Ini video latihan payung terjun tentera di Mesir, bukan 'kumpulan Hamas menyerang Israel'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 07/11/2023 pukul 05:32
  • Dikemas kini pada hari Selasa 07/11/2023 pukul 07:35
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Kenya, AFP Indonesia, AFP Malaysia
Dalam serangan mendadak yang dilakukan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, turut mengambil bahagian pasukan menggunakan paramotor yang diluncurkan dari wilayah Gaza. Beberapa hari kemudian, video yang menunjukkan aksi terjun menggunakan payung terjun, dan diikuti dakwaan palsu sebagai rakaman serangan Hamas, telah ditonton jutaan kali. Sebenarnya, video itu memaparkan perajurit di Akademi Tentera di Kairo, Mesir, dan dirakam sebelum serangan Hamas berlaku.

"Tiada jet, helikopter dan kapal terbang, cukup menggunakan peralatan ringkas untuk terbang ke udara menyerang Israel di Gaza," tulis sebahagian teks pelekat pada video TikTok ini, yang dikongsi pada 9 Oktober 2023.

"Pejuang Hamas yang tak pernah takut pada musuh," bunyi kapsyen siaran itu.

Video berdurasi 15 saat, yang memaparkan pasukan payung terjun itu, telah ditonton lebih 3,500 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan, diambil pada 6 November 2023

Video itu beredar selang beberapa hari selepas Hamas melancarkan serangan terhadap Israel, yang menyebabkan lebih seribu orang terbunuh dan lebih dari 150 warga Israel dan warga asing lainnya ditahan sebagai tebusan.

Hamas memerintah di Gaza, wilayah yang telah berada di bawah sekatan darat, udara dan laut sejak 2006. Dalam serangan fajar mendadak ini, ratusan pejuang Hamas menyusup ke kawasan sempadan Israel sementara roket ditembak dari Gaza.

Israel membalas dengan melancarkan serangan udara ke Gaza serta memutuskan bekalan air, elektrik, dan makanan ke sana. Pada 16 Oktober 2023, kementerian kesihatan di Gaza berkata jumlah korban di wilayah tersebut telah mencecah 2,750 nyawa, dan pada 6 November 2023, jumlah itu telah melebihi 10,000.

Video itu telah ditonton lebih 5.1 juta kali selepas dikongsi dengan naratif serupa di catatan TikTok ini, ini dan ini, serta di catatan Facebook ini.

Rakaman itu juga juga muncul dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Walaupun sejumlah pejuang Hamas menggunakan ruang udara untuk memasuki sempadan, video tersebut tidak ada kaitan dengan konflik ini.

Video dirakam di Mesir

Menerusi hasil pencarian gambar terbalik, AFP mendapati bahawa video itu dirakam di depan Akademi Tentera di Kairo, Mesir.

Bahagian depan bangunan boleh dilihat di Google Maps (pautan arkib).

Beberapa petunjuk boleh dikenalpasti pada bangunan tersebut, termasuk tulisan "akademi tentera" dalam bahasa Arab, logo institusi tersebut, dan bendera Mesir dipacak atas bangunan itu. Ciri-ciri ini sepadan dengan apa yang dilihat dalam klip yang tersebar di media sosial, termasuk rupa bentuk bangunan itu.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan gambar di Google Maps (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan gambar di Google Maps (kanan)

Video lama

Hasil pencarian gambar terbalik, AFP juga menemui versi lebih panjang dari klip tersebut yang dikongsi di TikTok pada 24 September 2023 -- sekitar dua minggu sebelum konflik Israel-Hamas tercetus (pautan arkib).

Bagaimanapun, AFP masih belum dapat mengesahkan dengan tepat bila video itu dirakam.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan video tulen di TikTok (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan mengelirukan (kiri) dan video tulen di TikTok (kanan)

Akaun yang sama juga berkongsi video lain yang memaparkan latihan ketenteraan di tempat yang sama (pautan arkib).

Ketika itu, tentera Mesir menjalankan latihan ruang udara bersama tentera Perancis, seperti yang dinyatakan oleh jurucakap angkatan tentera Mesir pada 21 September 2023 (pautan arkib).

Konflik Israel-Hamas telah mencetuskan banyak maklumat salah di media sosial, termasuk gambar dan video yang disebarkan dengan dakwaan palsu. Laporan AFP yang lain mengenai dakwaan palsu konflik Israel-Palestin boleh didapati di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami