Seorang penumpang yang memakai pelitup muka mencium seorang bayi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 29 November 2021. ( AFP / Mohd Rasfan)

Catatan kongsi dakwaan keliru rakyat akan 'didenda kerana memakai pelitup muka tanpa perakuan kerajaan'

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah infografik telah dikongsi dalam pelbagai siaran media sosial yang mendakwa rakyat mesti memakai pelitup muka dengan perakuan rasmi kerajaan atau berdepan denda sehingga RM 100,000 di bawah peraturan baru. Walau bagaimanapun, tuntutan itu mengelirukan. Peraturan dan denda baru dikenakan kepada syarikat dan individu yang mengilang atau mengimport pelitup muka, dan bukannya orang awam, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Infografik dengan catatan dakwaan peraturan baru telah dikongsi di Facebook di sini pada 7 April 2022.

Kapsyen catatan berkenaan bertulisi: “PAKSAAN/Ugutan?

"Kalau tak pakai pelitup muka, denda RM 1000 / Kalau pakai pelitup muka tanpa kelulusan SIRIM, denda RM 100,000.

"Apakah dengan adanya kelulusan SIRIM pada pelitup muka tersebut, maka virus Covid-19 tidak akan berjaya menembusi/menghalang virus tersebut tersebar...?”

Tangkapan layar catatan mengelirukan, diambil pada 15 April 2022

Infografik yang disertakan bertajuk: "Pelitup Muka Bukan Perubatan Perlu Perakuan SIRIM."

Ruangan di bawah tajuk “Jika Gagal Patuhi" mempunyai teks berikut: "Individu: Denda tidak melebihi RM100,000/ dipenjara tidak melebihi 3 tahun / kedua-duanya."

Malaysia mula mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk mencegah penularan Covid-19 pada 1 Ogos 2020 dan ia kekal sehingga negara itu kini memasuki fasa peralihan ke endemik.

Mereka yang gagal mematuhi peratuan pemakaian pelitup muka berdepan kompaun sehingga RM 1,000.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dikecam kerana rakyat berhadapan jumlah denda yang tinggi manakala pegawai kerajaan secara terbuka tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial.

Rakyat memberikan sokongan kepada seorang remaja yang dirakam menangis dalam video pada Ogos 2020 apabila dia didenda RM 1,000 kerana membuka pelitup muka di stesen kereta api, dan mengecam seorang ahli politik tempatan kerana membeli pisang goreng tanpa pelitup muka dan melanggar peraturan penjarakan sosial untuk mengadakan sambutan hari jadi.

Infografik telah dikongsi dengan tuntutan yang serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini; dan di Twitter di sini.

Ruangan komen pada siaran itu menunjukkan bahawa beberapa pengguna media sosial telah diperdayakan.

Seorang pengguna Facebook berkata: "Cara kerajaan mendidik rakyat dengan cara denda ratusan ribu (ringgit) berbanding cara menangani hati rakyat."

"Sudah 3 tahun kita dilanda covid tapi baru sekarang mereka terfikir pasal ni. kerja mengarut,” kata seorang lagi.

Tangkapan skrin komen di Facebook, diambil pada 15 April 2022

Tuntutan itu, bagaimanapun, mengelirukan.

Perakuan rasmi

Infografik asal dimuatnaik oleh Bernama di laman Facebook mereka pada 6 April 2022.

Melihat lebih dekat pada infografik berkenaan, terlihat tulisan: "Pengilang & pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu memohon perakuan & penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd."

Menurut peraturan baru yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 5 April 2022, pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan mendapatkan perakuan rasmi daripada badan kawalan kualiti kerajaan SIRIM, bermula dari tarikh 4 Julai 2022.

Satu bahagian menyenaraikan denda untuk "syarikat" dan "individu" jika mereka gagal mendapatkan perakuan.

Bahagian untuk "individu" berbunyi: "Didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjara tidak melebihi selama tempoh 5 tahun atau kedua-duanya sekali.”

Tidak menyasarkan orang ramai

Seorang jurucakap kementerian memberitahu AFP pada 13 April 2022: "'Individu' di sini merujuk kepada seseorang yang memiliki industri berskala kecil yang menghasilkan pelitup muka bukan perubatan."

Beliau juga merujuk AFP kepada grafik ini yang dimuat naik ke laman Facebook rasmi kementerian pada 11 April bertajuk: "ORANG AWAM JANGAN PANIK!"

Bahagian yang diserlahkan dengan latar belakang berwarna merah bertulis: “INDIVIDU yang boleh dikenakan tindakan bukanlah individu Pengguna / pemakai pelitup muka tetapi ianya merujuk kepada individu yang MENGILANG dan MENGIMPORT pelitup muka bukan perubatan tanpa perakuan SIRIM.”

Menurut grafik itu, peratuan baru telah ditangguhkan sehingga 1 Januari 2023.

Bernama mengemaskini maklumat grafik mereka, dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, di laman Facebook mereka di sini dan sini pada 7 April 2022.

Infografik yang dikemaskini mempunyai teks tambahan "Individu (pengilang & pengimport)" di bawah bahagian "Jika gagal patuhi".

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi infografik Bernama yang lama (kiri) dan infografik Bernama yang baru (kanan), dimana perbezaan utama ditandakan oleh AFP.

Perbandingan tangkapan skrin bagi infografik Bernama yang lama (kiri) dan infografik Bernama yang baru (kanan).
COVID-19