
Ini video suspek komplot rampasan kuasa Turki pada 2016, bukan 'jeneral Israel yang ditangkap Hamas'
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari 10/11/2023 jam 05:05
- Dikemas kini pada hari 10/11/2023 jam 05:08
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Hamas Keluarkan Video 5 General Israel Yang Di Tangkap. Allahhuakbar," tulis satu catatan Facebook di sini yang berkongsi rakaman itu pada 9 Oktober 2023.
Video yang mempunyai lebih 129,000 tontonan itu menunjukkan barisan lelaki yang diminta mengenal pasti diri mereka sebelum mereka keluar dari bilik dengan tangan terikat di belakang.
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, teks pelekat di video bertulis: "Hamas keluarkan video jeneral Israel."

Klip itu telah ditonton lebih daripada 12,500 kali selepas ia dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di Tiktok di sini, dalam catatan yang turut mengaitkannya dengan konflik Israel-Hamas.
Catatan serupa juga muncul dalam bahasa Arab.
Ribuan orang awam telah terbunuh di kedua-dua belah perang yang dicetuskan oleh serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang dilancarkan oleh Hamas pada 7 Oktober dari Semenanjung Gaza.
Lebih 1,400 orang terbunuh dalam serangan itu, kebanyakannya orang awam, dan 240 tebusan diambil, menurut pihak berkuasa Israel.
Israel bertindak balas dengan serangan udara tanpa henti yang telah membunuh lebih 10,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza pada 6 November 2023.
Bagaimanapun, rakaman yang tersebar di media sosial tidak berkaitan dengan peperangan ini.
Tambahan pula, pada 17 Oktober 2023, tentera Israel memberitahu AFP bahawa tidak ada jeneral yang dijadikan tebusan oleh Hamas di Gaza.
Rampasan kuasa Turki yang gagal
Carian imej terbalik menemui versi lebih panjang video yang disiarkan di YouTube oleh Medyascope, saluran berita Turki, pada 17 Julai 2016 (pautan arkib).
Menurut penerangan video itu, ia menunjukkan penahanan pegawai tinggi tentera Turki yang dituduh merancang rampasan kuasa pada tahun itu.
Video itu dikreditkan kepada agensi berita Anadolu, yang dikendalikan kerajaan Turki -- yang logonya dilihat di sudut kanan atas video.
Penerangan video itu mengenal pasti salah seorang lelaki dalam klip itu sebagai Ozturk.
Seorang lelaki yang memakai baju polo berjalur putih, biru dan hijau kelihatan dalam video yang mengenal pasti dirinya dengan nama itu.
Bekas ketua tentera udara Akin Ozturk dinamakan dalam laporan media sebagai salah seorang daripada 24 "ketua rampasan kuasa" yang dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup berhubung usaha gagal menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016.
Lebih 270 orang, termasuk 34 komplot rampasan kuasa, terbunuh dan beribu-ribu cedera selepas orang ramai turun ke jalanan menentang pihak yang mahu menggulingkan kerajaan, yang melancarkan serangan ke atas parlimen dan istana presiden.
Beribu-ribu orang kemudiannya telah dipecat daripada peranan mereka dalam sistem kehakiman, polis, tentera dan pendidikan, yang dituduh sebagai ahli gerakan rampasan kuasa.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam catatan palsu (kiri) dan rakaman tulen dari Anadolu 2016 (kanan):

AFP juga menerbitkan gambar, dikreditkan kepada Anadolu, yang menunjukkan Ozturk dan lelaki lain dari barisan. Menurut kapsyen foto, ia diambil pada 17 Julai 2016.
Satu lagi video yang menunjukkan lelaki itu telah disiarkan di saluran YouTube bahasa Arab Anadolu (pautan arkib).
AFP sebelum ini menafikan satu video berbeza yang kononnya menunjukkan jeneral Israel ditangkap oleh Hamas. Klip itu sebenarnya menunjukkan kumpulan pemisah ditangkap di Azerbaijan.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami