Ini video menara Gaza yang diserang Israel pada tahun 2021, bukan bangunan kementerian pertahanan Ukraine

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Rakaman yang menunjukkan sebuah bangunan runtuh selepas ia diserang peluru berpandu telah ditonton ribuan kali dalam pelbagai catatan media sosial yang mendakwa ia menunjukkan serangan Rusia ke atas bangunan kementerian pertahanan Ukraine pada tahun 2022. Walau bagaimanapun, dakwaan itu tak benar. Video itu menunjukkan serangan Israel ke atas sebuah menara di Gaza pada Mei 2021.

Video tersebut dimuat naikkan di sini di Facebook pada 19 Mac 2022, di mana ia ditonton melebihi 250 kali.

Video berdurasi satu minit itu menunjukkan peluru berpandu menghujani sebuah bangunan sebelum ia runtuh ke tanah di bawah awan debu yang besar.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Bagunan Kementerian Pertahanan Ukraine diratakan dengan 3 rudal dalam waktu sekejap.

“Pasukan Rusia melakukan 2 hal luar biasa sebelum meluncurkan misil mereka:

"1) Memberi tahu wartawan asing untuk memfoto/video,
2) Memberi tahu penduduk disekitar dan mohon mengosongi bangunan berkenaan.

"Ini amat mempermalukan Ukraine. Dan secara tidak langsung sebagai amaran kepada Nato dan US ...Amazing ...RUSSIA BUKAN IRAQ..SYRIA..AFGANISTAN..yang pernah di buli USA dan sekutu..!
URRAAAAA....!"

Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 30 Mac 2022

Rusia telah meningkatkan pengeboman udara dan laut di Ukraine meskipun pihak penentangan menahan kemaraan para penceroboh di darat.

Video itu telah ditonton lebih daripada 4,300 kali selepas ia dikongsikan dalam pelbagai catatan yang sama merentasi beberapa platform, termasuk Facebook di sini, sini, sini dan sini.

Ia juga beredar dengan dakwaan yang sama dalam bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.

Walau bagaimanapun, video itu beredar dengan konteks yang tidak sahih.

Carian kata kunci untuk akaun @omaralsersawi, teks yang tertindih pada klip itu, mendapati video yang sama disiarkan di akaun Instagram dengan nama pengguna yang sama pada 13 Mei 2021.

Tulisan berbahasa Arab itu berbunyi: "Saat Bangunan Al-Shorouk runtuh selepas diserang oleh pesawat penjajah".

Bangunan Al-Sharouk, juga dieja Al-Shorouk, di Gaza — yang menempatkan biro beberapa media termasuk saluran televisyen Al-Aqsa — telah terkena peluru berpandu Israel pada 12 Mei 2021.

Ia adalah salah satu daripada empat bangunan tinggi yang diratakan oleh serangan udara Israel pada Mei 2021 semasa keganasan Israel-Palestin yang paling teruk sejak 2014.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara rakaman dalam hantaran Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara rakaman dalam hantaran Facebook yang mengelirukan (kiri) dan video Instagram (kanan)

Klip itu juga diterbitkan di Twitter oleh penyiar Amerika Syarikat (AS) ABC News pada 14 Mei 2021, yang mengkreditkannya kepada pengguna Instagram yang sama.

Foto-foto AFP yang menunjukkan bangunan Al-Sharouk runtuh dari sudut yang berbeza dan kesan serangan itu boleh dilihat di sini.

Berkepul-kepul asap dari menara Al-Sharouk yang dilanda serangan udara Israel, di bandar Gaza pada 12 Mei 2021. Serangan udara Israel memusnahkan sebuah bangunan bertingkat-tingkat di bandar Gaza hari ini, kata wartawan AFP, ketika negara Yahudi itu meneruskan pengeboman beratnya ke atas kawasan enklaf Palestin. ( AFP / Mohammed Abed)

Runtuhan itu turut ditangkap dalam laporan langsung oleh wartawan BBC di Gaza pada 12 Mei 2021.

Human Rights Watch berkata dalam laporan ini pada Ogos 2021 bahawa serangan itu adalah salah satu daripada rentetan serangan ke atas beberapa bangunan tinggi di Gaza oleh tentera Israel antara 11 dan 15 Mei 2021.

Walaupun para penyewa diberi amaran tentang serangan yang akan berlaku, tindakan tersebut turut merosakkan bangunan berdekatan dan menyebabkan beberapa dozen keluarga kehilangan tempat tinggal, kata laporan itu.

Sehingga 4 April 2022, tiada laporan bahawa bangunan kementerian pertahanan Ukraine diserang oleh Rusia.

Konflik Ukraine