Ini bukan video Ronaldo menolak Coca-Cola kerana beliau menyokong rakyat Palestin
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 07/11/2023 pukul 06:09
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Indonesia, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Jangan meletakkan Coca-Cola di depan saya, kerana saya tahu itu produk Yahudi " demikian tulisan di video TikTok yang diterjemahkan dari bahasa Indonesia, yang dikongsi pada 16 Oktober 2023.
Tulisan itu ditulis seolah-olah ia adalah petikan daripada bintang bola sepak Portugal itu, yang saat ini bermain untuk kelab Al-Nassr di Arab Saudi.
Video itu menunjukkan Ronaldo mengeluarkan dua botol Coca-Cola dari pandangan kamera dan menggantikannya dengan botol air. Terdapat emoji bendera Israel ditambah mengikut botol Coke, manakala emoji bendera Palestin mengikut botol air.
Tiada suara daripada Ronaldo, tetapi mulutnya kelihatan bergerak-gerak, dan kotak ucapan telah ditambah di atas kepalanya dengan perkataan: "Palestin".
Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, siaran itu diberi kapsyen: "Ronaldo bersuara tentang Palestin."
Video berdurasi 21 saat itu telah ditonton lebih 840 kali sejak ia dimuat naik.
Video itu juga ditonton lebih 1,200 kali selepas dimuat naik ke siaran TikTok lain, seperti ini dan ini.
Video yang sama turut tersebar dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia dan bahasa Sepanyol.
Catatan itu dimuat naik beberapa hari selepas kumpulan Hamas menyerang sempadan Gaza dengan Israel pada 7 Oktober 2023, dalam serangan mengejut yang menjerumuskan wilayah itu ke dalam peperangan.
Puak militan membunuh lebih 1,400 orang – kebanyakannya orang awam – dan menjadikan lebih 220 tebusan, menurut pihak berkuasa Israel.
Sebagai tindak balas kepada serangan paling maut dalam sejarahnya, Israel meratakan kawasan kejiranan di Semenanjung Gaza dalam beberapa siri serangan udara.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza pada 6 November 2023, serangan Israel telah membunuh lebih 10,000 rakyat Palestin.
Beberapa selebriti telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap keganasan, dengan Bono, Gigi Hadid, Madonna dan ramai lagi bersuara, lapor AFP.
Bagaimanapun, peristiwa dalam video itu berlaku lebih dua tahun sebelum tercetusnya keganasan semasa di Timur Tengah, dan Ronaldo tidak menyebut tentang konflik Israel-Palestin.
Sidang akhbar Euro 2020
Carian imej terbalik di Google menggunakan tangkapan skrin video TikTok mendapati rakaman itu diambil pada 14 Jun 2021.
Klip asal telah dikongsi oleh pelbagai saluran media, termasuk The Telegraph, akhbar British, di saluran YouTubenya di sini (pautan arkib).
Klip itu menunjukkan Ronaldo dan pengurus pasukan kebangsaan Portugal, Fernando Santos pada sidang akhbar semasa kejohanan Euro 2020 di Budapest, yang ditangguhkan selama setahun akibat pandemik Covid-19.
Sidang media itu diadakan menjelang perlawanan pembukaan Portugal menentang Hungary.
Daripada menyebut "Palestin" seperti yang disebut dalam video yang mengelirukan, Ronaldo berkata "agua" -- iaitu bahasa Portugis untuk air -- dan bertujuan untuk menggalakkan orang ramai memilih minuman semula jadi berbanding minuman bergas.
Ronaldo tidak pernah menyebut Israel, Palestin atau produk yang dianggap Yahudi.
Penganalisis berkata, tindakan Ronaldo menunjukkan bintang sukan mula menolak produk tajaan yang tidak selari dengan nilai peribadi mereka.
Berikut ialah perbandingan tangkapan skrin video di siaran mengelirukan (kiri) dan video tulen daripada The Telegraph (kanan):
The Coca-Cola Company adalah syarikat multinasional awam Amerika, yang dimiliki oleh ribuan pemegang saham dan pelabur di seluruh dunia.
Menurut laman web syarikat tersebut di Australia, pemegang saham terbesar secara global adalah pengusaha AS Warren Buffett.
Selama lebih daripada tiga dekade Buffett, melalui perusahaan pelaburannya Berkshire Hathaway, telah mempunyai antara 6% dan 10% daripada jumlah saham The Coca Cola Company (pautan arkib ini dan ini).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami