Ini video keriuhan konsert 50 Cent di Norway, bukan 'lakonan orang Israel berlari daripada serangan Hamas'

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 24/11/2023 pukul 08:45
  • Dikemas kini pada hari Jumaat 24/11/2023 pukul 09:35
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Tuduhan palsu bahawa "pelakon krisis" sedang mengalami kecederaan dalam perang Israel-Hamas telah melanda media sosial. Dalam kes terbaharu, video yang menunjukkan peminat penyanyi rap 50 Cent bergegas untuk melihat konsertnya di Norway muncul di siaran Facebook dan TikTok yang mendakwa ia menunjukkan warga Israel berpura-pura melarikan diri daripada serangan Hamas. Rakaman tulen dimuat naikkan bintang Amerika itu di halaman Facebook rasminya dalam video promosi untuk siri konsert Final Lap Tour.

"lihatlah MEREKA sedang berlakon kononnya huru hara," tulis catatan TikTok ini, yang dikongsi pada 28 Oktober 2023.

"Ham4s tak mcam tu la !sra3l, berp3rang dengan adab dn ilmu penuh didada!"

Catatan itu memuat naikkan sebuah video yang menunjukkan orang ramai berlari di koridor ke dalam bilik yang penuh dengan kamera dan peralatan produksi.

"Ini apa yang berlaku di Israel kelmarin," tulis teks pelekat yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris.

Sementara teks tambahan dalam bahasa Melayu berbunyi: "lihat penipuan Meraka menggunakan Saluran Media dengan Rakaman Lagi katanya Rakyat isreal lari menyelamatkan diri."

Video yang berdurasi 15 saat itu telah ditonton lebih daripada 5,300 kali dan disiarkan di akaun dengan lebih daripada 42,000 pengikut dan profil yang mengandungi tanda pagar "#freepalestine".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu, diambil pada 22 November 2023

Perang maklumat selari dengan konflik maut Israel-Hamas di lapangan telah menyaksikan ahli teori konspirasi menuduh rakyat Palestin dan Israel biasa sebagai "pelakon krisis" -- berpura-pura cedera dan mati untuk meraih simpati dan memburukkan pihak lain.

Trend itu sebelum ini dilihat ketika penembakan besar-besaran di Amerika Syarikat dan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, tetapi pakar telah melihat jenis tuntutan ini kian meningkat semasa perang Israel-Hamas, yang telah membunuh ribuan orang awam di kedua-dua pihak.

Perang dicetuskan oleh serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel yang dilancarkan oleh Hamas dari Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023.

Sekitar 1,200 orang terbunuh dalam serangan itu, kebanyakannya orang awam, dan diperkirakan 240 tebusan dirampas, menurut pihak berkuasa Israel.

Serangan udara balas Israel dan pencerobohan darat telah membunuh lebih 14,800 orang -- juga kebanyakan orang awam -- di Gaza, menurut kerajaan Hamas, yang berkuasa di wilayah Palestin itu, pada 23 November 2023.

Bagaimanapun, video yang tersebar di media sosial -- yang telah ditonton 488,000 kali di Facebook dan TikTok di sini dan di sini -- tidak berkaitan dengan perang.

Konsert 50 Cent

Carian imej terbalik di Google menemui video serupa yang disiarkan di akaun Instagram rasmi penyanyi rap Amerika 50 Cent pada 4 Oktober 2023 (pautan arkib ini dan ini).

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, siaran itu berkata: "Orang ramai berpusu-pusu masuk sebaik sahaja pintu dibuka untuk @thefinallaptour," merujuk kepada The Final Lap Tour, siri konsert pemuzik itu (pautan arkib).

Video itu termasuk geotag untuk bandar Stavanger, Norway, tempat beliau mengadakan konsert pada 2 Oktober 2023, menurut laman webnya (pautan arkib).

Lokasi konsert ialah Ekspo Forum (pautan arkib).

Di bawah ialah tangkapan skrin siaran Instagram, dengan geotag ditandakan oleh AFP.

Image
Tangkapan skrin siaran Instagram, diambil pada 22 November 2023

Carian kata kunci selanjutnya pada konsert dan lokasi menemui video yang lebih panjang di halaman Facebook rasmi 50 Cent, yang disiarkan pada 3 Oktober 2023 (pautan arkib ini dan ini).

Teks pada adegan pembukaan klip itu berbunyi: "The Final Lap Tour / Stavanger Norway".

Bahagian klip yang menunjukkan orang ramai berlari di koridor boleh dilihat dari tanda 47 saat.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen dari halaman Facebook 50 Cent (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan video tulen dari halaman Facebook 50 Cent (kanan)

AFP sebelum ini telah menafikan satu lagi video peminat bintang pop Bruno Mars yang dikongsi secara palsu sebagai penonton konsert yang melarikan diri dari Hamas.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami