Ciapan palsu CNN melaporkan 'kematian pertama warga Amerika di Ukraine'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai catatan media sosial mendakwa CNN berbohong kepada orang ramai dengan membuat ciapan bahawa seorang lelaki menjadi korban warga Amerika Syarikat pertama di Ukraine pada tahun 2022 selepas memaparkan gambar yang sama dalam catatan mengenai hukuman mati lelaki itu di Afghanistan pada tahun 2021. Dakwaan ini tidak benar. CNN berkata ciapan tersebut bukan daripada akaun rasmi mereka. Lelaki yang digambarkan ialah seorang YouTuber Amerika yang mengulas permainan video dan dia masih menstrim secara langsung di platform itu.

Imej dua ciapan yang menunjukkan wajah lelaki yang sama dimuat naikkan di sini di Facebook pada 3 Mac 2022.

Satu tangkapan skrin memaparkan ciapan bahasa Inggeris oleh CNN Afghanistan bertarikh 16 Ogos 2021 yang mengumumkan bahawa "wartawan CNN Bernie Gores telah dihukum mati di Kabul oleh Taliban".

Tangkapan skrin kedua menunjukkan ciapan dari CNN Ukraine bertarikh 23 Februari 2022 yang mengatakan lelaki yang sama ialah "aktivis bernama Bernie Gores" yang telah menjadi "korban perang Amerika pertama dalam krisis Ukraine".

Kapsyennya berbunyi: "PEMBERITA CNN TELAH MATI TAHUN 2021, MALAHAN TAHUN INI 2022 MATI SEKALI LAGI ... ???"

Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 1 April 2022

Kedua-dua imej itu juga beredar di Facebook dengan dakwaan serupa di sini, sini dan sini.

Imej ciapan yang sama juga muncul dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Perancis, bahasa Jerman, bahasa Sepanyol dan bahasa Portugis.

Catatan itu beredar selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022.

Salah seorang utusan Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Dmitry Polyanskiy, turut mengecam "pembohongan dan kepalsuan" media arus perdana dalam satu ciapan pada 1 Mac 2022 yang menunjukkan dua imej tersebut.

Namun begitu, jurucakap CNN Jonathan Hawkins memberitahu AFP pada 28 Februari 2022 bahawa akaun-akaun Twitter di sebalik ciapan-ciapan itu "bukan akaun rasmi CNN".

Kedua-dua akaun @CNNAfghan dan @CNNUKR kini digantung oleh Twitter.

Versi arkib bagi akaun CNN Afghanistan yang didakwa itu, menunjukkan bahawa akaun itu dicipta pada Mei 2021 dan hanya mempunyai 132 pengikut, dan juga tidak disahkan, tidak seperti akaun Twitter rasmi CNN yang lain, seperti ini dan ini.

Ciapan akaun CNN Afghanistan tentang "wartawan CNN Bernie Gores" pernah disemak fakta pada Ogos 2021.

Versi arkib akaun CNN Ukraine yang juga tidak disahkan menunjukkan bahawa ciapan tentang lelaki yang telah mati itu diterbitkan pada 23 Februari 2022, dan akaun itu hanya mempunyai 129 pengikut.

Nama rekaan

"Bernie Gores" ialah nama rekaan yang dimaksudkan untuk berbunyi seperti cerca perkauman yang digunakan dalam forum Internet atau papan mesej dalam talian.

AFP mendapati lelaki dalam foto itu ialah YouTuber Amerika bernama Jordie Jordan, atau lebih dikenali sebagai WingsOfRedemption, yang merupakan pengulas permainan video di saluran YouTubenya.

Jordan dikatakan sering menimbulkan kontroversi serta menjadi sasaran gangguan dalam talian yang berulang.

Foto Jordan yang dikongsikan sebagai "Bernie Gores" sebelum ini pernah muncul dalam satu catatan Instagram yang mendakwa ia menunjukkan seorang lelaki yang hilang selepas letupan pelabuhan Beirut pada Ogos 2020.

Beberapa pengikut Jordan pernah bertanya kepadanya tentang laporan palsu mengenai kematiannya dalam bahagian komen video yang distrim secara langsung di akaunnya pada 26 Februari 2022.

Jordan tidak bertindak balas terhadap soalan-soalan ini, akan tetapi akaunnya terus menstrim video di YouTube.

Dakwaan palsu tentang personaliti yang beredar dalam talian berikutan acara berita global bukanlah kaedah baru gangguan dalam talian.

AFP pernah membongkar dakwaan serupa mengenai YouTuber warga Jerman yang dituduh sebagai pembunuh yang dikehendaki.

Pada 13 Mac 2022, wartawan bebas Brent Renaud dibunuh oleh tentera Rusia di bandar Irpin, Ukraine — Renaud ialah wartawan Amerika pertama yang diketahui mati dalam perang ini.

CNN membuat ciapan atas laporannya mengenai kematian Renaud di sini.

Terjemahan dan adaptasi
Konflik Ukraine