Audio palsu ditambahkan pada video wartawan CNN yang sedang berlindung dari serangan roket di Israel
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Khamis 26/10/2023 pukul 13:04
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Mary KULUNDU, AFP Kenya, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Klip itu telah ditonton sebanyak 3,400 kali selepas ia dikongsi pada 14 Oktober 2023 di TikTok di sini.
Kapsyen catatan itu berbunyi: "CNN terlupa mereka sedang live dan pengarah berita menelefon meminta wartawan dan jurukamera untuk berpura-pura mereka telah diser4ng oleh roket 'Jerry kau kena tengok sekeliling sambil buat-buat panik' 'Chris berhenti mencarut, kau nampak melebih-lebih pula'."
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, teks pelekat bertulis: "Sedang berlaku: CNN ditangkap memalsukan serangan Hamas ke atas Israel."
Klip berdurasi seminit dan 33 saat itu menunjukkan ketua koresponden antarabangsa CNN, Clarissa Ward, bersama dua kru CNN yang lain berlari di sebuah jalan kemudian berlindung di dalam parit ketika bunyi deruman roket kedengaran berhampiran sempadan Israel-Gaza (pautan arkib). Kelihatan kru CNN sedang bercakap melalui telefon bimbit.
Dalam video itu, Ward dan pasukannya terpaksa berlindung semasa roket terbang berhampiran Semenanjung Gaza. Rakaman kamera diteruskan ketika mereka berlindung di dalam parit di sebelah jalan, dengan Ward kelihatan tercungap-cungap dan menjadi fokus dan seorang lelaki di belakangnya bercakap di telefon bimbit.
Kemudian kedengaran suara dari seseorang yang seolah-olah seorang penerbit memberi arahan dari studio CNN. "Sekarang kamu lihat kawasan itu benar-benar lengang, tetapi saya mahu kamu membawa mereka keluar dari jalan raya. Suruh mereka baring di tepi jalan," demikian arahan dari suara itu.
“Beritahu jurukamera untuk terus memandang Clarissa, okey… Lihat sekeliling Jerry, lihat sekeliling seolah-olah anda dalam bahaya. Cuba untuk kelihatan baik dan takut... okey, bagus, hasil yang bagus.”
Pada 7 Oktober 2023, ratusan pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, serangan dahsyat yang berlaku 50 tahun dan sehari selepas meletusnya perang Arab-Israel 1973, menurut laporan AFP.
Semasa serangan itu, militan Hamas membunuh 1,200 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, dan mengambil kira-kira 150 tebusan.
Serangan balas Israel, melalui udara dan artileri, ke atas Gaza membunuh lebih 6,500 orang di Gaza, menurut laporan AFP bertarikh 25 Oktober 2023.
Video dengan audio yang sama telah ditonton lebih daripada 5,500 kali selepas dikongsi di TikTok di sini dan di sini, serta juga di X, sebelumnya bernama Twitter.
Rakaman itu turut dimuat naikkan dalam catatan bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia.
Tetapi dakwaan bahawa CNN merakam serangan yang dipentaskan di Israel adalah palsu.
Audio palsu
Melihat lebih dekat pada klip yang diedit mendedahkan logo dengan perkataan "The Quartering" di penjuru kiri sebelah atas serta tulisan "Like, Share & Follow" di akhir video.
Kedua-dua elemen ini tiada dalam video rasmi CNN.
Rakaman yang lebih panjang, dengan durasi dua minit empat saat, dikongsi oleh CNN di X pada 9 Oktober 2023 -- dan memperlihatkan detik-detik saat Ward ditanya pembaca berita John Bermen, yang berada di studio, saat beliau berlindung di longkang (pautan arkib ini dan ini).
.@clarissaward reports from just minutes away from the Israel-Gaza border in the aftermath of a fresh barrage of rockets: pic.twitter.com/BPV7RP9K5o
— CNN International PR (@cnnipr) October 9, 2023
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, ucapan Ward dalam video itu adalah: "Hai, John. Maafkan saya, posisi saya kurang baik sekarang. Tetapi kami baru sahaja menerima sekumpulan besar roket datang ke sini tidak terlalu jauh dari kami. Jadi kami terpaksa berteduh di sini di tepi jalan.” Dia kemudian meneruskan laporannya.
Transkrip siaran berita CNN itu boleh dibaca di sini (pautan arkib).
Sebuah video yang disiarkan di laman web CNN, berdurasi tiga minit dan 23 saat, meringkaskan kejadian itu, dengan rakaman seluruh pasukan bergegas ke jalan sebelum bunyi roket mendarat berhampiran dan memaksa ahli pasukan berbaring di atas tanah (pautan arkib).
Dalam video asal, tiada suara untuk mengarah pasukan CNN.
Carian untuk "The Quartering" membawa kepada saluran YouTube dengan nama yang sama, di mana video yang disunting yang lebih panjang telah dimuat naik dan telah ditonton lebih daripada 239,000 kali.
Saluran The Quartering merangkumi topik "dalam industri permainan, komik dan dunia secara keseluruhan", menurut maklumat di saluran YouTube.
Kajian lanjut mendedahkan bahawa The Quartering diuruskan oleh YouTuber Amerika bernama Jeremy Hambly, yang terkenal kerana mempromosikan pandangan sayap kanan dan teori konspirasi (pautan arkib).
Saluran YouTube The Quartering mempunyai lebih daripada 1.5 juta pelanggan.
Dalam e-mel kepada AFP, jurucakap CNN berkata video yang disiarkan oleh The Quartering itu "direka".
"Audio dalam video yang disiarkan dan dikongsi di X adalah rekaan, tidak tepat dan secara tidak bertanggungjawab memutarbelitkan realiti detik yang disiarkan secara langsung di CNN, di mana orang ramai harus menonton sendiri video penuh di platform yang dipercayai," kata jurucakap CNN.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami