Seorang kakitangan perubatan memastikan seorang lelaki warga emas selesa sebelum memberikan dos vaksin coronavirus Sinovac Covid-19 pada trak vaksin bergerak di Kuala Lumpur pada 21 Jun 2021. ( AFP / Mohd Rasfan)

Catatan dikongsi dengan dakwaan mengelirukan tentang keperluan vaksinasi Covid-19 di Malaysia

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 08/04/2022 pukul 04:51
  • Dikemas kini pada hari Jumaat 08/04/2022 pukul 05:03
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Video Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman telah ditonton ribuan kali di media sosial bersama dengan dakwaan bahawa keperluan vaksinasi Covid-19 telah "dimansuhkan". Dakwaan itu mengelirukan. Video itu sebenarnya menunjukkan Ismail Sabri bercakap pada sidang akhbar pada 8 Mac 2022, di mana beliau berkata keperluan vaksinasi akan dimansuhkan untuk perjalanan rentas negeri dan di beberapa tempat kerja. Beberapa aktiviti di Malaysia — seperti sukan rekreasi, perhimpunan keagamaan dan makan di restoran — memerlukan peserta telah menerima sekurang-kurangnya lengkap dos primer setakat 8 April 2022.

Video Perdana Menteri Ismail Sabri memberikan kenyataan media telah dikongsi di sini di Facebook pada 22 Mac 2022.

Kapsyen catatan berkenaan bertulis: "Ambil tahu!! Status vaksinasi telah dimansuhkan."

Teks yang ditindih pada video juga mengatakan: "Status Vaksinasi DiMansuhkan."

Dalam klip berdurasi 30 saat itu, Ismail Sabri berkata: “Mengenai keperluan vaksinasi, had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan.

“Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Jadi tidak timbul, ada booster ke, tidak ada booster ke, mereka boleh merentas negeri dan sebagainya, begitu juga dengan pekerja-pekerja.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 6 April 2022

Lebih 67.4 peratus penduduk dewasa Malaysia telah menerima dos ketiga Covid-19, memetik statistik rasmi kerajaan Malaysia.

Video itu telah ditonton lebih daripada 7,900 kali setelah dikongsi bersama dengan tuntutan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini; dan di TikTok di sini.

Komen pada siaran itu menunjukkan bahawa beberapa pengguna media sosial telah diperdayakan.

Seorang menulis: "cmni xyah amek booster ke guana?"

Seorang lagi berkata: "Yg cocok kena game laa...kena scam dgn kj ada Smpai kojoll".

Berikut adalah tangkapan skrin komen-komen yang dikongsi di Facebook:

Image
Tangkapan skrin komen-komen di Facebook, diambil pada 6 April 2022

Tuntutan itu, bagaimanapun, mengelirukan.

Peraturan pandemik

Pengumuman Ismail Sabri boleh ditonton di video dari KiniTV ini dan video dari TV3 ini — kedua-dua diterbitkan pada 8 Mac 2022.

Pada kesempatan itu, ia mengumumkan Malaysia akan "beralih" ke fasa endemik mulai 1 April 2022 dan peraturan pandemik akan dilonggarkan.

Dalam ucapan itu, beliau berkata keperluan vaksinasi akan dimansuhkan untuk perjalanan rentas negeri dan di beberapa tempat kerja mulai 1 April 2022.

Perincian peraturan itu juga bisa dilihat di sini.

Keperluan vaksinasi

Setakat 8 April 2022, terdapat tujuk vaksin Covid-19 yang diberikan di Malaysia: AstraZeneca, Pfizer/BioNTech, Moderna, Sinovac, Sinopharm, Johnson & Johnson dan CanSino.

Garis panduan kerajaan tentang status "vaksinasi lengkap" bergantung kepada jenis vaksin dan juga umur penerima.

Berikut adalah garis panduan kerajaan tentang status "vaksinasi lengkap".

Image
Garis panduan kerajaan tentang status "vaksinasi lengkap"

Setakat 8 April 2022, kebanyakan aktiviti di Malaysia memerlukan peserta sekurang-kurangnya menerima dos primer, seperti yang dijelaskan di sini.

Ini termasuk sukan rekreasi, perhimpunan keagamaan dan makan di restoran.

Mereka yang belum menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 atau tidak divaksin hanya boleh mengambil bahagian dalam "aktiviti penting", seperti pergi membeli makanan dan keperluan asas atau pergi ke sekolah atau bekerja.

Senarai penuh "aktiviti penting" juga disertakan dalam garis panduan kerajaan yang sama, yang diterbitkan pada 1 April 2022:

  1. Membeli makanan, minuman dan keperluan asas;
  2. Menginap di hotel, tempat penginapan tetamu dan homestay;
  3. Mendapatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan termasuk makmal
    dan farmasi;
  4. Menghadiri aktiviti melibatkan kerjaya dan kesinambungan hidup
    termasuk persekolahan, peperiksaan, kursus-kursus berkaitan kerjaya,
    bekerja dan temuduga;
  5. Perbankan termasuk pajak gadai;
  6. Nikah, pendaftaran perkahwinan dan cerai;
  7. Aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan di kawasan terbuka;
  8. Menaiki pengangkutan melalui udara, laut atau darat termasuk merentas
    negeri di Malaysia; dan
  9. Lain-lain aktiviti yang melibatkan situasi kecemasan seperti berpindah ke
    Pusat Pemindahan Sementara.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami