Ini video konflik di Sudan, bukan 'Israel mengebom kanak-kanak Palestin'

Israel terus mengebom rakyat Palestin di wilayah Gaza sebagai serangan balas terhadap militan Hamas di sempadan kedua negara itu pada 7 Oktober 2023. Namun, sebuah video grafik yang telah ditonton ribuan kali di media sosial bukan memaparkan dron Israel menjatuhkan bom kepada kanak-kanak Palestin di sebuah pusat kemudahan tangki air. Video tersebut sebenarnya memaparkan tentera Sudan yang mengebom tempat penyimpanan bahan bakar di Khartoum ketika negara itu berdepan perang saudara.

AMARAN: Video mengandungi visual kekerasan.

"Tentara israel memang pengecut menjatuhkan bom kepada anak2 yang tak berdaya," tulis kapsyen pada TikTok ini, yang dikongsi pada 25 Oktober 2023.

"Sekelompok anak-anak berkumpul di tangki air di bagian timur Gaza untuk mendapatkan air minum, dan zionis Israel mengintai mereka dari udara dan melemparkan bom api ke arah mereka, membunuh mereka."

Dakwaan itu menyertakan sebuah video yang diambil dari pandangan udara, menunjukkan sebuah senjata letupan dilepaskan dari arah yang tinggi ke atas sekumpulan orang ramai.

Video berdurasi 22 saat itu telah ditonton lebih dari 3,000 kali.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 9 November 2023

Hamas melancarkan serangan mendadak ke kawasan Israel pada 7 Oktober 2023, serangan yang mencetuskan perang yang telah mengorbankan ribuan nyawa orang Palestin dan Israel.

Menurut pihak berkuasa Israel, serangan Hamas itu adalah yang terburuk dalam sejarah Israel, dilakukan oleh para militan yang memasuki sempadan Gaza-Israel, menewaskan lebih 1,400 orang dan menjadikan lebih 230 orang sebagai tebusan.

Israel membuat serangan balas dengan melancarkan bom tanpa henti, yang menurut kementerian kesihatan di Gaza pada 6 November 2023, lebih 10,000 nyawa telah terkorban, termasuk 4,000 kanak-kanak.

Video itu telah ditonton lebih daripada 2,300 kali selepas ia turut dikongsi di catatan Facebook ini dan ini, catatan TikTok ini dan ini. Ia juga muncul di aplikasi berkongsi video FunXD di sini.

Catatan serupa juga disebarkan dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Bengali dan bahasa Thai.

Walau bagaimanapun, video tersebut sebenarnya tidak berkaitan dengan perang Israel-Hamas. Video tulennya menunjukkan serangan tentara Sudan ke tempat penyimpanan bahan bakar di Khartoum, ibu negara itu.

Tangki simpanan bahan bakar

Pencarian gambar terbalik dan kata kunci tertentu menemui beberapa versi video yang dikongsi di beberapa laman berita, yang melaporkan bahawa video itu menunjukkan angkatan bersenjata Sudan mengebom sebuah tangki bahan bakar yang digunakan kumpulan paramiliter.

Video itu muncul di halaman Facebook Al Jazeera Sudan pada 12 Oktober 2023, juga di laman berita The News of Sudan pada hari yang sama (pautan arkib ini dan ini).

"Sebuah dron yang dikendalikan tentera Sudan menyasarkan sebuah tangki bahan bakar milik Pasukan Sokongan Pantas di Khartoum," tulis kapsyen berbahasa Arab di video Al Jazeera.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video yang dikongsi di laman Facebook Al Jazeera (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan palsu (kiri) dan video tulen dari Facebook Al Jazeera (kanan)

Kumpulan paramiliter Pasukan Sokongan Pantas (RSF) terlibat konflik bersenjata dengan puak lain melibatkan tentera Sudan sejak April 2023, menewaskan lebih dari 9,000 orang dan menyebabkan hampir 6 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Fasiliti yang kelihatan dalam video itu adalah depot pengisian bahan bakar jet dekat bandar Khartoum yang boleh dilihat di imej satelit Google Maps (pautan arkib).

Sejumlah bangunan di lokasi itu sepadan dengan apa yang dapat dilihat dalam video di catatan palsu itu, terutama empat menara putih berbentuk silinder itu. Salah satu menara itu kelihatan berubah warna dalam video palsu itu.

Berikut perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan imej satelit Google Maps (kanan), dengan menara dan bangunan lain yang sepadan ditandakan AFP.

Image
Perbandingan tangkapan skrin video di catatan palsu (kiri) dan imej satelit Google Maps (kanan)

Laporan AFP yang lain mengenai dakwaan palsu konflik Israel-Palestin boleh didapati di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami