Ratu Elizabeth II dari Britain menyaksikan upacara ketenteraan untuk menandakan hari lahir rasminya di Istana Windsor di Windsor pada 12 Jun 2021 ( Pool / Chris Jackson)

Program TV Australia mengeluarkan pembetulan selepas laporan tentang rawatan Covid Ratu Elizabeth II

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ratusan kali dalam catatan yang mendakwa Ratu Elizabeth II telah dirawat dengan ubat cacing bernama stromectol, yang mengandungi ivermectin, selepas baginda disahkan positif untuk Covid-19. Namun, rangkaian Australia yang menyiarkan program itu berkata ia telah tersilap merujuk kepada stromectol dalam laporannya. Doktor yang ditemu bual dalam program itu mengeluarkan penjelasannya di Twitter bahawa beliau tidak mengesyorkan stromectol sebagai rawatan Covid-19.

Video tersebut dimuat naikkan dalam catatan Facebook ini pada 22 Februari 2022, di mana ia telah ditonton lebih daripada 290 kali.

Sebahagian keterangannya menyatakan: “Queen Elizabeth disahkan positive kobit. Antara rawatan yg diterima ialah Stromectol. Dalam Stromectol tu mengandungi ivm..

"Iv3rm3ctin ni golongan prosafe dh suarakan awal2 dulu, bahawa ia mampu merawat kobit tanpa perlu vax.”

Video berdurasi 35 saat itu berasal daripada laporan program berita televisyen Australia berjudul A Current Affair ini bertarikh 21 Februari 2022 mengenai Ratu Elizabeth II yang disahkan positif untuk Covid-19.

Pada tanda 19 saat video tersebut, sekotak stromectol muncul dalam skrin.

Pada masa yang sama, wartawan A Current Affair Seb Costello kedengaran berkata: "Dr Mukesh Haikerwal berkata pesakit Covid seusia ratu harus diasingkan, dan mungkin mendapat manfaat daripada ubat-ubatan baharu yang kini diluluskan untuk pesakit berisiko tinggi di hospital-hospital Australia."

Sejurus selepas itu, Haikerwal boleh dilihat berkata: "Tablet ini, atau infusi ini, boleh membuat perbezaan dramatik kepada kebajikan dan kesihatan serta-merta, dan bagaimana mereka rasa, tetapi juga [memberi] manfaat jangka panjang juga."

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 21 Mac 2022

Ratu Elizabeth II telah disahkan positif untuk Covid-19 pada 20 Februari 2022, lapor AFP di sini. Baginda mempunyai "gejala seperti selsema ringan" dan dijangka meneruskan tugas ringan di Istana Windsor.

Ratu Elizabeth kini telah pulih dan kembali bekerja pada 1 Mac 2022, lapor AFP di sini.

Ivermectin kadangkala digunakan dalam bentuk pes untuk merawat parasit dalam kuda.

Sehingga 5 April 2022, ubat ini tidak disyorkan untuk merawat Covid-19 di UK mahupun di Australia, Malaysia dan Singapura.

Pengesyoran penggunaan ivermectin yang dikatakan dalam program berita itu juga tersebar di Facebook di sini dan sini; serta di Telegram di sini, sini dan sini.

Video itu juga beredar dengan dakwaan dalam bahasa Inggeris bahawa seorang doktor Australia mengesyorkan Ratu Elizabeth untuk dirawat dengan ivermectin.

Walau bagaimanapun, dakwaan itu mengelirukan.

'Kesilapan manusia'

Sebagai respons kepada catatan yang mengelirukan, jurucakap untuk Nine — rangkaian TV yang menyiarkan A Current Affair — memberitahu AFP pada 22 Februari 2022, bahawa ia tidak berhasrat untuk memasukkan imej stromectol dalam siaran itu.

"Malam tadi laporan kami mengenai Ratu mengandungi syot yang tidak sepatutnya dimasukkan," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

"Syot itu dimasukkan akibat kesilapan manusia. Kami mengetengahkan satu ubat infusi yang telah diluluskan yang dipanggil 'Sotrovimab' dan laporan itu secara tidak sengaja disunting kepada syot yang menunjukkan 'Stromectol' - satu produk yang mengandungi Ivermectin.

"Sebagai satu program, kami telah membuat banyak laporan yang mengetengahkan kebimbangan mengenai pengambilan Ivermectin sebagai rawatan untuk Covid-19.

"Kami tidak berniat untuk mencadangkan Dr Mukesh Haikerwal mengesyorkan 'Stromectol'.

"Kami telah meminta maaf kepadanya pagi ini, dan beliau telah menerima permohonan maaf itu. Kami tidak mencadangkan Ratu menggunakan Ivermectin. Kami telah membetulkan laporan kami dan akan menerbitkannya semula tidak lama lagi."

Pembetulan itu juga diterbitkan di bahagian bawah laporan tersebut di sini.

Sotrovimab menerima kelulusan sementara pada 20 Ogos 2021, daripada pengawal selia ubat-ubatan Australia, Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA), untuk merawat Covid-19.

Penjelasan doktor

Dalam ciapannya di sini pada 22 Februari 2022, susulan siaran itu, pakar perubatan dari Australia Dr Mukesh Haikerwal juga menjelaskan bahawa satu imej stromectol telah dimasukkan secara salah dalam laporan itu.

"Saya difahamkan imej yang dimasukkan secara tidak sengaja ke dalam [siaran A Current Affair] akan dikeluarkan pada hari ini", tulisnya. "Saluran itu telah dimaklumkan."

Beliau juga berkongsi pautan ke artikel ini mengenai beberapa rawatan yang diluluskan baru-baru ini untuk Covid-19 yang diterbitkan di laman berita yang dikendalikan oleh Kolej Pengamal Am Diraja Australia (RACGP).

Artikel itu tidak menyebut stromectol.

Senarai ubat-ubat Covid-19 yang diluluskan ini, diterbitkan oleh TGA pada 20 Januari 2022, termasuk sotrovimab — tetapi bukan stromectol.

COVID-19