-sama dengan tentera untuk melindungi Ukrainian. Pemimpin sejati sehingga sanggup menggadaikan nyawanya demi rakyat.

"Berbeza sekali pemimpin di negara kita..Pemimpin kita lebih sanggup menggadaikan rakyat demi kepentingan politik dan poket mereka."

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 3 Mac 2022

Gambar yang sama turut dikongsikan bersama dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini.

Foto itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris di sini dan sini, dan dalam bahasa Sepanyol di sini.

Beberapa catatan lain mengongsikan foto-foto berbeza Presiden Zelensky memakai kelengkapan tentera, seperti ini dan ini dalam bahasa Malaysia serta ini dan ini dalam bahasa Sepanyol.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 4 Mac 2022

Catatan-catatan tersebut beredar ketika Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan pelancaran operasi ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari 2022, seperti yang dilaporkan oleh AFP di sini.

Zelensky, bekas pelawak yang dilantik menjadi presiden, telah memenangi hati peminat di seluruh dunia dengan keputusannya untuk tinggal bersama rakyat Ukraine untuk mempertahankan negaranya.

Namun begitu, catatan-catatan seperti ini dikongsikan dalam konteks tidak sahih.

Foto pertama dan kedua

Carian imej terbalik untuk gambar pertama dan kedua membawa kepada imej ini dan ini di laman sesawang Agensi Anadolu, agensi berita kerajaan Turki.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, keterangan kedua-dua gambar yang diedarkan oleh perkhidmatan akhbar presiden Ukraine itu berbunyi: "Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky melawat kedudukan barisan hadapan tentera Ukraine di Donbass, Ukraine, pada 06 Disember 2021."

Tarikh itu bertepatan dengan Hari Angkatan Tentera Ukraine.

Pada masa itu, Zelensky sedang dalam lawatan kerja ke daerah Donbass, yang merangkumi Donetsk dan Luhansk, dua wilayah di bahagian timur Ukraine di bawah kawalan kumpulan pemisah pro-Rusia.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Agensi Anadolu (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto Agensi Anadolu (kanan)

Gambar-gambar itu juga boleh ditemui di galeri foto laman web presiden Ukraine di sini.

Tajuk galeri foto yang bertarikh 6 Disember 2021 ialah: "Lawatan kerja Presiden ke wilayah Kharkiv and Donetsk."

Berikut ialah tangkapan skrin galeri foto bulan Disember 2021 di laman web presiden Ukraine:

Image
Tangkapan skrin galeri foto bulan Disember 2021 di laman web presiden Ukraine

Foto ketiga

Carian kata kunci menemui foto ini di laman web AFP Forum.

Keterangannya berbunyi: "Gambar edaran ini diambil dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine pada 9 April 2021 menunjukkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky (kiri) berjalan di barisan hadapan dengan kumpulan pemisah yang disokong Rusia di wilayah Mariupol."

Image
Gambar edaran ini diambil dan dikeluarkan oleh Perkhidmatan Akhbar Presiden Ukraine pada 9 April 2021 menunjukkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky (kiri) berjalan di barisan hadapan dengan kumpulan pemisah yang disokong Rusia di wilayah Mariupol. ( AFP / STR)

Foto keempat

Carian imej terbalik, disusuli dengan carian kata kunci, mendapati foto ini di laman sesawang agensi berita Amerika The Associated Press (AP).

Keterangannya berbunyi: "Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy membuat pemerhatian ketika beliau melawat wilayah Donbas yang dilanda perang, di timur Ukraine, Khamis, 8 April 2021. Presiden Ukraine melawat kawasan konflik di timur negaranya di tengah-tengah peningkatan ketegangan yang menimbulkan ketakutan berlakunya penyambungan semula permusuhan berskala besar."

Menurut AP, gambar itu diedarkan oleh pejabat akhbar presiden Ukraine.

Image
Tangkapan skrin laman sesawang The Associated Press

Foto ketiga dan keempat juga boleh ditemui di galeri foto laman web presiden Ukraine di sini.

Tajuk galeri foto yang bertarikh 8 April 2021 ialah: "Lawatan kerja Presiden Ukraine ke Donbass."

Berikut ialah tangkapan skrin galeri foto bulan April 2021 di laman web presiden Ukraine:

Image
Tangkapan skrin galeri foto bulan April 2021 di laman web presiden Ukraine

AFP telah membongkar dakwaan yang sama menggunakan gambar-gambar lama lain Zelensky dalam pakaian tentera di sini dan sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami