Video menunjukkan anjing Putin menyalak pada wartawan Jepun pada tahun 2016, bukan 2022

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah video yang telah ditonton belasan ribu kali dalam pelbagai catatan Facebook yang mendakwa ia menunjukkan Presiden Rusia Vladimir Putin "cuba memalukan delegasi Jepun" dengan membawa anjingnya ke mesyuarat rasmi. Catatan itu, yang beredar dalam talian selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, merujuk kepada penjajaran Jepun dengan Amerika Syarikat dan negara lain yang mengenakan sekatan ke atas Moscow. Tetapi video itu telah dikongsikan dalam konteks palsu. Ia menunjukkan Putin membawa anjingnya ke wawancara dengan wartawan Jepun di Kremlin pada tahun 2016.

Video itu telah disiarkan di sini di Facebook pada 8 Mac 2022.

Klip berdurasi dua minit 20 saat itu menunjukkan Putin memasuki sebuah bilik di Kremlin dengan seekor anjing, yang kemudiannya mula menyalak dengan kuat.

Dua lelaki Jepun berpakaian sut kelihatan kekok memandang anjing itu, manakala kru kamera merakam detik itu.

Kapsyen catatan itu sebahagian berbunyi: "~Presiden Rusia Vladimir Putin menyampaikan dengan bahasa tubuh dan jenis diplomasinya kepada delegasi Jepun yang berkunjung bahwa JEPUN SAAT INI SEPERTI ANJING AMERIKA."

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 23 Mac 2022

Video itu telah ditonton lebih daripada 15,500 kali setelah dikongsi dengan tuntutan serupa di sini, sini dan sini.

Video itu juga beredar dengan dakwaan serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia dan bahasa Urdu.

Catatan itu mulai diedarkan dalam talian selepas Jepun mengumumkan sekatan ekonomi dan kewangan terhadap Rusia pada 4 Mac 2022 berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Tetapi video itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Wawancara lama

Carian kata kunci menemui video yang sama versi penuh di sini yang dimuat naik di laman web Kremlin pada 13 Disember 2016.

Keterangan video itu berbunyi: "Menjelang lawatan rasminya ke Jepun, Vladimir Putin memberi temu bual kepada Nippon Television Network Corporation (Nippon TV) dan akhbar Yomiuri Shimbun."

Adegan yang sama juga muncul dalam video yang lebih pendek ini, yang dimuatnaik di akaun YouTube milik Euronews, media Eropa yang berpangkalan di Perancis, pada 15 Disember 2016.

Sebahagian penerangan video Euronews itu berbunyi: "Menjelang lawatannya ke Jepun akhir minggu ini, Presiden Rusia Vladimir Putin membawa anjingnya Yume ke dalam wawancara dengan wartawan Jepun, dan anjing baka Akita yang besar itu memastikan dia serta tuannya didengari.

"Putin memberikan temu bual kepada Nippon Television dan akhbar Yomiuri Shimbun di Moscow pada hari Selasa, diiringi pada mulanya oleh Yume, yang diberikan kepadanya oleh wilayah Akita, Jepun, pada tahun 2012."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal di laman web Kremlin (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran yang mengelirukan (kiri) dan video asal di laman web Kremlin (kanan)

Pertemuan Putin dengan wartawan Jepun juga dilaporkan oleh penyiar Amerika Syarikat CNN dan agensi media negara Rusia TASS.

Ukraine conflict